SINGAPURA - Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong semalam mengumumkan anggota Kabinet beliau, dengan 11 daripada 14 kementerian bertukar peneraju.
Kenyataan Pejabat Perdana Menteri di sini berkata, sembilan penyandang jawatan sedia ada akan meninggalkan jemaah menteri manakala tujuh anggota baharu daripada kalangan Anggota Parlimen yang dipilih semula dan yang baharu dipilih pada pilihan raya umum 7 Mei lepas, dilantik menyertai Kabinet.
Hsien Loong dan anggota Kabinet baharunya itu akan mengangkat sumpah di hadapan Presiden S.R Nathan pada 7.30 malam Sabtu ini.
Pelantikan mereka berkuat kuasa pada hari yang sama.
Hsien Loong berkata, Kabinet baru Singapura mencipta sejarah penting apabila Menteri Kanan, Goh Chok Tong dan Menteri Mentor, Lee Kuan Yew tidak lagi menganggotainya selepas kedua-dua bekas perdana menteri itu mengumumkan Sabtu lepas keputusan masing-masing untuk berundur.
Bercakap pada sidang akhbar di Istana, Hsien Loong berkata, Kuan Yew dilantik sebagai penasihat kanan Perbadanan Pelaburan Kerajaan Singapura (GIC) manakala Chok Tong dilantik sebagai penasihat kanan kepada Lembaga Kewangan Singapura (MAS) dan diberi gelaran Menteri Kanan Emeritus.
Tiga lagi anggota Kabinet sebelum ini yang akan berundur ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras Keselamatan Nasional, Wong Kan Seng, Menteri Pembangunan Nasional, Mah Bow Tan dan Menteri Pengangkutan Raymond Lim yang juga Menteri Hal Ehwal Luar Kedua.
Melalui pembentukan Kabinet ini, Singapura akan mempunyai dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Teo Chee Hean, yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Penyelaras Keselamatan Nasional.
Seorang lagi Timbalan Perdana Menteri ialah Tharman Shanmugaratnam, yang juga Menteri Kewangan dan Menteri Tanaga Manusia.
Tharman juga akan bertindak sebagai pengerusi MAS manakala Hsien Loong adalah pengerusi GIC.
Menteri Luar yang baharu ialah K.Shanmugam yang juga memegang jawatan Menteri Undang-Undang.
Beliau sebelum ini adalah Menteri Undang-Undang dan Menteri Dalam Negeri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: