Tuesday, May 3, 2011

KLIA Junior B idam RM20,000


PASUKAN KLIA Junior B giat menjalani latihan untuk memastikan gelaran juara dan wang tunai RM20,000 menjadi milik mereka pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! akhir bulan ini.


KUALA LUMPUR – Hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 yang ditawarkan kepada juara Terbuka Lelaki menjadi sasaran utama pasukan KLIA Junior B dari Salak Tinggi pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 di Kompleks Futsal 1Malaysia, Putrajaya dari 26 hingga 29 Mei ini.

Ketua pasukannya, Adek Zazali Ibrahim berkata, walaupun pasukannya tewas pada pusingan kedua Rentap Futsal Putrajaya Kosmo! tahun lepas, semangat mereka tetap utuh lebih-lebih lagi kerana mengidamkan hadiah yang ditawarkan.

“Saya difahamkan jumlah hadiah wang tunai meningkat pada tahun ini daripada RM15,000 kepada RM20,000 dan ini menyuntik semangat kami untuk menjadi juara,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Adek Zazali, pasukannya kini berada pada kedudukan terbaik kerana terdiri daripada pemain berpengalaman yang telah menjadi juara dalam beberapa liga futsal sepanjang tahun ini.

“Memandangkan kami akan bertanding dalam kategori Larut Malam, sesi latihan akan diubah kepada waktu malam sehingga tiba hari kejohanan.

“Kami akan menunjukkan permainan menarik dan terbaik untuk memastikan gelaran juara menjadi milik kami berserta wang tunai RM20,000,” katanya.

Gelombang B tidak rela hilang kejuaraan


PASUKAN Gelombang B bersedia untuk mempertahankan gelaran juara pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! di Putrajaya akhir bulan ini.


KUALA LUMPUR – Pasukan Gelombang B mahu mencipta sejarah dengan memenangi kategori Terbuka Lelaki kali kedua pada Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 dari 26 hingga 29 Mei ini.

Pengurus pasukan, Mohd. Yahaya Mohd. Noor berkata, untuk memastikan ia menjadi kenyataan, mereka akan menghantar empat pasukan terkuat dengan dua pemain baru.

“Tahun lalu kami muncul juara kategori Terbuka Lelaki sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.

“Tahun ini hadiah meningkat kepada RM25,000 dan ia sesuatu yang cukup menarik dan pasti akan menjadi rebutan banyak pasukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Yahaya berkata, selain prestasi pemainnya, beliau berharap gelanggang kejohanan di Putrajaya akan membawa tuah kepada mereka seperti tahun lalu.

Katanya, para pemain pasukan itu kini giat melakukan latihan di kampung halaman mereka di Kuala Terengganu dan Kelantan selain mengadakan perlawanan persahabatan sekerap mungkin untuk mengekalkan stamina dan kemahiran masing-masing.

“Walaupun hari kejohanan cuma tinggal lebih kurang tiga minggu lagi, kami telah bersedia dari segi fizikal dan mental.

“Kami tidak sanggup kehilangan kejuaraan kami kepada pasukan lain dan akan bersedia untuk menghadapi mana-mana pasukan,” katanya.

Unicef F.C. tampil tanpa pemain lama


PASUKAN Unicef F.C. tampil dengan empat pemain baru pada Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! akhir bulan ini.


KUALA LUMPUR – Pasukan Unicef F.C. tidak patah semangat biarpun empat pemainnya telah menyertai pasukan lain untuk kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! pada tahun ini.

Keempat-empat pemain tersebut mengambil keputusan berpindah ke pasukan lain dalam kategori Lelaki Bawah 12 kerana faktor lokasi latihan.

Ketua pasukan itu, Ikhmal Hakimi Mohd. Ilham, berkata, walaupun kehilangan empat pemain, mereka akan tetap meneruskan perjuangan merebut hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 pada kejohanan tahun ini.

“Biarpun ada rakan-rakan yang meninggalkan Unicef F.C., sasaran kami tetap juara.

“Kami telah pun mendapat empat pemain baru yang hebat dan berpengalaman,” katanya.

Sebagai persediaan menjelang perlawanan yang bakal berlangsung di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18, Putrajaya pada 26 hingga 29 Mei ini, kesemua Unicef F.C. menjalani latihan pada setiap hujung minggu.

“Bagi memantapkan gandingan Unicef F.C, kami telah pun menyertai beberapa perlawanan persahabatan,” katanya.

Bertam Ulu Kids tiup Semangat 1Malaysia

KUALA LUMPUR – Menyahut konsep 1Malaysia, pasukan Bertam Ulu Kids akan tampil dengan pemain-pemain berbilang kaum dalam kategori bawah 12 tahun pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! pada Mei ini.

Pengurusnya, Mohd. Ayob Alias berkata, pendekatan itu bagi menyemarakkan perpaduan melalui sukan terutama futsal yang menjadi kegilaan golongan muda masa kini.

Katanya, pihaknya kini dalam proses pemilihan akhir para pemain yang berkelayakan untuk menyertai kejohanan tersebut.

“Beberapa pemain sekitar Melaka telah dikenal pasti dalam proses pemilihan yang akan berakhir pada minggu depan.

“Kesemua mereka dinilai dari segi teknik pengawalan bola dan kecergasan bagi memastikan kejuaraan memihak kepada kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Bagaimanapun, Mohd. Ayob berkata, beberapa muka lama tetap bermain bagi menjamin keseimbangan pasukan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: