Sunday, May 8, 2011

Buang sikap malu

pix_middle

DIA bukan baru dalam industri. Pendedahan yang diperoleh apabila menemani ibunya ke lokasi penggambaran secara tidak langsung membuka peluang kepadanya berjinak-jinak dalam dunia lakonan. Seawal usia empat tahun dia menjayakan drama terbitan HVD hingga melangkah ke alam persekolahan.

Cuti sekolah, pasti ada tawaran menyusul dan bertitik-tolak dari situ dia mengasah bakat. Barangkali ada pembaca pernah menonton Sapura, Melewati Batas Waktu dan Setangkai Dua Mawar. Itu antara drama yang pernah dibintanginya pada zaman kanak-kanak.


Kini Sheera Iskandar bukan lagi anak kecil yang dulu setia menemani dramatis terkenal Aznah Hamid. Aktres cantik ini semakin bijak merencana kerjaya dan masa depannya.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Kalau sebelum ini dia kurang menyerlah dalam industri, sekarang dia bersedia memecah zon selesa untuk melakar pencapaian lebih baik.


"Saya sedar saya kurang menonjol hingga ramai ingat saya pelakon baru. Tak mengapa, saya tak kisah, apatah lagi kecil hati. Cuma saya rasa rugi apabila orang tidak nampak bakat saya, jadi saya terlepas watak bagus. Mungkin kerana terlalu low profile, orang terlepas pandang.


"Justeru, saya nekad untuk berubah. Bukan bermakna saya mahu menonjol atau terkejar-kejar populariti, tetapi mahu buang rasa malu yang menebal di hati dan mula bercampur dengan menghadiri majlis seni.

"Mungkin sebelum ini ada yang menganggap saya berat mulut atau sombong, tetapi hakikatnya saya bukan begitu. Saya suka bergaul tetapi untuk memulakan perbualan agak lambat," katanya sambil menguntum senyum.


Tambahnya, untuk membuktikan kemampuannya menjiwai pelbagai watak, dia tidak mahu lagi terikat dengan watak protagonis semata-mata, sebaliknya berani menongkah arus dengan membawa watak antagonis.Baginya yang kembali mendapat perhatian menerusi drama popular Halimah Jongang, segala tanggapan terhadapnya sebelum ini harus dilucutkan dengan bukti menerusi persembahan baik di layar perak mahupun kaca.


"Saya bersyukur, selepas Halimah Jongang, ramai pengarah mula percayakan bakat saya dan berani beri watak lebih mencabar, termasuk Datuk Yusof Haslam dan anaknya Shamsul. Mereka tawarkan saya watak samseng menerusi filem KL Gangster dan gadis lasak dalam Aku Bukan Tomboy.


"Menerusi dua watak itu, penonton dapat menyaksikan sisi berbeza saya dan diharap ia menjadi permulaan baik untuk lebih dipercayai selepas ini.


"Kalau ikutkan, saya pun tak percaya boleh bawa watak komedi, gedik dan jahat tetapi apabila mencuba dan pengarah berpuas hati, keyakinan saya bertambah.


"Masih ingat lagi, ketika zaman mama muda dulu, penonton tidak suka kalau bawa watak jahat. Sebab itu mama tidak berani bawa watak antagonis, tetapi penonton sekarang berbeza apabila mereka makin terbuka.


"Jadi, saya tidak kisah bawa watak jahat atau boleh buat penonton meluat demi mencabar kebolehan diri," katanya yang bercita-cita menubuhkan syarikat produksi bersama ibunya.


Bercerita mengenai perkembangan dirinya, selain berdebar menanti tayangan dua filem itu, Sheera baru selesai penggambaran siri Ahmad Albab untuk slot Lagenda TV3.


Menerusi drama rantaian ini, Sheera sekali lagi memegang watak antagonis sebagai Siti Zulkaedah, sepupu kepada Ahmad Albab lakonan Danny Anwar.


"Siti Zulkaedah berlagak dan suka buli orang sekelilingnya, lebih-lebih lagi Ahmad Albab. Dia rapat dengan seorang lagi sepupu iaitu Siti Zulhijjah (Anis Suraya).


"Saya jarang bawa watak sebegini dan puas apabila menjayakannya. Apabila mendapat skrip, saya cuba cipta satu kelainan yang mana penonton akan menyaksikan satu lagi sisi baru saya.


"Dalam telefilem Alin ke Elin yang akan bersiaran di saluran RTM pada 13 Mei ini juga saya melakonkan watak antagonis. Tahun ini adalah tahun saya meneroka watak baru yang boleh menambah kepercayaan orang terhadap bakat saya.


"Soal watak, saya tidak memilih dan jika diberi tanggungjawab, saya akan buat bersungguh-sungguh, malah saya tidak kisah mengubah penampilan, termasuk mengorbankan rambut. Saya juga tidak kisah soal bayaran jika suka dengan watak diberi.


"Cuma kalau boleh, saya teringin mencuba genre seram, tidak kiralah tampil sebagai orang yang diganggu atau hantu," katanya seraya ketawa manja.


Dilantik sebagai ikon derma darah, Sheera menyifatkan ia pendedahan menarik apabila tugas sosial ini menuntutnya bertemu dan berkomunikasi dengan orang ramai.


Tidak dinafikan, bukan mudah memujuk golongan yang sebelum ini menolak untuk menderma darah supaya sama-sama menderma tetapi dia tidak sesekali berputus asa.


Kesedaran betapa pentingnya menderma bagi mengisi tabung darah negara harus disuntik ke dalam diri seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, usia atau status.


"Saya menderma darah sejak berusia 18 tahun, pantang nampak ada program derma darah, pasti saya sertai. Demi menyuntik kesedaran masyarakat terhadap kebaikan menderma darah, saya sanggup mengenepikan perasaan malu. Jujurnya, saya tidak sangka boleh bercakap banyak bila berdiri sebagai ikon derma darah.


"Kini, saya berusaha mengajak rakan artis untuk turut sama menyokong kempen derma darah. Kebetulan Hari Darah Sedunia disambut pada 14 Jun depan, jadi diharap ramai sudi menderma dan memeriahkan karnival besar-besaran yang akan berlangsung di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 18 Jun," kata pelakon Ipar Ku Diva yang hangat bersiaran di Astro Warna ini.


Menebak hatinya, gadis manis ini kini ternyata berlagu riang. Melodi cinta memenuhi segenap ruang paling dalam di sanubarinya. Meskipun belum ada ketetapan, hubungan yang terbina utuh itu memberi inspirasi hingga cahayanya terbias di raut wajahnya.


"Kami sudah lama berkawan tapi belum merancang apa-apa berikutan masing-masing sibuk membina karier. Kalau ikutkan, saya letak sasaran berkahwin pada usia 25 tahun tetapi hari ini masih bujang. Saya tidak mahu tergesa-gesa dalam soal ini, malah keluarga tidak mendesak.


"Lagipun bab pertemuan dan jodoh sudah ditetapkan, jadi biarlah masa dan keadaan yang menentukan," katanya.


Ditanya adakah dia masih dibayangi pengalaman putus tunang hingga menjadikannya berhati-hati apabila berbicara perkara ini, seraya ketawa Sheera menegaskan tidak sama sekali. Apa yang berlaku satu ketika dulu sudah dilupakan dan sebagai manusia, dia perlu memandang ke depan jika mahu maju.


"Kalau dulu, mungkin saya fobia untuk bercinta atau mengikat tali pertunangan, tetapi kini tidak lagi. Kalah sudah tertulis tiada jodoh, nak buat macam mana.


"Hidup kena teruskan, jadi saya tidak mahu jadikan pengalaman lalu sebagai sekatan untuk mara ke depan. Pun begitu, andai bertunang kelak, saya tidak mahu ikat lama-lama," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: