
KUALA LUMPUR - Ganjaran insentif oleh penganjur Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 kepada pasukan yang mendaftar sebelum 14 Mei telah mendapat respons positif daripada pengurus-pengurus pasukan yang mendengar khabar gembira itu.
Beberapa pasukan futsal yang dihubungi Kosmo! semalam menyifatkan insentif tersebut telah mendorong mereka untuk mendaftar lebih awal dan lebih teruja menyertai kejohanan itu selain menganggapnya sebagai satu bonus.
Ketua Pasukan Puteri Nibong, Nazliah Abd. Aziz, 27, berkata, pasukannya teruja selepas mendapat tahu berita gembira itu melalui akhbar Kosmo! semalam.
Katanya, dia dan pasukan menganggap insentif itu sebagai satu pendorong dan galakan kepada pasukan yang bertuah.
"Insentif ini kalau dapat kira macam bonuslah, boleh juga menampung perbelanjaan kami di Putrajaya nanti.
"Untuk mendapatkan pendaftaran ke-500 atau ke-1,000 mungkin agak susah tetapi perkara ini boleh dijadikan sasaran setiap kumpulan," katanya.
Ketua Pasukan Sri Perak B, Shukriza Mohd. Shukri, 34, berkata, tawaran itu merupakan satu cabang hadiah yang berbeza.
"Jika pasukan tidak menang dalam futsal, dia masih ada peluang untuk menang insentif jika bertuah.
"Bagi pasukan saya, insentif ini merupakan satu tawaran yang menarik untuk semua pasukan," jelasnya.
Sementara itu, Pengurus pasukan PPI Ampang FC, Hazrul Amri Hassan berkata, insentif berkenaan merupakan satu suntikan semangat kepada setiap pasukan yang bakal bertanding dan merupakan satu idea yang bernas.
"Saya berharap pasukan saya bertuah dalam cabutan ini nanti dan kami tidak sabar menunggu sepak mula kejohanan yang dianggap paling dinantikan berbanding kejohanan-kejohanan lain sebelum ini," katanya.
Pengurus Pasukan Futsal Persatuan Kebajikan Anak Pahang di Ibukota (PEKAP FC), Darwishah Osman pula berkata, pengurusan PEKAP bersetuju menghantar pasukan ke kejohanan futsal itu bagi kategori Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita.
"Saya akan pastikan PEKAP mendaftar dan membayar yuran sebelum 14 Mei ini bagi merebut peluang menerima insentif yang ditawarkan," katanya.
Jelasnya, pasukan Futsal PEKAP baru ditubuhkan khusus bagi Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 dan hanya mahu dilabel sebagai pasukan 'underdog' tetapi akan memberikan persembahan terbaik bagi bersaing dengan pasukan lebih berpengalaman.
Dalam pada itu, ketua pasukan Parlimen Puteri Jelutong, Nur Nasiha Syakina Azhar, 21, berkata, insentif yang ditawarkan itu amat dialu-alukan dan merupakan satu berita menggembirakan.
"Dengan adanya insentif ini, ia boleh dijadikan satu dorongan kepada pasukan supaya mendaftar lebih awal," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: