Monday, May 2, 2011

Phytogreen manfaatkan tumbuhan akuatik


Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tenaga, Air, Komunikasi dan Alam Sekitar Johor, Tan Kok Hong (dua dari kiri) menunjukkan pokok keladi agas yang hidup subur dalam Phytogreen di Taman Anggerik Johor Bahru, baru-baru ini. Turut hadir Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim (dua dari kanan).


PERKEMBANGAN teknologi alam sekitar kini lebih tertumpu bagaimana memastikan persekitaran yang 'rosak' dibaik pulih secara semula jadi.

Ini kerana program pemuliharaan atau pencegahan di peringkat awal kadangkala berdepan dengan masalah seperti kurang kesedaran masyarakat dan juga kerakusan mereka yang berkepentingan.

Satu daripada teknologi yang sekian lama digunakan ialah penggunaan mikrob untuk rawatan air kumbahan.

Mikrob berkenaan penting dalam usaha memininumkan kandungan ammonia dalam air kumbahan yang menyebabkan bau dan pencemaran.

Namun dinamisme penyelidikan sentiasa mencari kemungkinan atau pendekatan yang lebih efisien, tidak melibatkan kos yang tinggi dan lebih selamat.

Sebagai contoh, kaedah rawatan menggunakan alam semula jadi sudah ditemui termasuk yang terbaru yang diperkenalkan oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Kuantan.

Teknologi yang dinamakan Phytogreen itu yang sebelum ini dinamakan Lestari adalah satu produk keluaran UMP yang mesra alam melibatkan penggunaan hidupan tumbuhan akuatik untuk mengurangkan dan seterusnya menyingkirkan bahan cemar dari air kumbahan domestik ataupun air sisa industri.

Teknologi tersebut memanfaatkan sepenuhnya tumbuhan akuatik yang biasanya memenuhi permukaan kolam, tasik dan juga sistem perparitan yang kotor dan terbiar.

Teknologi fitoremediasi diperkenalkan untuk digunakan dalam merawat air kumbahan domestik ataupun air sisa industri merupakan langkah awal dan usaha UMP bersama Ranhill Utilities Berhad (RUB) untuk mengkomersialkan dan menyokong pembangunan teknologi hijau di Malaysia.

Ia sebagaimana termaktub dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi pembangunan lestari dalam memperkasakan teknologi hijau di Malaysia.

Menerusi projek tersebut UMP membuat kajian mengenai phytoremediation seperti meningkatkan efisiensi tumbuhan.

In termasuk jenis tumbuhan yang sesuai digunakan dalam projek tersebut dan melihat keberkesanannya dalam jangka masa pendek dan panjang.

Penyelidikan berkenaan telah dijalankan secara skala makmal semenjak tahun 2006 hinggalah berskala loji pepandu pada tahun 2009 hinggalah ke sekarang.

Bagaimanakah Phytoremediation berfungsi?

Ia berfungsi dengan akar tumbuhan pilihan menyerap bahan cemar yang bertindak sebagai nutrien darpada i air atau tanah tercemar.

Semasa dalam tumbuhan, bahan cemar dalam bentuk organik atau bukan organik diserap dan di simpan di akar, batang atau daun.

Ia kemudian diubah menjadi bahan ringkas yang kurang berbahaya di dalam pokok, atau menjadi wap dan gas yang dilepaskan ke udara semasa proses respirasi.

Yang menariknya hanya tumbuhan terpilih yang memenuhi kriteria setelah ujian makmal dilakukan dalam membuang bahan pencemar secara semulajadi boleh digunakan.

Ini kerana, tidak semua pokok mempunyai potensi untuk menyerap bahan cemar dari air kumbahan domestik atau air sisa industri. Ini kerana ia mempunyai kepekatan bahan cemar yang berbeza-beza dari satu loji ke satu loji yang lain.

Teknologi tersebut juga melibatkan aspek kejuruteraan alam sekitar sehinggalah kepada aspek kelestarian ekosistem (eco-sustainable).

RUB menyediakan sokongan kewangan dan kemudahan manakala Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menyediakan kawasan kajian selaku pemilik kawasan, yang juga memainkan peranan yang penting dalam menjayakan projek ini.

Penggunaan teknologi phytoremedition bukan sahaja salah satu usaha membangunkan teknologi hijau dalam industri rawatan air, malah sangat mesra alam dan mengindahkan loji kumbahan.

Selain itu, teknologi phytoremediation terbukti efektif dan berkesan menghilangkan bau, mengurangkan komposisi kimia berbahaya dalam air kumbahan dan merawat air tercemar.

Ia bertindak menyerap bahan kimia, bahan pencemar dan bendasing dan menukarkan ia kepada bahan yang kurang berbahaya.

Seterusnya, aerator bertindak sebagai fluctuator iaitu pengocak bagi meningkatkan oksigen terlarut di dalam air kumbahan.

Proses ini juga mengecilkan bahan terampai yang terdapat di dalam air.

Apabila air mengalir melalui clarifier, ia akan melalui proses penggumpalan (koagulasian) secara semula jadi dengan dikenakan daya ricih.

Pada proses ini, bahan terampai yang telah mengecil tadi akan melalui proses pemendapan kerana di dalam clarifier, terdapat bilah-bilah condong.

Bilah-bilah ini menyediakan keadaan dimana bahan terampai mempunyai masa yang lebih lama untuk proses pemendapan.

Apabila termendap, ia akan bertindak balas dengan bakteria yang terdapat di dasar clarifier, dan proses penggumpalan akan berlaku.

Seterusnya, air yang keluar melalui saluran keluar ke sungai adalah terawat dan telah mencapai standard A yang ditetapkan oleh piawaian Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS ) 1974 di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009.

Menerusi penyelidikan berskala loji pepandu yang dibiayai sepenuhnya oleh dana antarabangsa DANIDA oleh kerajaan Denmark yang mula dijalankan pada 2009.

Sehingga kini, ia telah menunjukkan perkembangan yang amat positif di mana effluent ( air yang keluar sebelum dilepaskan ke sungai) yang dilepaskan ke dalam sungai memenuhi spesifikasi Standard A dan ia tidak berbau.

Penyelidikan tersebut yang juga melibatkan beberapa fasa, iaitu fasa pembinaan, fasa pemasangan dan fasa operasi memanfaatkan kolam oksidasi Taman Anggerik di Skudai, Johor Bahru.

Kolam pengoksidaan Taman Anggerik ini juga telah terpilih sebagai loji kumbahan contoh yang menggunakan teknologi hijau sempena Hari Air Sedunia peringkat Johor Bahru pada 2 April 2011 baru-baru ini.

Kolam berkenaan boleh dianggap bertuah kerana dipilih sebagai projek perintis menggunakan teknologi hijau terbabit.

Menurut Ketua Projek Phytogreen UMP, . Abdul Syukor Abd. Razak projek rawatan air kumbahan tersebut merupakan yang pertama mengaplikasikan teknologi phytoremediation bukan sahaja di Johor, malah di negara ini.

''Orang awam sepatutnya sedar betapa pentingnya kita menjaga kualiti air kumbahan kerana air ini akan dilepaskan ke sungai yang merupakan sumber utama hidupan akuatik dan juga manusia,'' ujarnya.

Selain Ranhill Utilities Berhad , penyelidikan tersebut turut mendapat kerjasama sepenuhnya dari beberapa pihak iaitu kerajaan Denmark (DANIDA), Majlis Bandaran Johor Bahru (MBJB), DGE Group dan Hitachi Plant Berhad.

Kerjasama pelbagai pihak itu membuktikan betapa korporat sangat mementingkan dan mengambil berat tentang alam sekitar dan tidak hanya memandang pada peluang perniagaan komersial semata-mata sahaja.

Ini juga adalah bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara teknologi hijau. Hasilnya taraf air terawat yang telah dicapai adalah Standard A( standard terbaik).

Ini dibuktikan apabila effluent diuji dan diaudit melalui makmal yang telah diakreditasikan oleh Jabatan Standard Malaysia (DSM).

Penurunan parameter-parameter seperti BOD(biological oxygen demand), COD( chemical oxygen demand), TSS (total suspended solid), ammoniakal nitrogen , ammonium dan nitrate memenuhi standard yang ditetapkan oleh Piawaian Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pindaan 2010.

Untuk populasi yang kecil seperti Taman Anggerik, loji kumbahan seperti ini adalah yang umum dan popular di Malaysia.

Loji kumbahan berfungsi sebagai tempat takungan bagi bahan buangan domestik dari sisa manusia dan rumah, juga berfungsi sebagai tempat rawatan air bahan buangan terbabit. Rawatan adalah penting untuk menjaga alam sekitar.

Abdul Syukor berkata, selepas kejayaan projek tersebut UMP akan mengkomersialkan teknologi Phytogreen ini bersama-sama dengan RUB.

Usaha tersebut dilakukan dengan bantuan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

Produk Phytogreen ini telah Berjaya melepasi proses saringan oleh pihak MTDC dan mempunyai potensi untuk dikomersialkan di bawah peruntukan CRDF 3 (a).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: