Wednesday, May 25, 2011

Bakti terakhir buat ibu




MEMULAKAN karier sebagai seorang pelakon seawal usia 20 tahun menerusi filem Berlari Ke Langit, nama Siti Elizad atau Ejad mula menjadi sebutan ramai.

Meskipun filem sulungnya itu yang ditayangkan pada tahun 2004 dilihat kurang berjaya, namun ia tidak bermakna karier sebagai seorang pelakon terhenti setakat itu sahaja.

Namanya kemudian mula melonjak setelah dia sekali lagi mendapat kepercayaan Bada untuk membintangi filem Gangster yang telah mendapat sambutan hangat di samping pelakon Rosyam Nor.

Selepas itu, dia tidak menoleh ke belakang lagi dalam usaha untuk meletakkan namanya sebaris dengan pelakon-pelakon sedia ada serta mendapat kepercayaan pengarah sehingga telah berlakon enam buah filem setakat ini.

Pada masa yang sama, kariernya tidak terhad sekadar bergelar pelakon filem sahaja, malah lakonannya turut dapat disaksikan di kaca televisyen menerusi drama-drama lakonannya.

Bagaimanapun, pada saat namanya sedang dikenali ramai, tiba-tiba pelakon berkenaan terus menghilang daripada persada hiburan lantas menjadi tanda tanya ramai pihak terutamanya peminat.

Sehinggakan ada khabar angin yang mengatakan bahawa Ejad telah mendirikan rumah tangga secara senyap dan tidak diizinkan oleh suami untuk terus berkecimpung dalam dunia lakonan.

Berkesempatan menemuinya ketika majlis pelancaran drama bersiri Jamilah, I Love You! baru-baru ini, Ejad dengan tenang menjawab segala persoalan mengenai ketiadaannya dalam industri lakonan.


BERGANDING. Siti Elizad dan Nazim pertama kali dipertemukan dalam drama.


"Memang ramai tertanya-tanya tentang kehilangan saya selama ini. Sepanjang tidak berlakon selama dua tahun, saya sebenarnya menjaga arwah ibu yang menderita penyakit parkinson sehingga terpaksa berhenti berlakon seketika.

"Ketika awal-awal diserang penyakit tersebut, arwah ibu masih lagi boleh bergerak sendiri. Namun apabila penyakitnya semakin serius, dia tidak mampu lagi untuk bergerak biarpun ke tandas," jelas Ejad.

Menurut Ejad, biarpun pada mulanya agak sukar membuat keputusan untuk berehat daripada dunia lakonan, namun akhirnya dia terpaksa akur demi menjaga ibu yang tidak mungkin menjadi galang ganti dengan segala hal termasuk kariernya.

Jelasnya, memandangkan dia satu-satunya anak perempuan tunggal dalam keluarga, dia rela berkorban semata-mata untuk menjaga ibunya dan turut dibantu oleh adik-beradik yang lain.

"Bukan tidak mahu mengambil orang gaji tetapi sejak arwah ibu menderita penyakit tersebut, dia seperti malu untuk berhadapan dengan orang lain.

"Tentang perbelanjaan harian pula, arwah ibu ada menyimpan sedikit wang yang disimpan sejak dia bekerja dahulu dan wang itulah yang digunakan untuk makan dan minum serta kos rawatan," ujarnya.

Tambahnya lagi, biarpun pada mulanya berasa agak tertekan untuk menjaga ibu yang sedang sakit, namun akhirnya dia menyedari bahawa saat itulah yang paling sesuai untuk mencurahkan segala kasih saya terhadap ibu tercinta.

"Sewaktu arwah ibu meninggal dunia, saya memang rasa terlalu sedih sangat sehingga saya rasa selama ini saya tidak dapat menjaganya dengan baik.

"Bagaimanapun, adik-beradik saya yang lain banyak memberi sokongan kepada saya dan salah seorang abang ada katakan kepada saya, sebelum arwah ibu meninggal dia gembira melihat keadaan saya," ujarnya.


BARISAN pelakon Jamilah, I Love You! teruja menanti tayangan drama tersebut kelak.


Ibunya iaitu Nazariah Mohd Saleh, 62, telah kembali ke rahmatullah pada 4 April lalu. Menurut Ejad, selain parkinson, ibunya turut menghidap komplikasi penyakit lain seperti darah tinggi dan kencing manis.

Ingin bangkit

Sepanjang dua tahun meninggalkan dunia lakonan kerana menjaga ibu yang sakit, Ejad tidak menafikan dalam tempoh tersebut dia pernah mendapat tawaran berlakon.

Namun begitu, tawaran yang diterima itu terpaksa ditolak kerana tidak yakin dapat membahagikan masa dan memberi sepenuh komitmen ketika menjalani penggambaran.

Kini setelah kehilangan ibu tercinta, Ejad telah bertekad untuk bangkit dan mahu kembali aktif semula dalam bidang yang pernah ditinggalkan sebelum ini.

Malah, dia sebenarnya telah muncul kembali ke dunia lakonan dengan membintangi drama Cinta Antara Kita untuk slot Akasia di TV3 yang telah disiarkan pada bulan Mac lalu.

"Mulanya saya memang menolak untuk berlakon drama tersebut, tetapi kemudiannya bersetuju apabila kak Ziela Jalil selaku penerbit telah berjumpa dengan saya sendiri dan memberitahu niatnya untuk menolong saya.

"Cuma apa yang lebih menyedihkan hati saya apabila arwah ibu hanya sempat melihat satu episod drama tersebut sebelum dia menghembuskan nafas terakhir," ujarnya.

Menurut Ejad, biarpun sehingga kini masih lagi terasa dengan kehilangan ibunya itu, namun dia bersedia untuk menerima apa sahaja tawaran berlakon yang sesuai sama ada drama atau pun filem.

"Sekarang ini keadaan saya sudah pun kembali baik dan kini saya perlu meneruskan kehidupan seorang diri setelah ketiadaan arwah ibu.

"Malah, inilah peluang terbaik untuk saya meneruskan karier dalam bidang lakonan yang pernah ditinggalkan sebelum ini dan dan yang terbaru saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri Jamilah, I Love You! untuk saluran Astro Ria," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: