Saturday, May 14, 2011

Geram suami digoda janda sebelah rumah

BAGAIMANA perasaan anda apabila setiap hari melihat jiran anda, seorang janda cantik menggoda suami anda? Adakah anda akan marah, tersenyum atau buat-buat tidak nampak?

Atau memang anda wanita yang berhati ikhlas tidak marah sebaliknya tersenyum melihat gelagat mereka setiap hari.

Atau mungkin juga 'perang dunia' akan meletus dan anda mengamuk sakan dan memberi kata dua kepada suami supaya jangan melayan jiran janda itu atau anda akan bertindak keluar meninggalkan rumah.

Itulah yang berlaku dalam kisah minggu ini melibatkan rumah tangga Suzana (bukan nama sebenar) dan suaminya Khairul (bukan nama sebenar).

Pasangan ini telah 15 tahun bernikah dan dikurniakan tiga cahaya mata berusia lapan hingga 13 tahun. Mereka bahagia sejak berkahwin sehinggalah seorang janda berpindah tinggal di sebelah rumah mereka kira-kira lima bulan lalu.

Sejak itu bermulalah episod bersiri dalam hidup dan rumah tangga Suzana.

"Saya telah 15 tahun bernikah dengan suami atas dasar suka sama suka. Kami mempunyai tiga anak, dua lelaki, dua perempuan.

"Suami bekerja sebagai pegawai bank, saya pula seorang guru. Hidup kami sederhana dan bahagia. Suami sayang kepada saya dan anak-anak. Banyak masa kami habiskan bersama. Itu cerita ketika kami bahagia.

"Sayangnya sejak lima bulan lalu kebahagiaan itu tergugat apabila seorang janda berpindah tinggal di sebelah rumah kami.

"Janda muda lewat 30-an ini bekerja dengan syarikat insurans. Hari pertama dia pindah, saya lihat dia sangat baik orangnya, mesra dan menyapa saya dan anak-anak dengan ramah.

"Setelah memperkenalkan diri, saya mempelawanya ke rumah untuk berkenalan atas dasar jiran. Kami berbual panjang. Ketika itu suami tidak ada di rumah. Dalam perbualan, dia beritahu namanya Aliya (bukan nama sebenar) dan tiada anak dengan bekas suami. Dia berpisah dengan suami kerana tidak mahu dimadu.

"Saya percaya bulat-bulat cerita Aliya. Sedang asyik berbual suami saya pulang daripada kerja. Lalu saya perkenalkan Aliya kepada suami. Mereka bersalaman. Seingat saya Aliya tidak menghulur tangan untuk bersalaman, tetapi nampaknya suami saya yang terhegeh-hegeh.

"Esoknya, ketika bersiap-siap ke sekolah bersama anak-anak, Aliya muncul di pintu pagar. Sambil tersenyum dia minta tumpang ke tempat kerja.

"Saya beritahu Aliya saya tidak lalu di jalan yang menghala ke tempat kerjanya sebab terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah terlebih dahulu.

"Lalu dia meminta untuk menumpang suami pula. Saya tidak kata apa-apa tetapi mengangguk tanda setuju walau hati berat hendak mengizinkan.

"Hari itu bermulanya detik hitam dalam rumah tangga saya. Rupa-rupanya, itu taktik Aliya untuk rapat dengan suami saya. Sejak itu mereka menjadi mesra dan rapat. Sejak hari itu juga dia menumpang kereta suami pergi dan balik kerja sebab alasan keretanya rosak.

"Pelik juga saya sejak dia berpindah tinggal di sebelah rumah kami, keretanya asyik rosak sahaja. Lalu saya syak memang dia jenis perempuan yang suka menggoda suami orang. Sekarang suami saya menjadi mangsanya.

"Saya mula bimbang mereka akan menjalin hubungan lebih serius. Apabila saya tanya suami kata saya cemburu.

"Menjadi-jadi hubungan mereka. Apabila saya berleter dan menegur, dia melenting. Isteri mana boleh tahan kalau setiap hari suami asyik angkut perempuan lain ke tempat kerja.

"Kita bertungkus-lumus memandu menghantar anak ke sekolah, kemudian bergegas untuk mengajar.

"Kenapa tak biarkan dia naik bas atau teksi sahaja? Bukan jauh pun pejabat dia dari rumah, yang susah-susah tumpangkan dia kenapa? Rumah pula bukan dalam hutan, tepi jalan, bas dan teksi banyak lalu lalang.

"Sudahlah begitu, meluat saya tengok perangai dia yang suka merengek-rengak. Kini sudah lima bulan keadaan itu berlaku. Mata saya macam sudah dipenuhi cacing, tidak boleh hendak tengok lagi drama dua orang pelakon berbakat besar ini.

"Saya malu dengan anak-anak yang selalu bertanya kenapa makcik 'gatai' itu selalu tumpang ayah mereka, tidak malu ke tumpang suami orang?

"Apa saya hendak jawab? Hendak pukul dia, serang atau halau dia dari rumah yang dia sewa? Yang salah suami saya, dia yang beri jalan. Kata orang, bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi!

"Malu pada jiran jangan cerita. Saya terpaksa pekakkan telinga, tutup mata dengan gelagat suami, dia selamba sahaja, 24 jam nampak bahagia dengan dunia cinta barunya.

"Masalahnya, apa yang saya cakap kepada suami langsung dia tidak kisah. Setiap kali dia keluar rumah, saya nampak janda sebelah itu juga akan keluar dan tunggu tepi jalan. Lewat malam baru mereka balik, geramnya saya, tapi apa nak buat, saya kena sabar demi anak-anak.

"Saya tidak akan berputus asa. Saya akan berusaha untuk merebut semula suami saya daripada perempuan itu. Saya tahu itu bukan perangai sebenar suami saya. Kepada Aliya, jangan pisahkan kasih sayang kami. Carilah kebahagiaan anda dengan cara diberkati Allah SWT," Begitulah kata-kata akhir Suzana sebelum menamatkan ceritanya.

Saya percaya dengan apa yang Suzana luahkan. Dalam dunia hari ini banyak perkara pelik berlaku dalam kehidupan manusia termasuk soal rumah tangga.

Paling sedih kerana kehadiran orang ketiga sesama kaum yang tergamak merosakkan kasih sayang kaum sejenisnya.

Namun itu hanya mainan dunia. Saya yakin masih ada jalan buat Suzana mengembalikan kebahagiaan rumah tangganya seperti dulu. Kepada Suzana, teruskan berdoa agar suami kembali pulih seperti selalu. Saya percaya kebenaran akan datang.

Mengundur diri, pesanan saya, jangan kesali apa yang telah berlaku tetapi berfikirlah untuk membaiki kelemahan supaya apa yang terjadi tidak akan berulang lagi. Salam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: