Monday, May 9, 2011

Kebangkitan Aziz M. Osman

Anak kepada pasangan penyanyi dan pelakon, M. Osman bersama Afida Es ini mempunyai sejarah seni yang cukup berliku.

Bermula sebagai pelakon dan kerja belakang tabir, Aziz, 49, kini mampu tersenyum bangga dengan kejayaan demi kejayaan yang dicapai menerusi syarikat produksinya, Acemotion Pictures Sdn. Bhd.

Namun di sebalik kejayaan itu, Aziz terpaksa menempuh pelbagai peristiwa pahit dan maung sebagai anak seni.

Berkat usaha dan rasa kecintaan yang mendalam terhadap bidang seni membuatkan Aziz mampu bertahan hingga ke hari ini.

“Sebenarnya banyak pengalaman pahit yang saya alami. Tapi tak perlulah saya cerita satu persatu. Cukuplah saya dan Tuhan saja yang tahu. Namun yang pasti, pengalaman itu sangat berharga untuk saya jadikan pengajaran.

“Saya juga dapat memperbaiki segala kelemahan yang ada untuk jadi lebih baik. Malah kerana itu jugalah saya lebih bersemangat untuk terus berjuang dalam industri seni,” kata Aziz dengan tenang.

Sebagai orang lama dalam dunia seni, Aziz boleh dianggap sebagai sifu. Kepakarannya bukan sahaja dalam bidang penerbitan dan pengarahan, tetapi juga penulisan skrip dan lakon layar.

Namun beliau sendiri tidak pernah meletakkan dirinya di tahap itu kerana bagi Aziz banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari.

“Saya tak layak untuk gelaran itu. Saya sendiri belum puas dengan apa yang saya hasilkan. Banyak lagi yang saya mahu cuba dan dalami. Kalau boleh saya mahu cuba pelbagai genre dan tidak hanya mahu ‘stereotype’,” katanya yang pernah mencetuskan fenomena menerusi filem XX-Ray pada tahun 1992.


Berlakon sejak usia enam bulan

Mengimbau latar belakangnya, Aziz, yang berasal daripada Singapura, mengikut orang tuanya berhijrah ke Kuala Lumpur pada awal tahun 1963 untuk menyertai syarikat perfileman Melayu, Studio Merdeka.

Sejak berusia enam bulan lagi, Aziz rupanya sudah beraksi di lensa kamera untuk filem ‘Ibu Ayam’ arahan Salleh Ghani di samping Mak Dara, Mustafa Maarof dan Salmah Ahmad.

Pada Tahun 1976, Aziz, menyertai uji bakat filem ‘Sayang Anakku Sayang’ arahan Datuk Jamil Sulong dan terpilih untuk memegang watak utama sekali gus dinobatkan sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Asia dalam Festival Filem Asia di Pusan, Korea.

Selepas itu, beliau aktif sebagai pelakon drama TV dan radio di bawah bimbingan Zohara Gany Bathusa, Ngani Anuar, Quraisha Raphay, Mahani Ujang, Ismail Din, Habsah Hassan dan ramai lagi.

Pada tahun 1982, beliau dilantik sebagai Penolong Penerbit bahagian drama RTM dan mula menulis skrip drama radio dan TV.

Beliau kemudiannya mencari ruang dalam bidang pengarahan dan telemovie ‘Mawas’ merupakan buah tangan pertamanya. Sejak itu beliau semakin seronok mengarah dan menghasilkan lebih banyak karya.

Pencapaian yang membanggakan apabila filem sains fiksyen arahannya, XX-Ray memenangi beberapa anugerah dalam Festival Filem Malaysia ke-10. Menerusi filem itu juga, Aziz dinobatkan sebagai Pengarah Harapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: