
PERASAAN bimbang untuk bergaya seringkali wujud dalam kalangan wanita yang berbadan gempal atau berisi. Tetapi, kenyataan itu kini ibarat mitos kerana wanita zaman ini lebih berani untuk tampil dengan gaya mengikut cita rasa masing-masing.
Pilihan rona pakaian juga semakin bervariasi. Wanita sekarang tidak lagi terhad kepada pilihan warna-warna gelap yang dikatakan mampu menimbulkan efek kurus. Sebaliknya, mood warna yang cerah mampu memberikan keyakinan agar mereka tampil lebih menarik.
Sempena musim bunga 2011, Ms Read menampilkan koleksi bertemakan Saya Adalah Wanita dengan gaya anggun dan santai bagi menghargai wanita yang ingin tampil penuh keyakinan tanpa terikat kepada rona dan rekaan tertentu.
![]() |
| PILIHAN kemeja yang sedikit labuh menutup punggung sesuai digayakan wanita bertubuh gempal. |
Koleksi Ms Read kali ini menghimpunkan rangkaian blaus potongan feminin, skirt labuh dan top daripada fabrik kapas, linen dan viscose. Rona-rona yang ditawarkan pula adalah seperti hijau lemon, biru lembut dan merah jambu.
Wanita bertubuh comel juga boleh bereksperimen dengan rangkaian Ms Read terbaharu ini. Rangkaian blaus sesuai dipadankan dengan seluar panjang rona putih atau jean denim yang memberikan gaya kasual dan sofistikated.
Dengan penampilan yang yakin, wanita berbadan berisi atau gempal juga boleh kelihatan menarik dan mencuri tumpuan. Selain itu, ia juga memberi keselesaan dan mood riang sepanjang hari.
![]() |
| LUANGKAN masa bersama teman-teman tanpa perlu terikat dengan rona gelap sepanjang masa. |
Justeru, kenyataan bahawa wanita bertubuh gempal tidak mampu menyerlahkan imej diri sudah tidak boleh diterima lagi. Baik untuk ke pejabat atau tampil kasual, wanita berisi kini sudah boleh mempunyai pilihan fesyen ideal di dalam almari pakaian mereka.
Bagi koleksi Ms Read, rekaan untuk ke pejabat hadir dalam blaus polos atau bercorak yang sesuai dipadankan dengan seluar atau skirt bagi menjadikan penampilan lebih sofistikated.
Gaya anggun pula disediakan melalui hiasan daripada perincian manik pada bahagian leher yang menyerlah penampilan wanita sama ada memakai seluar atau blaus bersama kardigan.
Secara keseluruhannya, koleksi musim bunga tahun ini menjadikan setiap padanan dalam rangkaian rekaan Ms Read mempunyai kelasnya yang tersendiri.
Himpunan Ms Read musim bunga kini boleh didapati di Alamanda Putrajaya, Midvalley Megamall, 1 Utama, Subang Parade, Empire, Bangsar Village II, Pavilion, Sogo, Isetan KLCC, The Mines, Gurney Plaza Pulau Pinang dan Plaza Pelangi Johor Bahru.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: