Tuesday, May 17, 2011

‘Mamak’ kini jenama negara

Aneka lauk-pauk di restoran mamak menarik perhatian pelanggan.

PERUSAHAAN restoran mamak yang tidak meninggalkan elemen tradisional namun mengikut perkembangan dan kehendak pelanggan menjadi faktor utama pengusahanya mendominasi industri perkhidmatan makanan di Malaysia.

Menerusi kajian yang dilakukan penulis buku Rahsia Bisnes Mamak, Muhammad Faisal Sharbudin dan Zamri Mohamad, konsep yang diaplikasi hampir kesemua pengusaha restoran mamak itu bersama strategi mantap pemasaran menjadi kunci utama restoran mamak mengekalkan hayatnya.

Lebih menakjubkan, formula itu juga dikatakan mempunyai pengaruh besar sehingga mampu ‘mengikat’ pelanggan untuk terus setia.

Menapak dari bisnes tradisi, pengusaha yang penuh strategi ini berjaya meneruskan legasi perniagaan dan akhirnya mengangkat nama ‘mamak’ menjadi satu jenama kebanggaan negara.

Bancian komuniti tempatan yang disiarkan dalam The Star Online pada 8 Ogos 2007 menunjukkan budaya bisnes mamak diterima sebagai 50 perkara penting dan dilihat sebagai budaya Malaysia.

“Apabila disebut makanan Malaysia, nasi lemak, nasi kandar, roti canai, teh tarik dan sate kajang berada dalam lima kedudukan teratas. Empat menu teratas ada di mana-mana kedai mamak.

”Ini menunjukkan masyarakat tak melihat nasi kandar atau restoran mamak sebagai makanan semata-mata, tetapi sebagai salah satu gaya hidup,” kata Mohd Zamri kepada Mingguan mStar.

Menurut Zamri, rata-rata pengusaha restoran India Muslim peka dengan perkembangan semasa dan sedaya upaya akan memenuhi kehendak pelanggan.

“Dulu roti canai cuma dimakan dengan kuah kari atau dal. Tapi sebab orang kita suka makan sambal, kini sambal jadi sebahagian daripada roti canai. Begitu juga roti canai berperisa ,” beliau memberi contoh.

Dalam masa yang sama pengusaha yang kebanyakannya mewarisi perniagaan turun-temurun masih berpegang pada falsafah perniagaan India Muslim iaitu mewarisi sesuatu bidang perniagaan, bukan mewarisi kekayaan selain menjadikan perniagaan sebagai ibadat.

“Untuk teruskan legasi perniagaan, mereka utamakan apa yang pelanggan mahu berbanding tawarkan apa yang mereka ada.

Penggemar nasi kandar di Pulau Pinang sanggup beratur panjang demi nasi kandar.

“Kalau sesuatu sajian tak ada, susah mereka nak kata ‘tiada’, mereka beri alternatif sampai pelanggan tukar selera,” katanya.

Konsep ini sama dengan kenyataan ahli perniagaan terkemuka dunia, Donald Trump.

“Donald Trump pernah berkata dalam dunia bisnes tiada gunanya seseorang itu mempunyai produk terbaik di dunia ataupun sentiasa memikirkan semua orang memerlukan produknya.

“Walau apa pun yang difikirkan peniaga, apabila dia gagal menjual, dia tetap orang yang gagal,” jelasnya.

Berani melabur

Pemegang Ijazah Komunikasi Massa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini berkata keberanian pengusaha mamak melabur dan menanggung risiko turut menyumbang kepada kejayaan mereka hari ini.

“Pelanggan mahu internet, mereka sediakan, sama juga dengan skrin besar untuk tengok bola. Mereka tak takut melabur, asalkan pelanggan puas hati,” katanya.

Disebabkan formula yang diaplikasi pengusaha mamak ‘menjadi’, tidak hairanlah formula sama diguna peniaga lain.

“Kini restoran makanan segera pun pasang skrin, ada ruang terbuka dan WiFi,” katanya.

Duit kecil masih bernilai

Zamri dan rakannya yang mengkaji selama dua tahun tentang rahsia kejayaan bisnes mamak mendapati konsep Al Fresco (terbuka) yang diamalkan pengusaha mudah diterima masuk dalam masyarakat sehingga tercetusnya satu budaya.

Ciri konsep ini termasuklah kesudian pengusaha mamak menerima sesiapa sahaja di restoran mereka, layanan adil dan bersedia menerima kehadiran peniaga lain.

“Duit kecil pelanggan masih bernilai di kedai mamak. Ruang berbelanja masih ada walau pelanggan cuma ada seringgit. Orang kaya, orang miskin dilayan sama saja.

“Peniaga mamak tak semestinya pandai masak semua menu tapi mereka upah atau sewa tapak untuk peniaga yang pandai. Yang ambil pesanan tetap pekerja mamak sebab strategi dan nak promosi jenama ‘mamak’.

“Ada juga restoran yang sediakan ruang cuci kereta. Sambil pelanggan tunggu kereta dicuci sekurang-kurangnya segelas teh tarik akan terjual,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: