Sunday, May 15, 2011

Fantasi Estranged untuk Pengganti




PENDEDAHAN ke alam lain, isu pengganti diri bila sudah ‘ke sana’ semuanya bermain di fikiran vokalis kumpulan ini. Bercampur baur segala rasa akhirnya apa yang dikhayalkan oleh Rich menghasilkan bait-bait lirik yang penuh dengan fantasi penyanyi ini yang dibantu oleh ahli yang lain.

Semuanya bermula dengan satu siri televisyen yang ditonton oleh Rich yang menggambarkan dua alam yang berbeza tetapi masih pada subjek yang sama. Cerita mengenai perjalanan seorang profesor sains ke alam berbeza untuk mencari dirinya bagi mengganti dirinya di alam yang satu lagi.

Tidak memikirkan lagu ini akan mencetuskan kontroversi, bagi Estranged mereka mahu memberikan kelainan dalam setiap hasil karya sambil memberikan kelainan yang nyata berbanding dengan hasil karya sebelum ini.

“Mungkin orang akan melihat lagu ini cukup berbeza dengan apa yang mereka jangkakan. Dan kami mahu ingatkan lagu ini mempunyai mesej tersendiri biarpun sedikit jauh untuk ditelah apa yang kami hasilkan.

“Bukan soal lagu sedap atau tidak menjadi tujuan utama tetapi bagi Estranged kami lebih suka jurang antara kami dan pendengar dirapatkan. Bila sudah ada yang memahami apa yang kami cuba sampaikan, itu cukup menandakan yang apa matlamat kami tercapai,” luah Rich yang cukup teruja dengan kemunculan semula kali ini.

Estranged yang telah ditubuhkan pada tahun 2001 pernah menghasilkan dua buah album sebelum ini. Di awal kemunculan dulu mereka mempertaruhkan album In Hating Memory pada tahun 2004 dan seterusnya keluar dengan Remain Unknown empat tahun berikutnya.

Bercerita mengenai lagu baru tersebut ia sebenarnya telah dirakamkan di tiga buah studio sebelum proses rakaman akhir. Bukan soal studio yang menjadi perbalahan tetapi ada di antara ahli kumpulan mereka yang tidak berpuas hati dengan hasil rakaman pada awalnya.

Malah klip video lagu Pengganti juga sudah siap dirakamkan oleh Playhouse-

Pictures dan Asia-Pasific Videolab (APV) dengan kerjasama 8TV yang mengambil masa hampir 18 jam untuk disiapkan.

Melihatkan senario artis tempatan yang lebih mengutamakan single berbanding dengan album, Estranged mempunyai pendapat tersendiri mengenali hal tersebut.

“Memang album penting tetapi kami tidak boleh tumpukan album kerana pembikinan album akan mengambil masa yang cukup lama. Kalau nak tumpu pada album mungkin akan menenggelamkan sedikit nama kami.

“Apa yang kami lakukan ialah memperdengarkan dahulu single baru dan dalam masa yang sama meneruskan pembikinan album. Sukar atau tidak, album tetap menjadi keutamaan. Itu merupakan petanda yang kami masih ada dalam industri ini,” kata Rich lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: