Tuesday, May 10, 2011

D'llyod masih hebat




BIARPUN usia vokalis kumpulan D’lloyd, Syamsuar Hashim sudah menjangkau angka 64 tahun, tetapi kelincahannya serta vokalnya masih lagi sama seperti zaman kegemilangan kumpulan itu sekitar tahun 70-an dan 80-an. Itulah rata-rata komen yang diterima daripada peminat tegar kumpulan itu ketika menyaksikan previu konsert D’lloyd di Istana Budaya minggu lalu.

Konsert yang diberi nama Semalam Di Malaysia itu berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Mei lalu. Kejayaan D’lloyd memenuhkan Istana Budaya selama tiga hari berturut-turut membuktikan pengaruh kumpulan yang berasal dari Jakarta, Indonesia itu masih kuat, bukan sahaja untuk peminat yang seusia dengan mereka tetapi juga peminat muda yang baru mengenali D’lloyd.

Bersama Syamsuar atau Sam pada konsert itu adalah anggota D’lloyd yang lain iaitu Bartje Van Houten (gitar), Yuhanny Fatmarina Susilo atau Yuyun (flute), Chairul Daud atau Khairul (dram), Budiman Pulungan (keyboard) dan Tooto (bass). Lebih menarik lagi, mereka turut berkongsi pentas dengan teman seperjuangan, Datuk Ahmad Jais.

Dalam previu konsert tersebut, D'lloyd mendendangkan 23 buah lagu tanpa henti. Ia termasuklah Sepanjang Lorong Gelap, Hidup Di Bui, Nasib, Keagungan Tuhan, Cinta Hampa, Oh Tak Mungkin, Mengapa Harus Jumpa, Oh Di Mana, Rambutmu Rambutku, Semalam Di Malaysia, Fatwa Pujangga, Rock & Roll, Pilu, Titik Noda dan Mari Berjoget.

Perasaan teruja dan terharu mereka tidak dapat dibendung apabila melihat sambutan yang diberikan peminat Malaysia, walhal kali terakhir mereka membikin konsert besar seperti ini di Malaysia adalah pada tahun 1976.

“Kami pernah ke Malaysia pada tahun 2001 dan 1996 tetapi untuk konsert besar, ini kali pertama selepas 35 tahun. Kami gembira, ternyata D’lloyd masih hidup di Malaysia,” ujar Sam yang ditemui pada sesi sidang akhbar sejurus konsertnya berakhir.

Apabila ditanya bagaimana Sam menjaga prestasinya ketika di pentas meskipun usianya sudah lanjut, dalam ketawa Sam menjelaskan persediaan daripada segi mental dan fizikal amat dititik beratkan, kerana peminat yang datang membayar sejumlah wang untuk dihiburkan.

“Saya bukannya muda lagi, memang lebih mudah penat berbanding dulu. Sebab itu, dalam mana-mana persembahan kami, Yuyun akan turut mendendangkan lagu, supaya saya dapat berehat sebentar sebelum meneruskan persembahan.

“Kalau terus-menerus, saya juga sudah tidak mampu, syukur, konsert di Malaysia, saya masih punya tenaga,” luah Sam yang bijak mencuit hati penonton dengan lawak jenakanya.

Ketua kumpulan D’lloyd, Barte yang duduk di sebelah Sam menerangkan konsert Semalam Di Malaysia ini sangat bermakna buat mereka memandangkan sebelum ini mereka menghentikan perjalanan D’lloyd selama 10 tahun kerana pemergian pemain bass asal D'lloyd, S. Panggabean.

Selepas S. Panggabean meninggal dunia, tempatnya digantikan oleh Reshamal Denkel atau Kamal yang kemudiannya juga meninggal dunia pada Ogos, 2003 kerana sakit jantung. Sebelum Kamal menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia sempat berpesan agar tempatnya digantikan oleh Yuyun, kerana itu D’lloyd kini mempunyai seorang anggota wanita.


VOKAL Sam masih utuh dan sama seperti di zaman kegemilangan D’lloyd dahulu.


“Jika sudah bersama D’lloyd, umpama kontrak mati. Kami tidak pernah berpecah cuma berpisah kerana kematian.

“Walaupun Yuyun seorang perempuan, dia amat sesuai dengan D’lloyd kerana dia boleh menyanyi dan bermain alat muzik dengan baik,” kata Barte yang menerangkan D’lloyd seperti sebuah keluarga.

Walaupun mereka merupakan sebuah kumpulan yang lama, tegas Sam, mereka masih aktif melakukan persembahan pentas di Indonesia, malah dalam tahun ini mereka akan mengadakan konsert di Sarawak dan Pulau Pinang,

“Kami masih aktif dan ligat seperti dulu. Sebelum bulan puasa dan selepas raya, kami akan bikin konsert lagi di Malaysia, syukur rezeki tidak putus-putus walaupun kami sudah tua,” kata Sam sambil diiringi tawa.

Bukan itu sahaja, menurut Barte, mereka juga dalam perancangan untuk melahirkan sebuah album baru dan juga sebuah album yang memuatkan lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee versi D’lloyd.

“Album untuk memuatkan lagu P. Ramlee itu sudah lama dirancang tetapi tertangguh apabila kami kehilangan S. Panggaben dan Kamal.

“Semua yang dirancang terdiam begitu sahaja, jadi sekarang kami sudah ada di Malaysia, kami gunakan peluang ini untuk melanjutkan lagi perbincangan yang pernah tertangguh dulu.

“Jika ada rezeki kami, album itu akan dibikin, begitu juga dengan album baharu kami. Walaupun album baharu di zaman yang moden ini, identiti lagu-lagu D’lloyd akan diterapkan kerana kami dan peminat suka dengan muzik D’lloyd. Bila ia akan keluar, itu saya tidak boleh pastikannya lagi,” kata Barte.

Jika masih ada yang ingat, sebelum ini pernah muncul kumpulan D’lloyd junior yang dianggotai oleh anak-anak anggota asal kumpulan D’lloyd. Bagaimanapun selepas satu album, kumpulan itu berkubur begitu sahaja.

Jelas Barte, kumpulan D'lloyd junior sekadar percubaan dan sudah tidak wujud lagi selepas satu album.

“Mula-mula dulu, ia sekadar suka-suka tetapi ternyata selepas sebuah album, mereka merasakan irama serta muzik D’lloyd tidak cocok dengan jiwa mereka. Mereka semua anak muda yang suka dengan muzik pop, rock dan muzik moden yang lain, bila memainkan muzik yang tidak cocok dengan jiwa, jadi mereka mempersembahan sebuah muzik yang bukan dari hati.

“Walaupun kemahiran muzik mereka tinggi, lebih baik bubar daripada bermain muzik tanpa hati. Cukuplah dengan sebuah kumpulan D’lloyd sahaja, kami akan bermain muzik sampai kami mati,” luah Barte yang juga merupakan seorang penerbit album di Indonesia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: