KUALA LUMPUR – Para pemain Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang Di Ibukota (Pekap) FC mempunyai cara tersendiri bagi menaikkan semangat semasa menyertai kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 nanti.
Pasukan tersebut mengambil inisiatif untuk membawa pasukan sorak yang akan memukul gendang semasa menyokong pasukan itu.
Pengurus pasukan Pekap FC, Ridzuan Mustafa berkata, Pekap yang akan menghantar wakil bagi kategori Terbuka Lelaki dan Wanita percaya langkah itu mampu menyuntik semangat kepada para pemain ketika beraksi.
Ujarnya, walaupun tampil buat kali pertama dalam kejohanan itu, mereka mahu menunjukkan prestasi terbaik dan mencatat kejayaan.
“Para pemain berada dalam keadaan yang baik dan cergas hasil latihan sejak beberapa bulan yang lalu termasuk ketika menyertai beberapa kejohanan lain.
“Kami yakin kejutan akan berlaku. Pasukan ini mampu untuk mara lebih jauh dengan sokongan padu daripada pasukan sorak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Dalam pada itu, Ridzuan juga menyeru seluruh ahli Pekap dan anak-anak Pahang yang berada di Lembah Klang supaya hadir ke Putrajaya untuk memberi sokongan kepada pasukan tersebut.
Menurutnya, sokongan padu daripada penyokong mampu menimbulkan rasa gerun kepada pasukan lawan dan merancakkan aksi di gelanggang.
Pendaftaran Rentap Futsal cecah 1,026 pasukan
shanika.latib@kosmo.com.my">
KUALA LUMPUR – Sehingga pukul 10 malam tadi, sebanyak 1,026 pasukan telah mendaftar bagi menyertai kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 yang akan berlangsung pada 26 hingga 29 Mei ini.
Paling mencuri tumpuan ialah kategori Larut Malam yang menyaksikan sebanyak 405 pasukan telah menyatakan kesediaan untuk bertanding.
Dalam kategori Terbuka Lelaki, sebanyak 191 pasukan telah mendaftar.
Biarpun agak ‘suram’ berbanding penyertaan bagi kategori Larut Malam, pihak penganjur menjangkakan penyertaan dalam kategori Terbuka Lelaki akan meningkat mendadak sebelum tarikh tutup penyertaan pada 19 Mei ini.
Sementara itu, kategori Terbuka Wanita hanya mencapai 40 penyertaan.
Dalam kategori Lelaki Bawah 18, sebanyak 268 pasukan telah mendaftar manakala dalam kategori Lelaki Bawah 12 tahun, pihak penganjur menerima pendaftaran daripada 122 pasukan.
Menurut penyelaras sekretariat kejohanan itu, Mohamad Izuwan Hayat, dalam tempoh beberapa hari lalu, jumlah pasukan yang mendaftar naik dengan mendadak khususnya bagi kategori Larut Malam.
“Apa yang penting, jangan tunggu hingga saat-saat akhir kerana ia mungkin membuatkan mana-mana pasukan yang mahu beraksi terlepas peluang menyertai Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011.
“Ingin saya nasihatkan pasukan yang berminat menyertai kejohanan ini supaya membuat pendaftaran dan membayar yuran dengan segera bagi mengelakkan mereka tercicir.
“Saya jangkakan penyertaan dalam kategori Larut Malam akan ditutup mulai esok (hari ini),” katanya.
Pasukan yang berminat menyertai Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 boleh membuat pendaftaran secara online di laman web www.kosmofutsal.com sebelum tarikh tutup penyertaan pada 19 Mei.
1Dani FC mahu jadi juara sulung kategori Superstar
KUALA LUMPUR – Pasukan 1Dani FC berazam untuk menjuarai kategori Superstar sekali gus muncul pemenang sulung kategori yang baru diperkenalkan pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011.
Mereka yang sudah mengesahkan penyertaan dalam dua kategori iaitu Larut Malam dan Terbuka Lelaki berharap menjadi salah satu daripada pasukan yang dipilih oleh penganjur untuk menyertai kategori baharu berkenaan.
Biarpun pada penampilan tahun lalu mereka terkandas di suku akhir, pasukan yang dibarisi beberapa pemain Liga Felda dan negeri itu yakin melangkah hingga ke perlawanan akhir pada tahun ini.
Penolong pengurus pasukan, Azrul Izwan Abd. Rahim berkata, dengan tunjuk ajar jurulatih futsal Selangor, Mohamad Taufik Yaiyah, mereka berharap dapat memberi tentangan hebat kepada pasukan lain.
Ujarnya, tunjuk ajar daripada jurulatih tersebut dapat mengubah cara permainan pasukan itu yang sebelum ini hanya berlatih secara bersendirian pada hujung minggu.
“Latihan diadakan empat kali seminggu. Corak permainan yang diterapkan oleh Taufik cukup berkesan dengan menekankan aspek taktikal, psikologi dan kecergasan pemain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Dalam pada itu, menurut Azrul Izwan, buat kali pertama, mereka turut menghantar pasukan cilik untuk bertanding dalam kategori Bawah 12 tahun dengan harapan dapat mendedahkan pemain-pemain kecil itu kepada sukan futsal.
Katanya, pasukan yang baru ditubuhkan dengan nama Abyad Dani menggunakan kekuatan anak-anak kelahiran Bangi dan Puchong itu mempunyai kemahiran tersendiri dalam permainan futsal.
“Saya suka lihat mereka bermain dengan cara masing-masing yang unik. Saya nampak mereka ada minat untuk bermain futsal dan boleh beraksi dalam kejohanan besar,” tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: