
LAKARAN penuh warna-warni haiwan dan manusia menghiasi gua-gua yang terletak di kawasan berbukit hutan gersang berdekatan utara Somalia.
Keunikan pemandangan penuh magis itu merupakan kawasan terawal dan seni batu paling asli di utara Benua Afrika.
Bagaimanapun, tapak arkeologi yang terletak di sebuah rantau bergelumang dalam rusuhan awam selama dua dekad tanpa belas kasihan dan undang-undang kini berdepan ancaman kemusnahan, rampasan dan penggalian haram.
Terdapat sebanyak 10 gua di Laas Geel, Somalia di luar Hargeisa, menunjukkan gambaran jelas sejarah ahli pastoral yang bertarikh lebih 5,000 tahun lalu.
Lukisan-lukisan tersebut telah ditemui sekumpulan pasukan arkeologi Perancis pada tahun 2002 dan dilindungi daripada penjarah selepas nilainya menjadi perhatian penduduk tempatan.
Sebelum ini, mereka tidak berani mendekati lukisan itu kerana menyangka ia adalah disebabkan roh jahat.
“Penduduk sekitar menyangka gua-gua tersebut mempunyai roh jahat dan tidak pernah menghampiri tapak arkeologi itu.
“Mereka turut menawarkan pengorbanan agar tidak diganggu,” imbas Penolong Arkeologi bersama kerajaan Somaliland, Ali Said.
Penemuan galeri-galeri gua tersebut menawarkan sekelumit sejarah mengenai kawasan yang cukup terkenal dengan konflik berdarah dan ketidakstabilan di mata dunia.
“Lukisan lembu-lembu berhias dengan beberapa jalur cerah di leher.
“Bahan himpunan dan haiwan liar menunjukkan zaman tempoh antara glasier apabila rantau Horn of Africa subur dan mempunyai banyak hidupan liar,” terang ahli arkeologi Britain kelahiran Somalia, Sada Mire yang bertugas mengekalkan warisan luar biasa itu.
Kini kebanyakan rantau Somalia merupakan tanah gersang dan Laas Geel kering kontang sehingga tidak lagi mampu menarik gerombolan lembu meragut, manakala penempatan manusia pula sukar ditemui di rantau berkenaan.
“Kita tahu bahawa pelukis lukisan di dalam gua berkenaan merupakan ahli pastoral yang tinggal di satu keadaan iklim lebih baik berbanding hari ini,” kata Mire.

“Ia merupakan penemuan yang agak penting kerana hanya sebahagian kecil sejarah di rantau ini diketahui umum dan banyak warisan arkeologi telah hilang akibat kemusnahan, rampasan dan pengabaian,” tambah dia lagi.
Gua-gua batu Laas Geel terletak berdekatan kuala dua sungai yang kini kering membuktikan kebenaran namanya. Amalan menggores dinding-dinding gua dengan haiwan serta gambaran lain menunjukkan wujudnya penempatan manusia di situ.
Walaupun beberapa lukisan yang terdapat di Laas Geel kelihatan jelas dan mengagumkan terdapat lukisan lain kelihatan luntur disebabkan degradasi batu serta kesan cuaca.
Gua-gua tersebut menempatkan satu gugusan lakaran prasejarah berwarna perang, jingga, putih dan merah di dinding serta silingnya.
“Lukisan-lukisan tersebut akan lenyap jika tindakan pemuliharaan tidak dilakukan dengan segera. Buat masa ini, kami melindungi dan merekod warisan sejarah ini.
“Keadaan cuaca dan manusia tidak dirancang menjadi ancaman,” kata Mire lagi.
Dia kini bertugas bersama kerajaan Somaliland untuk melatih penduduk tempatan melindungi artifak dan membantu pihak berkuasa merangka undang-undang pemuliharaan di tapak bersejarah rantau itu.
Somaliland telah mengisytiharkan kemerdekaan daripada negara Somalia apabila perang meletus berikutan penggulingan Presiden Mohamed Siad Barre pada tahun 1991. Bagaimanapun, ia tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Rantau kecil di utara Somalia itu turut mempunyai tapak prasejarah lain seperti lukisan-lukisan di dalam gua dan kehidupan awal manusia.
Di rantau utara Dhambalin, gua-gua batu juga mempunyai lukisan berwarna-warni lembu dan haiwan liar seperti anjing serta manusia menunggang kuda.
“Orang ramai kini menghargai lukisan berkenaan dan berharap mampu menarik pelancong yang dapat memberi faedah ekonomi kepada mereka,” kata Said sambil menunjukkan lukisan haiwan liar di dalam salah satu gua-gua itu.
“Kerajaan menggalakkan pemaju yang berkemampuan membina hotel-hotel dan resort sekitar Laas Geel untuk dikunjungi pelancong-pelancong,” ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: