Tuesday, May 3, 2011

Loji Air Bukit Batu tercemar diesel


BEBERAPA pekerja SAJ menabur serbuk zeolite bagi membersihkan minyak diesel yang mencemarkan Sungai Ulu Pontian di Kulaijaya semalam.


KULAIJAYA - Kira-kira 5,000 penduduk di sekitar Bukit Batu di sini terjejas ekoran Sungai Ulu Pontian yang membekalkan air untuk Loji Air Bukit Batu tercemar dengan minyak diesel sejak petang kelmarin.

Difahamkan pencemaran tersebut berpunca daripada sebuah kilang batu-bata yang mengalami kebocoran menyebabkan minyak diesel mengalir ke sungai berkenaan.

Ketua Komunikasi Korporat SAJ Holding Sdn. Bhd. (SAJ), Jamaluddin Jamal berkata, ekoran pencemaran itu, Loji Air Bukit Batu ditutup sementara bagi kerja-kerja pembersihan.

Bagaimanapun, katanya, tempoh penutupan loji tersebut masih belum dapat dipastikan dan bergantung kepada kerja-kerja pembersihan berkenaan.

"Kita kena pastikan air sungai tersebut tidak lagi mengandungi minyak serta baunya hilang barulah bekalan akan disambung semula.

"Loji berkenaan membekalkan air kepada kira-kira 5,000 pengguna di sekitar Felda Bukit Batu, Kulai Besar, Kampung Melayu Bukit Batu dan Kampung Seri Sempurna.

"Namun bilangan yang terjejas berkurangan kerana kita mempunyai sistem sokongan dari Loji Semanggar," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, mereka yang terjejas adalah yang tinggal di kawasan berbukit dan di hujung sistem saluran air berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: