Wednesday, May 25, 2011

16 pasukan KPTM sedia gempur


SOHAIMI (depan, kanan) dan Bachtiar (kiri) bersama sebahagian pemain pasukan KPTM di Cheras semalam.


KUALA LUMPUR – Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) bakal menghangatkan kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 yang akan berlangsung di Kompleks Futsal 1Malaysia, Putrajaya mulai esok hingga 29 Mei ini dengan menghantar sebanyak 16 pasukan.

Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, semua 16 pasukan yang akan berentap pada kejohanan itu telah bersedia untuk menyaingi pasukan-pasukan futsal handalan lain berbekalkan semangat KPTM Boleh!.

Menurut beliau, untuk kejohanan kali ini, KPTM akan menyertai kategori Larut Malam dan Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita serta kategori Rentap Superstar.

“Biarpun ini merupakan penyertaan sulung kami dalam kejohanan Rentap Futsal tetapi kami yakin akan dapat memberi saingan sengit kepada semua pasukan dan seterusnya menjadi juara dalam setiap kategori yang kami sertai.

“Kami telah mengingatkan semua pemain KPTM supaya tidak mudah mengalah dan sentiasa bersedia untuk berjuang habis-habisan pada setiap perlawanan untuk memastikan pasukan yang mereka sertai mencapai keputusan terbaik,” katanya yang turut menghantar pasukan sorak bagi memberi semangat kepada para pemain KPTM.

Sohaimi memberitahu, penyertaan pasukan KPTM dalam kejohanan besar seperti Rentap Futsal akan membantu kolej tersebut mencungkil lebih ramai pemain berbakat dalam sukan futsal supaya mereka dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurut beliau, KPTM telah berjaya melahirkan ramai pemain futsal kebangsaan melalui penyertaan kolej tersebut dalam penganjuran kejohanan Kosmo! Varsiti Futsal sebelum ini.

Dalam pada itu, pengurus untuk semua pasukan di bawah kolej KPTM, Bachtiar Juwida Haron berkata, semua pemain yang akan menyertai kejohanan tersebut merupakan pemain berpengalaman yang pernah memenangi beberapa kejohanan futsal sebelum ini.

“Pasukan kami adalah disertai para pemain muda dalam lingkungan umur 19 hingga 20 tahun. Semua mereka bertenaga dan bakal memberi tentangan hebat kepada pasukan lawan,” ujarnya.

TNB Selangor, Brother International taja hamper Rentap Futsal Putrajaya


AZIZAH menyampaikan tajaan hadiah berupa barangan elektrik kepada Mohd. Nor di Ibu Pejabat Kosmo!, Kuala Lumpur semalam.


SUMBANGAN. Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor tidak ketinggalan menyampaikan sumbangan hamper bagi memeriahkan kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 yang akan bermula esok. Sumbangan tersebut berupa barangan elektrik dan hadiah eksklusif TNB yang akan digunakan dalam cabutan bertuah untuk para pengunjung dan pemain.

Pengurus Besar, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor, Datuk Abdullah @ Abdul Basir Abdul Ghani menyampaikan sumbangan tersebut kepada Penolong Pengarang 2 Kosmo!, Lokman Othman di Ibu Pejabat TNB Selangor di Shah Alam kelmarin.


ABDULLAH (kanan) menyampaikan sumbangan tajaan TNB Selangor kepada Lokman di Shah Alam kelmarin.


“Sumbangan ini adalah sebagai tanda sokongan TNB terhadap usaha murni pihak Kosmo! untuk bersama-sama menghimpunkan sejuta belia sempena sambutan Hari Belia Negara 2011,” kata Abdullah. Sementara itu, pada majlis berasingan di Ibu Pejabat Kosmo! di Kuala Lumpur, Brother International (M) Sdn. Bhd. turut menyampaikan tajaan hadiah berupa barangan elektrik. Tajaan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Jabatan Jualan Perniagaan Kerajaan Syarikat itu, Azizah Abdullah kepada Penolong Pengarang 1 Kosmo!, Mohd. Nor Ab. Samad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: