|
|
SAYA bertemu Dr. Natasha Ramli dari Puchong. Kami membincangkan isu-isu menarik berkenaan masalah obesiti. Menurut beliau, isu-isu hormon, enzim metabolik dan masalah obesiti tidak harus dipandang ringan malah ia sepatutnya menjadi agenda utama dalam kehidupan kita. Obesiti yang gagal ditangani sepatutnya dipandang serius dan bukannya dilihat dari sudut kecantikan semata-mata. Ia juga bukannya satu bahan jenaka dan tidak wajar bagi pesakit obesiti disalahkan atau dianggap mereka menjadi sedemikian kerana banyak makan semata-mata.
Cuba anda fikirkan kenyataan ini.
Seseorang akan menjadi gemuk apabila makan banyak. Seseorang akan menjadi kurus semula apabila makan sedikit.
Jika fakta ini benar maka kita tidak perlu bersusah payah menjalani rawatan pelangsingan atau mengambil apa apa ubat sekali pun. Bagi merawat obesiti. Memadailah dengan makan sedikit, seseorang itu akan dapat menurunkan berat. Namun itu tidak berlaku kerana tubuh kita memerlukan hormon dan enzim bagi memecahkan lemak kepada air, ketones dan tenaga. Proses ini dinamakan ketosis. Ketosis membuatkan seseorang bertenaga dan segar. Apabila hormon rosak maka enzim dalam tubuh tidak dapat bertindak dengan baik. Ini menyebabkan lemak tidak pecah. Usaha berdiet pada waktu ini menjadi sia-sia. Seseorang yang obes seperti ini tidak dapat menjana tenaga daripada lemak. Dia menggunakan tenaga yang diperoleh daripada makanan yang dimakan. Oleh itu dia sering lapar selain suka minuman dan makanan manis. Gula yang diproses sangat disukai kerana ia dapat digunakan oleh semua sel dalam tubuh. Sel-sel lemak juga mula menyimpan gula sebagai lemak simpanan menyebabkan semakin lama lemak semakin tebal. Organ-organ dalam tubuh juga mula diselaputi lemak. Ini menyebabkan fungsi sel semakin lemah.
Tubuh seseorang yang obes juga mendapat tenaga daripada otot yang dicerna. Ini menyebabkan otot menjadi kecut dan kecil sahaja. Seseorang yang obes tidak mampu membina otot dengan baik. Lama kelamaan tenaga semakin lemah lantaran otot yang kecil ini.
Proses metabolik lemak yang rosak membuatkan lemak tersimpan dan menjadi banyak. Secara amnya lemak merupakan tenaga simpanan di dalam tubuh kita. Kerana itulah ia sukar dipecahkan apabila wujudnya sumber tenaga yang lain. Badan kita cenderung menggunakan sumber tenaga yang lain sebelum memecahkan lemak.
Rawatan peningkatan metabolik dan fungsi enzim merupakan faktor yang penting dalam usaha seseorang menurunkan berat badan.
Lipase
Hormon sensitif lipase merupakan enzim yang terpenting dalam pemecahan lemak. Lipase memecahkan lemak dan lemak yang pecah akan ditukarkan kepada tenaga di dalam sel kita.
Glukargon
Merupakan hormon yang menukarkan lemak kepada gula. Apabila kadar glukargon meningkat maka gula dalam darah akan meningkat. Gula ini boleh ditukarkan kepada tenaga oleh sel-sel yang memerlukan gula ini.
Tiroid
Hormon metabolik yang memecahkan lemak dengan cara mengaktifkan aktiviti enzim. Hormon ini dikelurakan oleh kelenjar pada leher. Kekurangan hormon ini menyebabkan myxedema iaitu pengumpulan cecair likat yang terdiri daripada lemak dan protein pada bawah kulit. Ini membuatkan kulit tampak sembap dan tubuh menjadi kembang.
Estrogen
Hormon wanita yang penting dalam metabolik, proses kehamilan, pembaik pulih sel, ingatan, pembentukan tubuh wanita, pencegahan kanser, dan sakit kepala. Kekurangannya membuatkan seseorang:
* Mudah naik angin
* Rasa murung
* Kurang dorongan seks
* Kekeringan faraj
* Sakit belakang
* Sakit sendi
* Berpeluh waktu malam
* Pendarahan faraj tidak tetap masa
* Sakit otot
* Rambut baru di muka
* Kulit kering yang luar biasa
* Perasaan tidak disayangi
* Kurang perasaan seks
* Resah tidak boleh tidur
* Kelesuan yang luar biasa
* Kesakitan waktu bersetubuh
Kortisol
Hormon yang dikeluarkan oleh kelenjar adrenal sewaktu seseorang di dalam keadaan stres. Kehadiran hormon ini yang terlalu tinggi boleh menyebabkan obesiti disebabkan stres. Apabila kortisol meningkat seseorang akan mengumpul lemak iaitu simpanan tenaga yang banyak.
Banyak kajian telah membuktikan bahawa prinsip-prinsip bagi mengurang berat badan dan mengawal daripada berlakunya pertambahan berat badan bukannya hanya dengan berdiet semata-mata. Ia perlu mengikut kaedah saintifik dan bukanlah secara paksaan atau mendera tubuh badan anda.
Rawatan obesiti perlu mengambil kira keadaan hormon dan enzim seperti ini. Selain daripada tubuh yang langsing kita mahu meningkatkan fungsi tubuh dan penjanaan tenaga. Ini sangat penting bagi mengelakkan penyakit. Tidak dinafikan senaman dan gaya hidup sihat perlu diamalkan kerana ia mampu menstimulasi kelenjar hormon kita agar bekerja secara optimum. Apabila paras hormon tinggi maka darah kita menjadi muda semula.
Lagi pun senaman meningkatkan stamina dan membuatkan jantung kita menjadi kuat dan sihat. Baru-baru ini kaitan saintifik menunjukkan bahawa senaman meningkatkan daya ingatan kita. Seorang yang bersenam setiap hari sukar menjadi nyanyuk dan pelupa pada usia tua. Justeru itu marilah kita bersama sama memulakan langkah untuk kembali bersenam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: