Sunday, May 15, 2011

Hotel ikon Malaysia


AKTIVITI sukan air juga disediakan atau nikmati keindahan tasik dengan menjamu selera di The Village (restoran terapung).


MUNGKIN tidak keterlaluan andai dikatakan Pullman Putrajaya Lakeside memenuhi ciri hotel ikon Malaysia. Masakan tidak, dengan seni bina tradisional Melayu, ia turut diberi sentuhan Cina, India serta etnik Borneo yang jelas menggambarkan identiti sebenar negara ini.

Berkonsep hotel bisnes dan dalam masa yang sama kaya dengan ciri sebuah resort memberi ketenangan kepada pengunjung apatah lagi dengan pemandangan indah menghadap tasik Putrajaya yang tenang lagi biru.

Terletak tidak jauh dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), tidak sukar untuk sampai ke situ jika anda sudah berada di pusat pentadbiran negara itu.

Dari jauh sudah kelihatan bangunan bernuansa Nusantara dengan seni bina yang gah, tidak ubah seakan bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak berhampiran Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Binaan luar yang mengkagumkan ditambah penataan dalaman moden, menjadikan sesiapa jua yang bertandang ke situ tidak habis memuji kehebatan Pullman Putrajaya Lakeside.

Masuk ke dataran utama, sebuah menara jam empat tingkat menancap perhatian. Taman mini yang damai di tengah dataran itu menyejuk pandangan dengan warna hijau semula jadi.

Elemen Oriental tidak dipinggirkan di mana kelihatan pagar berwarna merah membarisi pokok-pokok renek. Dewan utama yang direka seakan binaan rumah kaum etnik Borneo juga menarik perhatian.

Jamu selera

Pullman Putrajaya Lakeside menyediakan beberapa tempat menarik untuk menjamu selera mengikut cita rasa anda. Bukan hanya menyediakan hidangan enak, sentuhan tata hias yang menarik menjadikan pengalaman menjamu selera di situ cukup bermakna buat para tetamu.

Rekaan moden Restoran B’s berwarna oren seakan merah menjadikan ruang kelihatan segar. Menawarkan pemandangan luas hampir keseluruhan hotel dan sebahagian Tasik Putrajaya, nikmati pelbagai jenis hidangan tempatan mahu pun antarabangsa air tangan chef berpengalaman.

The Village, restoran signatur seakan terapung di atas air menarik perhatian dengan seni bina tempatan dan beratap tradisional. Menghidangkan masakan Asia dan Mediterranean membolehkan anda menjamu selera sambil menikmati panorama tasik nan biru. Tidak ketinggalan The Deli yang menyediakan pelbagai jenis roti, pastri, coklat dan minuman ringkas juga menawarkan ruang untuk berbual yang selesa buat pengunjung.

Keseronokan

Jauh dari kesesakan ibu kota, Pullman Putrajaya Lakeside sesuai sebagai tempat untuk melegakan tekanan ketika hujung minggu.

Fit and Spa Lounge menyediakan 10 bilik rawatan eksklusif dan 10 bilik spa berkonsep. Pengunjung akan dibelai dengan pelbagai jenis rawatan dilakukan oleh pakar terapi bertauliah.

Konsep moden yang diterapkan dalam premis ini mewujudkan suasana tenang, sesuai untuk beristirehat. Dengan sofa menunggu seakan pulau kaca impian, secawan minuman halia madu menyambut tetamu sebelum rawatan dimulakan.

Masuk ke bilik rawatan, anda pasti terpegun dengan dekorasi yang ditawarkan.

Pilihan spa merangkumi urutan signatur seperti Vous, batu panas, Tui Na, urutan mengurangkan tekanan, balutan badan dan sental tubuh.

Rawatan badan pula dari rangkaian Le Scrub Fur Vous, lulur diraja Jawa, skrub kopi, Le Scrub Four Homme dan garam Himalaya.

Juga terdapat bilik rawatan double untuk pasangan, sesuai dijadikan pakej bulan madu. Sebagai tambahan kepada bilik spa berkonsep, ia turut dilengkapi kolam jakuzi bagi memudahkan rawatan.

Bagi ibu yang mempunyai anak kecil, jangan risau kerana anda boleh tinggalkan anak di Kid’s Club yang dilengkapi pelbagai jenis aktiviti dan permainan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: