KUALA LUMPUR - Cabaran Eko Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) 2011 peringkat akhir yang akan berlangsung di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka pada 25 Jun ini akan disertai oleh 13 institusi pengajian tinggi tempatan.
Antara institusi pengajian tinggi yang terlibat adalah Politeknik Port Dickson, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Teknologi Malaysia, Politeknik Sultan Azlan Shah dan Universiti Industri Selangor.
Menurut Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh (gambar kecil), penganjuran pertandingan itu bertujuan menyediakan platform bagi mencungkil daya kreativiti, inovasi, keupayaan dan kejuruteraan bakat-bakat baharu yang terdiri daripada mahasiswa institusi-institusi pengajian tinggi tempatan.
"Dianjurkan buat kali ketiga, program kali ini telah dilancarkan pada bulan Januari lalu dengan setiap pasukan telah diberikan sebuah enjin dan sistem transmisi untuk dimuatkan di dalam rekaan kereta masing-masing.
"Antara perbezaannya pada tahun ini ialah pasukan yang terlibat perlu mereka bentuk sebuah kenderaan yang mampu bergerak sejauh mungkin dengan menggunakan setengah liter minyak Petronas Primax 95," katanya pada sidang akhbar berhubung cabaran tersebut di sini semalam.
Aminar Rashid berkata, pihaknya akan terus memainkan peranan untuk menyediakan peluang kepada golongan belia dan berharap pertandingan seumpama ini akan diteruskan pada masa depan.
"Saya amat kagum dengan progres yang dicapai oleh pasukan-pasukan yang mengambil bahagian dalam peraduan kali ini kerana saya percaya mahasiswa tempatan mampunyai bakat yang kreatif," katanya.
Selain bersaing untuk menyandang gelaran juara dengan hadiah utama yang terdiri daripada wang tunai RM20,000, dua kategori lain turut dipertandingkan iaitu kejuruteraan terbaik, rekaan dan penyertaan terbaik yang masing-masing menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM10,000 dan RM5,000 bagi tempat pertama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: