Saturday, May 21, 2011

'Cinta terhalang' David


PASANGAN bahagia David Teo dan Jane Lim dikurniakan empat cahaya mata.


RUANGAN Jodoh Kami kali ini membongkar kisah percintaan penerbit filem yang dianggap paling berjaya dalam industri perfileman tempatan, David Teo dengan isteri tercinta, Jane Lim.

Kali pertama bertentang mata dengan Jane ialah pada satu perjumpaan Tahun Baru Cina. Namun ketika itu ia tidak memberi sebarang kesan kepada hatinya.

Menurut anak kelahiran Pekan Jabi, Segamat, Johor itu, dia langsung tidak menyangka suatu hari nanti akan mendirikan rumah tangga dengan Jane.

Secara terang-terangan dia memberitahu, Jane ketika itu bukanlah seorang perempuan yang begitu cantik sehingga boleh membuatkannya jatuh cinta pandang pertama.

"Saya baru putus cinta. Bagi saya Jane bukan perempuan yang menarik kerana fizikalnya kurus dan tinggi.

"Saya pun tak terfikir nak cari ganti dalam tempoh yang singkat. Pastinya perjumpaan kali pertama itu sekadar berkumpul bersama rakan lain.

"Jane pula bukanlah perempuan yang banyak bercakap seperti saya. Dia pendiam, mungkin sebab itulah kami tidak banyak bertegur sapa,'' jelas David.

Tambah penerbit prolifik ini, ketika itu dia masih bergelar pelajar di sebuah kolej di ibu kota manakala Jane dalam tingkatan lima persekolahan.

Mengimbau kenangan lalu, menurut David, dia hanya berjumpa Jane setiap kali musim cuti persekolahan kerana ketika itu teknologi tidak secanggih hari ini yang mana masing-masing mempunyai telefon bimbit untuk menghubungi antara satu sama lain.

Bagi David, jika ada perkara penting yang hendak dibicarakan dengan Jane, dia menghubunginya menggunakan telefon rumah atau menunggu sehingga cuti sekolah bermula.

Disebabkan itu, perhubungan mereka semakin hari semakin rapat. Akhirnya sewaktu Jane menyambung pelajaran ke tingkatan enam, barulah David betul-betul jatuh cinta dan meluahkan perasaannya.

Jelas David, hubungan mereka tidak mendapat restu daripada ibu Jane memandangkan ketika itu dia hanya seorang jurujual jualan langsung.

Pun begitu, David terus menjalin hubungan dengan Jane kerana ingin membuktikan dia bukanlah seorang lelaki yang mudah berputus asa.

"Bayangkan, saya satu-satunya kawan Jane yang tak dibenarkan masuk ke rumah kalau nak jumpa dia.

"Saya tak putus asa. Tak bagi masuk rumah, saya jumpa di luar pagar,'' katanya tersenyum memandang isterinya.

Ditanya kenapa tidak mencari lain, David yakin memberitahu, dia tidak berganjak dengan keputusannya hanya disebabkan tidak diterima keluarga Jane.

Dia berusaha bersungguh-sungguh memenangi hati bakal ibu mertuanya. Penantiannya selama lima tahun tidak sia-sia apabila akhirnya 'kehadirannya' mula diterima keluarga Jane.

David berterima kasih kepada Jane kerana sanggup mengharungi segala masalah bersama-sama. Isterinya itu juga sanggup 'mengetepikan' keluarga apabila tidak mengendahkan amaran supaya tidak berkawan dengan David.

Mereka berkahwin pada 1 Jun 1991 setelah enam tahun menjalin hubungan.

"Majlis di pihak saya diadakan secara sederhana kerana ibu saya baru meninggal dunia. Tetapi majlis di sebelah Jane meriah. Kami sangat bahagia lebih-lebih lagi selepas dikurniakan empat cahaya mata,'' katanya.

Sementara itu, Jane pula memberitahu, sebaris ayat 'masa akan menentukan segala-galanya' yang keluar dari mulut David membuatkan hatinya terpikat meneruskan hubungan dengannya.

Di samping gembira dan serasi berasama David, Jane tidak menafikan suaminya bukanlah lelaki yang romantik.

"Dia tidak ingat tarikh perkahwinan dan tak pernah beri hadiah sepanjang percintaan," kata Jane, sambil mengakui suaminya seorang yang suka berjenaka.

David pula mencelah, tidak semua pemberian atau pengucapan dapat membuktikan keikhlasan ikhlas.

"Segala kasih sayang dan keikhlasan terbit daripada hati dan diterjemahkan melalui perlakuan. Kasih sayang tak semestinya lahir daripada pengucapan.

"Kita perlu terima kelemahan dan kebaikan pasangan. Kalau berselisih faham, banyakkan sabar dan jangan cakap banyak. Kata-kata ketika marah mengundang keburukan,'' katanya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: