SHEERA...kini muncul dengan watak antagonis dalam beberapa drama.
LAKONAN Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar atau mesra dipanggil Sheera Iskandar, 25, sebagai gadis baik pastinya sudah tidak asing lagi.
Oleh itu, kini Sheera seperti berubah haluan dan dia dilihat semakin menonjol dengan watak antagonis.
Ia dibuktikan gadis manis ini menerusi telefilem Alin Ke Elin? yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 13 Mei lalu.
Diikuti Ipar Ku Diva di Astro Warna (saluran 132) dan Ahmad Albob Yang Punya (TV3) yang nyata membawa kelainan ketara.
Ditanya sama ada Sheera sudah bosan menjadi ‘gadis baik’ , anak dara dramatis Aznah Hamid ini sekadar menjawab sebagai pelakon dia harus sentiasa bersedia menerima apa saja watak sama ada baik atau sebaliknya. Ia bagi mewujudkan kepelbagaian.“Saya tidak berubah haluan, cuma ingin mempelbagaikan karakter dalam lakonan. Saya tidak mahu hanya terikat dengan sesuatu watak saja seperti menjadi orang baik. “Demi memantapkan lakonan, saya harus menyahut cabaran melakonkan apa saja karakter.
“Melakonkan watak antagonis adalah satu cabaran besar bagi saya. Bukanlah tidak pernah berlakon watak jahat sebelum ini, cuba sekarang peluang itu agak banyak. Apa yang pasti, saya seronok dengan setiap watak yang dilakonkan itu.
“Watak baik atau jahat bukan ukuran dalam lakonan. Ini kerana paling penting seseorang pelakon itu harus tahu menjiwai karakter dibawa,” kata Sheera yang akan muncul dengan filem baru arahan Syamsul Yusof, KL Gangster 9 Jun nanti.
Sudah kerap membintangi drama, apatah lagi filem, Sheera turut ditanya mengenai pembabitannya berlakon teater. Tanpa berselindung, Sheera mengakui dia tidak berminat menawarkan diri untuk beraksi di pentas teater. Ujarnya, dia belum lagi bersedia.
“Empat tahun lalu, saya pernah juga berlakon teater Pelesit sekadar ingin mencuba. Ternyata berlakon teater bukanlah mudah dan saya fikir sekarang bukan masa sesuai untuk membintanginya lagi. Saya belum betul-betul sedia berlakon teater.
“Sekarang biarlah saya menumpukan sepenuh perhatian untuk berlakon drama dan filem saja,” katanya yang menyokong tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menayangkan satu filem Melayu seminggu di pawagam.
Sheera berkata industri perfileman tanah air sekarang semakin berkembang dan sebagai pelakon, ia peluang yang baik menonjol bakat. Jadi, tidak dinafikan muncul banyak produksi dan pengarah baru yang mengetengahkan karya dan bakat mereka.
“Dari sudut pandangan seorang pelakon, saya melihat sekiranya Finas tidak melakukan tayangan satu filem Melayu seminggu, maka wujudlah lambakan filem kerana penerbit terpaksa menunggu kelulusan wajib tayang agak lama mengikut giliran.
“Bahkan, ada antara filem sudah dihasilkan itu tidak ditayang. Sehubungan itu, dengan penayangan satu filem seminggu pada saya ia persaingan yang sihat.
“Malah, bagi penerbit filem menjadi cabaran kepada mereka untuk hasilkan karya terbaik.
“Jika mahu mendapatkan pulangan keuntungan berlipat ganda di pawagam dan menarik perhatian penonton, sewajarnya filem dihasilkan haruslah berkualiti. Tidak boleh ‘cincai’ dan asalkan siap berikutan ia membabitkan kehendak penonton,” katanya.
Menurut Sheera, pasaran filem Melayu kini semakin berkembang baik. Sebagai bukti, tayangan hari pertama selalunya tiket laris dan pawagam penuh.
Tambahnya, melihatkan situasi itu sukar untuk mengatakan perniagaan filem tidak meraih keuntungan.
“Selain pawagam, sekarang kemunculan Astro First (saluran 480) juga membantu dalam menjana pendapat penerbit filem. Ini kerana tidak semua orang mempunyai masa terluang menonton di pawagam memandangkan komitmen pada karier.
“Apa yang pasti, saya melihat perkembangan penerbitan filem dan drama di negara ini sangat positif. Tidak dinafikan, penghasilan drama tempatan juga banyak sudah menitik beratkan kualiti dengan menonjolkan kisah-kisah menarik,” katanya.
Bangga jadi anak Aznah Hamid
SEJAK kanak-kanak sudah menceburi bidang lakonan, Sheera berasakan namanya kini dikenali bukan saja disebabkan ibunya seorang pelakon terkenal, tetapi bersandarkan bakat dimiliki.
Ujarnya, jika tiada bakat belum tentu dia mampu menapak dalam industri.
“Saya bangga menjadi anak Aznah Hamid kerana menerusi mama, bakat lakonan ini diwarisi.
“Namun, saya sedar kehendak produksi tempatan kini sangat menitikberatkan bakat. Saya yakin jika tiada bakat, walaupun saya anak Aznah Hamid tapi pasti tak ke mana.
“Apa yang utama bakat diri. Kedua, barulah mama yang sememangnya dikenali ramai. Lihat saja, Syamsul dulu, pertama kali mengarah filem orang kata dia menumpang nama bapanya, Datuk Yusof Haslam. Tetapi, Syamsul sudah membuktikan kemampuannya.
“Sejak filem Evolusi KL Drift berjaya mencatat kutipan pecah panggung dan diikuti Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, bakat pengarahan Syamsul semakin menyerlah apabila menang Pengarah Terbaik melalui Evolusi KL Drift 2. Kini, Syamsul sudah membuktikan dia mampu berdiri atas kejayaannya sendiri,” katanya.
Menyorot lakonannya dalam filem KL Gangster, Sheera melakonkan watak Zati, gadis liar yang juga adik kepada Aaron Aziz.
Katanya, Zati terpisah daripada adik-beradiknya. Justeru, selain padat dengan aksi KL Gangster mengungkap kisah kekeluargaan.
Menyentuh pula soal kontroversi yang berlaku antaranya dan penerbit drama terkenal A Aida, pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan ini berkata dia selesa berdiam diri dan enggan memberi sebarang komen.
Katanya dia selesa berbicara mengenai karier.
PROFIL
NAMA PENUH: Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar
PANGGILAN KOMERSIAL: Sheera Iskandar
KELUARGA: Anak sulung daripada tiga beradik
TARIKH LAHIR: 18 April 1985
TEMPAT LAHIR: Kelantan
USIA: 25 tahun
KERJAYA: Pelakon
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan dari Yayasan Pelajaran Mara
DRAMA/TELEFILEM: Antaranya Janji Diana, Bintang Di Hati Bintang Di Langit, Mengejar Awan, Jangan Ada Dusta, Pinggiran Hati, Janjiku dan Telenovela Usia, Fatimah Najwa, Halimah Jongang, Siong, Alin Ke Elin?, Iparku Diva, Ahmad Albob Yang Punya
FILEM: Bicara Hati, KL Menjerit 1, Sembilu 2005, Cinta Yang Satu, KL Gangster, Aku Bukan Tomboy
TEATER: Pelesit (2008)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: