TERKEJUT...Thamil (baju putih) menceritakan kejadian dia disamun kepada anggota polis.
GOMBAK: Satu kumpulan penyamun dikenali sebagai Geng Parang Panjang kerana menggunakan senjata berkenaan ketika menyamun mangsa muncul semula dan kali ini menjadikan seorang lelaki yang sedang mengambil barang di dalam van di hadapan rumahnya di Taman Sri Gombak, di sini sebagai mangsa, pagi kelmarin.
Berikutan itu, mangsa berusia 38 tahun kerugian RM3,500 apabila rantai emas dipakainya dan dompet duit mengandungi wang tunai RM500 dilarikan.
Sebelum ini, geng sama dikesan menyamun seorang lelaki berhampiran kawasan sama pada pagi 11 Mei lalu.
Taktik geng itu ialah membuat 'tinjauan' beberapa pusingan di kawasan yang disasarkan dengan menunggang dua motosikal.
Geng terbabit memilih waktu pagi hari bekerja untuk menjalankan kegiatan kerana kebanyakan penduduk ketika itu tiada di rumah kerana keluar bekerja.
Dalam kejadian terbaru kelmarin, M Thamil Selvan, tergamam sebaik melihat satu parang panjang dihayun ke arahnya ketika memunggah peralatan pendawaian ke dalam van di depan rumahnya kira-kira jam 9 pagi.
“Saya cuba melarikan diri ke rumah keluarga selang dua rumah dari tempat kejadian namun tidak sempat apabila rakan lelaki terbabit mengejar dan menarik rantai emas dipakai.
“Selepas menarik rantai emas saya, suspek mengacukan parang panjang ke leher dan mengarahkan saya menyerahkan dompet,” katanya.Thamil berkata, dia yang bimbang dicederakan menyerahkan dompet berisi wang tunai RM500.
“Saya gagal mengecam wajah suspek kerana mereka memakai topi keledar berpenutup penuh.
“Kejadian berlaku terlalu pantas dan tidak sampai lima minit. Mereka juga mengarahkan saya masuk ke dalam longkang sebelum melarikan diri,” katanya.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Gombak mengenai kejadian itu.
Pada 11 Mei lalu, Harian Metro melaporkan seorang lelaki , Mashuri Marwan, 52, menjadi mangsa samun empat lelaki bersenjatakan parang di kediamannya, Fasa 4 Taman Sri Gombak.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Mashuri yang berbaring di ruang tamu bersama cucu lelaki berusia setahun tergamam apabila tiga lelaki tiba-tiba masuk ke rumahnya sebelum mengacukan parang panjang di lehernya. Selepas menyamun, suspek mengarahkan mangsa masuk ke dalam tandas dan menguncinya dari luar sebelum mereka melarikan diri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kes itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi memburu suspek.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: