Wednesday, July 7, 2010

Simulasi Perang Pangkor




BIDIKAN meriam yang dilepaskan ke langit terbuka di perairan Selat Melaka pada malam itu mula memecah kesunyian. Bagai menunggu giliran, setiap kapal yang menyertai siri latihan tersebut memulakan tembakan sejurus meriam pada kapal sebelumnya selesai memuntahkan peluru.

Pegawai-pegawai persenjataan KD Seri Inderasakti, KD Lekiu dan KD Kedah pula memastikan sasaran bidikan setepat mungkin biarpun hanya dibantu cahaya bulan penuh yang menerangi malam tersebut.

Di atas anjungan KD Seri Inderasakti, kapal logistik yang mengetuai rangkaian tiga kapal yang menyertai latihan tersebut, Ketua Staf Markas Armada TLDM, Laksamana Pertama Mior Rosdi Mior Mohd. Jaafar dan dua pegawai kanannya, Kapten Ahmad Abdullah dan Kapten Zukarani Talib memerhati dengan teliti.

Setengah jam kemudian, sesi tembakan tersebut dihentikan sekali gus menamatkan acara kemuncak yang dilaksanakan sempena latihan Perang Pangkor Siri 6/2010 itu.

Terdahulu, kurang 40 minit selepas tiga kapal perang terbabit memulakan pelayaran meninggalkan Jeti Operasi, Pangkalan TLDM Lumut pada pukul 1.20 petang, KD Seri Inderasakti yang sedang belayar dalam keadaan perang, digempur anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) KD Panglima Hitam.

Misi anggota elit TLDM itu adalah untuk menyelamatkan dua tebusan yang ditawan gerombolan lanun di perut kapal berkenaan.

Tiga buah bot laju secara senyap menghampiri KD Seri Inderapura dari arah tepi dan sejurus itu anggota Paskal berkenaan menyusup naik tanpa disedari lanun terbabit.

Beberapa saat kemudian, sejumlah anggota pasukan khas itu dilihat turut melakukan serbuan menggunakan teknik fast roping dari helikopter Fennec, milik TLDM.

Dalam masa kurang lapan minit, kesemua lanun terbabit ditumpaskan manakala dua tebusan berkenaan berjaya dibawa keluar menggunakan helikopter yang sedia menanti menggunakan teknik spiral.

Keupayaan armada TLDM sekali lagi teruji apabila ketiga-tiga kapal yang sedang belayar itu 'diserang' dari udara.

Dua pesawat pejuang Hawk dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan mula berlegar dan 'menggempur' tiga kapal terbabit. 3


HELIKOPTER ini dilengkapi dengan sensor dan senjata canggih.


Biarpun latihan peperangan antiudara itu berlangsung kurang sepuluh minit, namun kecekapan pegawai pemerintah dan anak-anak kapal KD Seri Inderasakti, KD Lekiu dan KD Kedah berhadapan situasi tersebut nyata terserlah.

Keupayaan tiga kapal terlibat dalam eksesais Perang Pangkor terus diuji dengan pelaksanaan manouvra dan pendaratan helikopter Super Lynx di dek.

Ketika ini, TLDM mempunyai enam unit helikopter Super Lynx MK 100 yang diperoleh dari Westland Helicopter Ltd WHL United Kingdom bagi menggantikan helikopter WASP HAS MK1 yang telah berusia.

Super Lynx MK 100 dipilih kerana keupayaannya melakukan peperangan antidaratan, peperangan antikapal selam, mencari dan menyelamat, pengawasan maritim antipelanunan dan sasaran di udara jelas memperlihatkan kehebatannya sepanjang latihan tersebut.

Apa yang pasti, helikopter yang turut dilengkapi dengan sensor dan senjata yang canggih itu terbukti mampu beroperasi sepenuhnya dari atas dek kapal mahupun pangkalan di daratan.

Dalam pada itu, keupayaan kapal perang yang sedang belayar terbabit terus teruji dengan latihan pemindahan logistik dari sebuah kapal ke kapal lain.

Sama ada untuk menampung kekurangan bekalan atau merawat anggota yang sakit, pemindahan tersebut terpaksa dilaksanakan kerana tidak mahu mengganggu jadual pelayaran. Bagi tujuan itu, satu kaedah dinamakan jackstay digunakan iaitu pemindahan dengan tali yang direntang di antara dua buah kapal.

Komitmen dan persefahaman antara pegawai dan anggota KD Seri Inderasakti dan KD Lekiu membuahkan hasil apabila pemindahan beban yang kurang daripada 250 kilogram (kg) berjaya dilaksanakan dalam tempoh kurang 20 minit.

Pada kebanyakan masa, kapal perang TLDM terpaksa mengharungi pelayaran yang memakan masa berbulan-bulan. Sehubungan itu, adalah penting bagi semua pegawai dan anak kapal bersedia berhadapan sebarang bentuk kemalangan.

Eksesais Perang Pangkor juga memberi peluang kepada warga kapal terlibat mempamerkan ketangkasan masing-masing memadamkan kebakaran, sekira musibah tersebut berlaku semasa pelayaran.


EKSESAIS Perang Pangkor bertujuan untuk menilai keupayaan dan kesiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia.


Selain itu, keupayaan untuk menghadapi kebanjiran di dalam kapal akibat kebocoran, pelanggaran dan sebagainya turut teruji dan bagi Laksamana Pertama Mior Rosdi, segala yang dirancang sepanjang latihan berkala itu, dilaksanakan dengan jayanya.

Mencapai matlamat

Menurut Mior Rosdi, eksesais Perang Pangkor siri 6/2010 yang bermula kira-kira pukul 1.30 petang dan berakhir pada pukul 12.30 malam itu berjaya mencapai matlamat dalam menilai keupayaan dan kesiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menghadapi apa jua kemungkinan peperangan.

Katanya, latihan yang diadakan secara berkala itu bukan sahaja menguji kejituan persefahaman antara warga armada TLDM malahan juga dengan TUDM.

"Saya amat berpuas hati dengan komitmen pegawai serta anggota terlibat dan mencapai objektif yang ditetapkan.

"Kita juga bukan sahaja melihat kecekapan anak-anak kapal tetapi segala sistem sama ada navigasi, persenjataan dan sebagainya yang terdapat dalam kesemua kapal telah teruji dengan jayanya," katanya kepada Kosmo!.

Menurutnya, jumlah kapal yang terlibat dalam setiap Perang Pangkor berbeza namun untuk menjayakannya, Markas Armada TLDM memerlukan sekurang-kurangnya tiga buah kapal.

"Apa pun kita menyasarkan untuk melaksanakan sekurang-kurangnya 20 eksesais sepanjang tahun ini meskipun pada tahun lalu Markas Armada berjaya menjayakan sebanyak 30 kali latihan seumpamanya," katanya.


ANGGOTA elit TLDM menggempur gerombolan lanun di perut kapal.


Pada eksesais berkenaan, lebih 20 orang petugas media cetak dan elektronik yang berpangkalan di Perak diberi kesempatan untuk mengikuti pelaksanaan latihan tersebut yang diadakan di sepanjang 41 batu nautika berdekatan perairan Pulau Pangkor.

Dalam pada itu, Panglima Markas Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Badarudin yang turut meluangkan masa menyaksikan eksesais berkenaan berkata, pihaknya akan terus memastikan semua aset yang dimiliki, mampu digerakkan dalam apa jua keadaan.

"Perang Pangkor merupakan medan terbaik untuk kita menguji keupayaan sekali gus meningkatkan tahap kesiagaan sedia ada.

"Simulasi perang sebegini membolehkan semua pegawai dan anggota meningkatkan kepakaran taktikal sebelum menghadapi 'peperangan' sebenar kelak," katanya.

Ujarnya, Markas Armada juga akan terus memberi penekanan terhadap kualiti dan mutu perkhidmatan pegawai dan anggotanya, bertepatan dengan tema Hari TLDM ke-76, 'Warga Didahulukan, Kesiagaan Diutamakan'.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: