Wednesday, May 18, 2011

Hakim tidak benarkan bos IMF diikat jamin


DOMINIQUE STRAUSS-KAHN (dalam bulatan) duduk di dalam sebuah mahkamah di Manhattan, New York kelmarin.


NEW YORK - Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) Dominique Strauss-Kahn yang berasal dari Perancis tidak dibenarkan diikat jamin oleh hakim sebuah mahkamah dan dihantar ke Penjara Rikers di sini kelmarin selepas dia dituduh menyerang dan cuba merogol seorang pengemas bilik sebuah hotel di sini.

Hakim Melissa Jackson menafikan ikat jamin AS$1 juta (RM3 juta) yang diminta pihak pembelaan dan mengarahkan Strauss-Kahn, 62, ditahan di penjara sehingga kes tersebut dibicarakan lusa.

Strauss-Khan yang merupakan ahli politik dari Perancis yang disebut bakal bertanding dalam pilihan raya presiden tahun depan berdepan dakwaan dua kes jenayah berat seksual, dua kes penderaan seksual, cubaan merogol, mengurung secara haram dan menyentuh secara paksaan. Dia berdepan hukuman penjara sehingga 25 tahun jika didapati bersalah.

Dokumen pendakwaan menyatakan bahawa dia memaksa wanita berkenaan melakukan seks oral dan meliwatnya.

Ketua IMF berkenaan didakwa menyerang pengemas bilik berusia 32 tahun itu ketika dia sedang mengemas suit berharga AS$3,000 (RM9,120) sehari di Hotel Sofitel yang dihuni Strauss-Kahn, di sini.

"Dia melakukan serangan seksual terhadap mangsa dan cuba merogolnya. Apabila dia tidak berjaya, dia memaksa mangsa melakukan seks oral," kata Timbalan Pendakwa Raya Daerah John McConnell kepada mahkamah kelmarin.

Peguam ketua IMF itu, Ben Brafman bagaimanapun berkata, anak guamnya mungkin menyerang mangsa tetapi wanita itu meminta dirinya diperlakukan sedemikian.

"Bukti-bukti kes ini, tidak menunjukkan ia berlaku secara paksaan," kata Brafman sekali gus menunjukkan bahawa beliau akan habis-habisan mempertahankan anak guamnya.

Ketua IMF tersebut yang berketurunan Yahudi dan sudah berkahwin kini diletakkan di bilik penjara berasingan bagi mengelakkan dia diserang oleh banduan-banduan lain.

"Tindakan ini dilakukan bukan untuk mengasingkan dia daripada orang lain," kata seorang jurucakap Jabatan Penjara New York.

"Ia bagi mengelakkannya daripada menjadi mangsa dan dicederakan banduan-banduan lain kerana dia merupakan pesalah berprofil tinggi," tambahnya.

Ketua IMF itu ditangkap kurang empat jam selepas serangan seksual tersebut didakwa berlaku.

Beliau ditahan semasa berada dalam pesawat yang dijadual menuju ke Paris ketika pesawat berkenaan hendak berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di sini.

Sementara itu, mangsa memberitahu pihak berkuasa bahawa semasa dia memasuki bilik hotel Strauss-Kahn untuk mengemas pada Sabtu lepas, dia muncul dari bilik air sambil berbogel dan mengejarnya di dalam bilik hotel dan menariknya masuk semula ke dalam bilik tersebut.

Wanita itu mendakwa dia cuba melawan Strauss-Kahn sebelum lelaki itu mengheretnya ke dalam bilik air dan memaksanya melakukan seks oral keatas dirinya.

Mangsa memberitahu, dia sekali lagi dapat membebaskan dirinya ketika Strauss-Kahn cuba menanggalkan seluar dalamnya.

Dia kemudian melarikan diri ke tingkat bawah untuk memberitahu pekerja-pekerja hotel berhubung apa yang berlaku.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: