Monday, May 2, 2011

Kardiomate pengganti garam

KADANG kala lidah kecur melihat keenakan pelbagai masakan yang terhidang, namun risau menanggung kesan sampingan seperti peningkatan darah tinggi dan kencing manis, hasrat untuk menjamu selera terpaksa dilupakan.

Namun, bagi pesakit darah tinggi yang agak berdegil, masakan yang agak masin ditelan jua sambil mengharap tiada apa akan berlaku.

Jika tabiat tersebut tidak terkawal, ia pasti akan memberikan kesan yang buruk terhadap mereka yang menghidapi penyakit berkenaan.

Apa yang pasti, makanan tanpa rasa masin mampu memutuskan selera makan. Malah masakan yang tawar turut membantutkan keghairahan semasa menikmatinya.

Namun apakan daya, ia harus dihadapi bagi mengelakkan pesakit darah tinggi mengalami kesan sampingan yang lebih teruk.

Buat pesakit darah tinggi dan yang memiliki masalah ginjal, penemuan baru penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini bakal menceriakan suasana menjamu selera mereka kini.

Malah, mereka tidak lagi perlu takut untuk mengambil makanan yang agak masin pada masa yang sama tidak menjejaskan kesihatan.

Dikenali sebagai Kardiomate, penemuan baru oleh penyelidik UPM, Profesor Dr. Suhaila Mohamed bersama barisan penyelidik beliau mampu menghasilkan bahan perasa masin bagi menggantikan garam.

Lebih menggembirakan ia tidak memiliki kesan sampingan terhadap kesihatan jika diambil oleh pengidap penyakit darah tinggi walaupun dalam kuantiti yang berlebihan.

Kardiomate memiliki kandungan natrium yang lebih rendah dan tinggi kandungan kalsium berbanding garam biasa di mana komponen utamanya adalah natrium klorida.

Menurut Suhaila, Kardiomate direka khas daripada tumbuhan laut dan darat.

"Selain memberikan rasa masin, ia juga mengandungi ciri-ciri seperti antioksidan yang tinggi, kandungan natrium yang rendah, kaya dengan serat dan mengandungi mineral penting.

"Malah melalui beberapa uji kaji yang dilakukan ternyata ia mempunyai banyak manfaat kesihatan kepada manusia," ujarnya ketika ditemui di Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), UPM, Serdang baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, Kardiomate terhasil daripada gabungan nutrien mikro pada kadar nisbah optimum yang dikhususkan untuk kesihatan sistem kardiovaskular dan minda.

Sistem kardiovaskular adalah merupakan sistem penghantar oksigen dan nutrien kepada setiap sel di dalam badan melalui darah yang dipam oleh jantung. Sistem ini juga berfungsi mengeluarkan karbon dioksida dan sisa hasil metabolisma daripada setiap sel dalam badan.

Malah, ia juga berfungsi mengangkut hormon dari kelenjar endokrin kepada sel-sel sasaran melalui plasma darah.

Justeru, sistem tersebut berkait rapat dengan masalah yang dihadapi oleh pesakit darah tinggi dan ginjal.

Tambah Suhaila, penggunaan Kardiomate telah dibuktikan melalui kajian saintifik yang mendalam terhadap haiwan dan manusia.

Produk tersebut dilihat mampu membantu mengawal kandungan gula dalam darah, tekanan darah dan kolestrol.

"Komponen yang terdapat di dalamnya juga mampu membantu menghindarkan kerosakan pembuluh darah, memelihara otak dan organ dalaman manusia.

"Jadi, ia juga bertindak sebagai penggalak kepada proses pemulihan organ, mengimbangkan homeostasis metabolisma serta mengimbangkan aktiviti enzim dalam tubuh badan seseorang," katanya.

Penemuan baru itu juga dikatakan mengandungi kandungan galian yang penting seperti magnesium, kalium, kalsium, ferum, zink, asid amino, anti oksida asli serta asid lemak omega tiga yang sukar didapati dalam makanan.

Kandungan kalsium dan anti oksidanya dapat memberi faedah kepada tulang dan saraf.

Manakala kandungan iodin yang terdapat didalam Kardiomate dapat memenuhi keperluan kelenjar tiroid untuk menghasilkan hormon thiroxin.

Kardiomate juga sesuai diambil oleh individu hipertensi dan memiliki masalah ginjal yang memerlukan diet rendah natrium.

Ia berbentuk serbuk dan perlu ditabur dalam makanan ketika makanan dihidangkan untuk dimakan.

Berbeza dengan garam yang akan dimasukan terlebih dahulu ke dalam makanan tetapi Kardiomate tidak sedemikian.

Malah jika dimasukan terlebih awal ia akan membentuk jeli kerana ia turut dihasilkan melalui campuran ekstrak rumpai laut.

Apabila digunakan sebagai ramuan dalam makanan, ia membantu menurunkan indeks glisemik makanan sekali gus membantu menguruskan kandungan gula dalam darah dan berat badan penggunanya.

Ketika ditanya mengapakah beliau memilih untuk membangunkan produk tersebut, Suhaila berpendapat di Malaysia satu pertiga daripada kes kematian adalah disebabkan oleh penyakit kardiovaskular (CVD).

"Dua pertiga daripada kematian CVD adalah akibat kegagalan jantung berfungsi dan satu pertiga lagi akibat angin ahmar (strok).

"Malah peningkatan kemasukan pesakit di hospital kerajaan untuk kes CVD meningkat sebanyak 14 peratus dari tahun 1995 sehingga tahun 2000," jelasnya.

Justeru bagaimana Kardiomate mampu memberi kesan terhadap masyarakat dan alam sekitar?

Jelas beliau, salah satu punca utama penyakit kardiovaskular menular adalah melalui amalan pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.

Pengambilan makanan yang mengandungi kolestrol, lemak dan kalori tinggi secara berlebihan telah menjadi trend masa kini.

Meskipun terdapat pelbagai ubat untuk merawat penyakit tersebut, secara idealnya adalah lebih baik sekira ia bermula daripada unsur dalam diet makanan harian yang diambil.

Ia bukan sahaja boleh membantu mencegah sebarang penyakit dengan lebih pantas malah mampu membantu memperbaiki sistem kardiovaskular seseorang dari dalam tubuh jika digunakan secara berterusan.

Produk tersebut dihasilkan menggunakan ekstrak tumbuhan yang boleh membantu meningkatkan kadar oksigen apabila ia ditanam.

Malah penggunaan sisa tumbuhan juga membantu memelihara alam sekitar berasaskan prinsip menjana kekayaan daripada bahan buangan (waste to wealth)

Kajian yang dijalankan terhadap Kardiomate bermula sejak tahun 2002 dan sehingga kini ia masih diteruskan bagi memperbaiki mutu produk berkenaan.

"Beberapa syarikat perindustrian telah menunjukkan berminat untuk memasarkannya, namun beberapa kajian terperinci perlu dilakukan sebelum ia dijual kepada orang awam bagi memastikan keberkesanan dan kualitinya terjamin.

"Malah harga Kardiomate ini juga agak berpatutan sesuai dengan khasiat yang terdapat di dalamnya, ia berharga RM8 bagi seberat 80 gram (g)," ujar Suhaila.

Sepanjang kajian dilakukan, ia melibatkan kos sehingga RM500,000 dan geran bagi kajian tersebut telah disediakan oleh pihak universiti, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan juga Kementerian Pengajian Tinggi (MOHE).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: