Saturday, May 14, 2011

Aiman tepati ramalan


IQA


SELEPAS mengharungi empat konsert mingguan, akhirnya Salma dan Iqa berjaya meneruskan perjuangan apabila layak ke peringkat Separuh Akhir Mentor kelima selepas konsert penyingkiran Kumpulan B, Ahad lalu.

Namun begitu, seorang peserta terpaksa menerima kenyataan bahawa perjalanannya dalam pertandingan tersebut telah berakhir.

Seperti sudah dijangka, Aiman akur dengan kekalahan tersebut apabila sekadar mencatatkan 190 markah secara keseluruhan ditinggalkan jauh oleh Salma yang mendapat 302 markah dan Iqa dengan 237 markah.

Penyingkiran Aiman secara automatik menyaksikan berakhirnya persaingan di kalangan peserta lelaki setelah Ayish juga tersingkir minggu lalu.

Menyampaikan lagu I'll Be nyanyian Edwin McCain dan Sesuatu Janji oleh Taufik Batisah, Aiman masih gagal menambat hati juri awam yang hanya memberikan 18 markah buatnya berbanding markah penuh yang diterima Salma dan Iqa.

Datuk Ramli MS selaku ketua juri bagaimanapun memuji nyanyian lagu pertama Aiman namun membuat sedikit teguran berhubung stamina Aiman yang cepat pancit apabila menyampaikan lagu rancak.


SALMA


Juri jemputan, Mus May juga menyuarakan pendapat sama seperti Ramli MS dan meminta agar Aiman lebih yakin ketika membuat persembahan.

"Intonasi suara awak bagus dan awak ada pakej lengkap serta mudah untuk diterima ramai, namun teknik nyanyian perlu diperbaiki," tambah Mus May.

Walaupun peserta yang berasal dari Shah Alam itu menyatakan dia menerima kekalahan itu dengan hati terbuka tetapi kekecewaan jelas terpancar di wajahnya.

Ketika sidang akhbar berlangsung usai konsert tersebut, Aiman lebih banyak menundukkan wajah ibarat menahan air mata akibat kekalahan yang dialaminya.

Aiman memberitahu, dia tidak akan berputus asa dalam memburu impiannya dan akan meneruskan latihan vokal yang sedang dipelajarinya.

Selain itu, protege kepada Rahim Maarof itu juga mengakui kehebatan peserta-peserta wanita hingga berjaya mendominasi peringkat separuh akhir.

Mentor kepada Aiman, Rahim Maarof pula memberitahu, dia tidak kesal memilih Aiman sebagai protege dan selama dua bulan melatih Aiman, dia telah menganggap anak didiknya itu seperti anak sendiri.

"Ketika sesi ujibakat saya disarankan untuk mengambil protege perempuan tetapi memandangkan saya melihat bakat yang ada pada Aiman saya membuat keputusan untuk mengambilnya sebagai protege.


RAHIM tidak kesal memilih Aiman sebagai protegenya.


"Saya bangga dengan pencapaian Aiman dan saya tahu dia telah melakukan yang terbaik untuk setiap konsert. Mungkin rezeki tidak memihak kepadanya," ujar penyanyi lagu Cinta Kristal itu.

Sementara itu, pendahulu Kumpulan B, Salma terus mempamerkan persembahan cemerlang dengan mendendangkan medley lagu Unbreak My Heart dan Sangkar Cinta.

Protege kepada Edry pula, Iqa mendapat pujian juri profesional kerana sentiasa menunjukkan peningkatan positif setiap minggu.

Menyampaikan rangkaian lagu berunsur kerohanian seperti Bila Cinta Bertasbih, Kepadamu Kekasih serta Intifada membuatkan persembahan Iqa tampak jujur dan segar.

Dengan berakhirnya konsert mingguan mengikut kumpulan, empat peserta wanita bakal bertanding di peringkat separuh akhir bermula minggu ini.

Empat peserta itu ialah Ratnah (mentor Afdlin Shauki), Shiha (mentor Datuk Sharifah Aini), Salma (mentor Erra Fazira) dan Iqa (mentor Edry Abdul Halim).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: