Tuesday, May 17, 2011

Natasha tidak serik berkahwin


ANAK menjadi keutamaan dalam hidup Natasha kini.


IKATAN perkahwinan yang putus di tengah jalan pasti meninggalkan detik hitam yang gerun untuk diingati apatah lagi dikenang.

Pastinya peristiwa yang merobek jiwa itu menjadi satu igauan ngeri yang ingin dilenyapkan agar kesakitan akibat dirodok kalimah ‘cerai’ tidak akan terus membelenggu jiwa.

Sebagai seorang hamba dimuka bumi ini tiada apa yang boleh kita lakukan selain dari reda dan menerima ketentuan yang telah tertulis itu sebagai satu cabaran bagi mematangkan diri dalam meniti kehidupan yang penuh dengan pancaroba.

Bagi sesetengah orang penceraian yang berlaku pasti membuatkan diri berasa serik dan tawar hati untuk terus menyulam cinta sekaligus menempuh alam perkahwinan buat kali berikutnya.

Bertemu dengan aktres jelita tanah air, Natasha Liana Mohd. Redzuan Hudson atau mesra dengan nama Natasha Hudson menyangkal dakwaan berkenaan dan sedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri sekiranya bertemu dengan jodoh yang telah ditentukan.

Ujar teraju filem Cermin itu, tidak pernah sekali pun hati wanitanya menyatakan serik untuk berkahwin lagi biarpun dua mahligai yang pernah dibinanya sebelum ini runtuh dalam tempoh yang singkat.

“Tidak pernah sama sekali perkataan serik itu muncul dalam kamus hidup saya. Biarpun kesannya ada, apa yang penting adalah belajar dari kesilapan lalu.

“Kita hanya merancang dan selebihnya, Dia yang menentukan. Andai sampai jodoh saya, insya-Allah saya akan bergelar isteri lagi selepas ini,” jelasnya ketika ditemui pada pelancaran drama Bait Cinta di Sri Pentas baru-baru ini.

Namun ibu kepada Nessa Helena itu mengakui dalam meniti kehidupannya kini, kerjaya membuatkannya lebih gembira selain kehadiran puteri tunggalnya yang akan menginjak usia tiga tahun pada 4 Jun ini.

Baginya, sebagai seorang ibu, keutamaannya kini lebih tertumpu kepada puteri tunggalnya itu biarpun sibuk dengan dunia seni.

“Kini saya senang dengan kerjaya, ia membuatkan saya rasa lebih gembira di samping kehadiran anak yang sentiasa menjadi peneman saya.

“Hari-hari saya kini banyak dihabiskan bersama keluarga terutama satu-satunya anak kesayangan saya ini,” ujar aktres berusia 29 tahun itu disusuli dengan senyum yang terukir di bibir.

Diusik dengan gosip yang mengaitkan namanya dengan peserta Maharaja Lawak, Zizan, deraian tawa terus terkeluar dari bibir mulusnya.

Seakan dapat menghidu pertanyaan itu pasti menjadi agenda yang akan diutarakan pihak media, dengan tenang Natasha membalas, itu hanyalah usik manja yang dimulakan oleh sebuah stesen radio.

“Tiada apa yang istimewa antara saya dengan Zizan. Kehadiran saya pada rancangan realiti itu hanya sebagai penonton setelah dijemput oleh Astro sendiri.

“Mungkin ramai tidak mengetahui, Zizan dan saya berkongsi pengurus. Jadi, apabila pengurus menghubungi saya mengatakan Astro memempelawa saya untuk menonton program itu, rasanya tidak salah pelawaan itu dipenuhi.

“Lagi pun raja lawak merupakan salah satu rancangan kegemaran saya,” jelasnya yang meminati kumpulan Jambu dalam program berkenaan.

Cari Teman Hidup

Berkisah pada rahsia hatinya, Nastasha mengakui tembok hatinya masih lagi belum berjaya diruntuhkan oleh mana-mana lelaki.

Jelasnya, buat masa ini, persoalan jodoh bukanlah agenda utama yang hendak difikirkan.

“Biarlah masa yang menentukan segalanya. Buat masa ini saya lebih fokus kepada anak dan kerjaya.

“Saya akui memang ada ramai kawan tetapi sekadar berkawan dan tiada yang lebih dari itu,” ujar kakak kepada Tania Hudson.

Dikorek tentang ciri-ciri lelaki yang diidamkan, pantas Natasha menyatakan lelaki yang ingin bergelar suaminya mestilah mampu melindungi dirinya.

Selain itu lelaki berkenaan mestilah seorang yang boleh berdiri atas kaki sendiri dan menghormati kaum hawa sepertinya.

“Saya kalau boleh inginkan seorang lelaki yang mampu untuk menjaga dan melindungi saya, bertanggungjawab serta seorang yang kuat bekerja.

“Namun apa yang lebih penting adalah lelaki itu tahu bagaimana untuk menghormati wanita dan menyayangi ibunya kerana dari situlah kita dapat melihat sejauh mana seorang lelaki menghargai seorang wanita.

“Selain itu, lelaki itu mestilah seorang yang kelakar agar dia boleh menceriakan hari-hari saya dalam menjalani kehidupan bersamanya,“ ujarnya.

Tidak gentar adik berlakon

Natasha sedikit pun tidak rasa tercabar dengan kehadiran adiknya yang juga seorang pelakon.

Baginya, karakter mereka berdua jauh berbeza dan itu membuatkannya tidak merasa tercabar.

“Adik saya agak lembut dan saya lebih agresif serta matang. Jadi karakter kami sendiri telah membezakan antara kami berdua.

“Selain itu watak-watak yang diberikan juga jauh berbeza di mana adik saya lebih diberi watak yang ringan dan berkisah remaja sementara saya diberi watak yang agak berat,” jelas pelakon filem Tipu Kanan Tipu Kiri itu.

Bagaimana pun, ujar Natasha, sebagai kakak, dia selalu menasihati adiknya dalam mengharungi dunia lakonan.

“Saya ada berikan panduan kepadanya selain petua dalam lakonan supaya dia boleh jadi pelakon yang hebat.

“Sebagai kakak sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuknya,” ujar pemegang watak Shahnaz dalam drama Bait Cinta yang bersiaran malam ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: