Wednesday, July 14, 2010

Sekatan Internet di Vietnam


KERAJAAN Vietnam sangat memantau kandungan laman web dan rangkaian sosial di kalangan pengguna Internet di negara itu.


BEBERAPA siri laman web milik blogger, Nguyen Hue Chi dan rakan-rakannya yang mempersoalkan polisi kerajaan tiba-tiba diserang sejenis virus berupa permainan elektronik kucing dan tikus oleh seorang penjenayah siber di Hanoi.

Serangan misteri berkenaan dipercayai dilakukan oleh pihak kerajaan. Sememangnya itulah tujuan Chi dan rakan-rakannya mewujudkan siri laman web berkenaan iaitu untuk melihatnya diserang dan disekat.

Pada masa yang sama, para pemerhati kini lantang menyelar pemerintah negara berkenaan yang bertindak agresif terhadap laman-laman web yang menyentuh sensitiviti politik.

"Kerajaan dilihat seperti mengikuti model yang diamalkan negara China," kata seorang diplomat asing yang enggan dikenali.

"Mereka bukan sahaja telah menyekat akses tetapi kini cuba mengambil-alih laman-laman web berkenaan," katanya sambil memberitahu sebanyak 24 laman web telah terganggu tahun ini.

Bauxite Vietnam kendalian Chi adalah salah satu daripadanya.

Laman web berkenaan tahun lalu memulakan sebuah petisyen terhadap pelan kerajaan mengenai satu projek perlombongan bauksit di wilayah tengah Vietnam. Ia bertujuan membantu menyuarakan pandangan masyarakat dalam spektrum yang lebih luas.

Projek yang masih dalam pembinaan itu menimbulkan kontroversi kerana sekurang-kurangnya sebuah syarikat China telah diberi kontrak besar.

"Ia jelas bahawa mereka mencedok model China untuk mengawal Internet," kata Chi yang turut mengkritik kerajaan berhubung pertikaian isu laut dengan China.

Beijing menjalankan rejim penapisan web yang kadangkala disebut sebagai Great Firewall of China.

Chi berkata, dua blog dan laman webnya yang diwujudkan pada April tahun lalu telah berjaya disekat walaupun mempunyai sistem perlindungan hebat. Itu termasuk tiga lagi laman web baru yang berhadapan ratusan ribu serangan.

Bauxite Vietnam masih lagi boleh diakses, bagaimanapun ia perlu melalui dua blog dan Chi bersumpah untuk mempertahankan blog itu sehingga ke akhirnya.

Pada bulan Mac, syarikat Internet gergasi Amerika Syarikat (AS), Google berkata, penggodam secara khusus cuba menyekat suara pembangkang terhadap usaha perlombongan bauksit di Vietnam.

"Mereka yang bertanggungjawab terhadap sekatan itu mungkin mendapat arahan daripada kerajaan Vietnam," kata firma keselamatan Internet California, MCAfee.

Insiden tersebut mengingatkan kembali mengenai penyerang siber di China pada bulan Januari lalu apabila wujudnya tawaran untuk menggodam akaun e-mel seorang aktivis hak kemanusiaan China.

Bantahan

Google telah menghentikan pengharaman ke atas keputusan enjin cariannya di China seperti yang diminta kerajaan negara berkenaan.

Syarikat enjin carian gergasi itu turut mengeluarkan bantahan kepada Vietnam pada Jun lalu lantaran ditekan dengan peraturan yang membolehkan pihak kerajaan menyekat akses laman web dan mengesan aktivis di kalangan pengguna Internet.

Bagaimanapun, Kementerian Perhubungan Luar Vietnam memberi maklum balas bahawa peraturan itu adalah untuk mengekang kandungan Internet yang berunsur keganasan dan pornografi, khususnya di kafe siber.

"Keputusan ini bertujuan untuk menjamin keselamatan dan kesihatan penggunaan Internet menerusi capaian awam di Hanoi," kata jurucakap kementerian, Nguyen Pguong Nga.Katanya, keprihatinan mempraktikkan dasar kebebasan berekspresi belum wujud.


KUNJUNGAN ke kafe siber di Vietnam kini tidak lagi membawa erti perhubungan dunia tanpa sempadan.


Perkembangan Internet di Vietnam adalah antara yang terpantas di dunia, dan penggunanya mencecah 24 juta atau kira-kira 28 peratus populasi negara berkenaan, kata Nga.

Begitupun, pemerintah Vietnam dikatakan memulakan kempen pemantauan keras itu apabila ia memulakan sekatan ke atas laman interaktif sosial paling popular di dunia iaitu Facebook, November lalu. Pengguna masih belum dapat masuk ke muka laman berkenaan, namun ada sebahagiannya mempunyai cara tersendiri untuk mengaksesnya.

Akses kepada laman web berbahasa Vietnam milik BBC juga terkena tempiasnya.

Kekangan ke atas media berita itu disifatkan para pelabur dari Barat sebagai tindakan yang mengancam perkembangan pantas ekonominya.

Seorang lagi diplomat yang turut tidak mahu dikenali berkata, di sebalik usaha tersebut, kerajaan pasti menghadapi kesukaran untuk mengawal Internet.

"Anda boleh menutup Facebook dan Youtube tetapi akan sentiasa ada jalan bagi mereka yang benar-benar mahukan akses kepada laman web berkenaan," katanya.

Aktiviti blogging meniti populariti sejak ia masuk ke Vietnam sejak tahun 2005. Kerajaan mula melarang penggunaannya tahun lalu walaupun hanya peratusan kecil daripadanya memaparkan komen-komen mengenai isu politik yang sensitif.

"Larangan tersebut sudah menjadi satu isu yang besar," kata seorang blogger yang tidak mahu dikenali.

"Agensi keselamatan Vietnam telah meningkatkan kebolehan pemantauan Internetnya kerana tidak mahu ruang kebebasan tersebut digunakan oleh pihak pembangkang," kata pakar pengajian Vietnam dari Universiti New South Wales, Carl Thayer.

"Mereka memperoleh dan menggunakan peralatan-peralatan moden untuk meningkatkan kebolehan mereka, dan sebahagiannya mendapat bantuan daripada bekas komunis China yang menghadapi ancaman sama daripada pembangkang siber," jelasnya.

Tambah Thayer, debat mengenai Internet telah dipertingkatkan sempena kongres Parti Komunis tahun depan. Ia adalah acara lima tahun sekali yang menentukan kedudukan tertinggi kepimpinan, tambah Thayer.

Sementara itu, pada Mei lalu kumpulan Pemerhati Hak Kemanusiaan New York menuduh Vietnam melaksanakan serangan sofistikated ke atas pembangkang dalam talian. Antara lain, kumpulan pemantau itu turut mendedahkan mengenai pembebasan sekurang-kurangnya tujuh blogger sejak mereka ditahan dua bulan lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: