Friday, May 20, 2011

Kumpul RM5,000 kitar semula barang


ISSAM (kiri) menyampaikan sumbangan RM5,000 hasil jualan barangan kitar semula oleh kakitangan Colgate-Palmolive kepada Vivian (kanan).


SEDAR atau tidak, alam sekitar memainkan peranan yang amat penting untuk meneruskan kesinambungan survival kehidupan manusia.

Tanggungjawab menjaga alam sekitar tidak perlu diletakkan di atas bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya melibatkan pelbagai pihak seperti masyarakat, media massa, para akademik, sektor awam dan badan korporat.

Setiap agensi mempunyai peranan tersendiri bagi membantu orang ramai agar lebih peka terhadap persekitaran mereka tanpa mengira perbezaaan darjat, keturunan, kaum, agama dan fahaman politik.

Menyedari hakikat itu, Colgate-Palmolive Marketing Sdn. Bhd. (Colgate-Palmolive) mengadakan kempen kitar semula sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat.

Dalam kempen sempena meraikan Hari Bumi 2011 pada 22 April lalu, kakitangan syarikat itu berjaya mengumpulkan kira-kira RM5,000 hasil jualan pelbagai barangan kitar semula seperti surat khabar, botol dan kotak.

Kesemua wang itu kemudiannya disumbangkan kepada Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), sebuah agensi bukan kerajaan yang aktif dalam menangani kejadian keganasan terhadap wanita di negara ini.

Pengarah Urusan Colgate-Palmolive Malaysia, Issam Bachaalani berkata, kempen yang diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran sivik dan menyemai sikap kerjasama dalam kalangan kakitangan syarikat itu untuk memelihara kebersihan serta keindahan alam sekitar.

“Kami sentiasa komited dalam mengurangkan impak terhadap alam sekitar dalam setiap operasi syarikat terutama berkaitan dengan air, tenaga dan bahan buangan.

“Ia bukan sesuatu yang harus dilakukan demi melestarikan alam semula jadi tetapi juga memberi manfaat besar dalam perniagaan,” katanya.

Tambah Issam, pihaknya sentiasa menerapkan semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan kakitangan syarikat melalui nota peringatan yang dihantar melalui komputer mereka setiap hari.

“Kami mengingatkan mereka sentiasa memastikan suis lampu dan peralatan yang tidak digunakan dimatikan, mencetak kertas apabila perlu, berkongsi kenderaan untuk mengurangkan pembebasan karbon di udara, mengurangkan kebergantungan terhadap beg plastik dan sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu, Eksekutif Projek WOA, Vivian Yap melahirkan kegembiraannya terhadap sumbangan yang dilakukan oleh Colgate-Palmolive.

“Tahun ini kami memerlukan dana sehingga RM1.2 juta bagi melaksana dan meneruskan usaha-usaha yang sedang dilakukan.

“Sumbangan ini akan digunakan untuk membayar kakitangan, makanan, keperluan perubatan, sewa, pengangkutan, utiliti serta pengurusan Pusat Penjagaan Kanak-Kanak dan Pelarian yang diselia oleh WOA,” katanya.

Pada perkembangan berkaitan, sempena sambutan Hari Bumi 2011 itu juga Colgate-Palmolive turut memperkenalkan Strategi Pengukuhan Global Colgate-Palmolive’s 2011-2015.

Ia menonjolkan beberapa objektif utama seperti menghormati alam sekitar, menghormati orang ramai dan prestasi syarikat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: