Tuesday, July 27, 2010

Scomi Engineering Setaraf Global

Syahrunizam Samsudin

SCOMI Engineering banyak memberi sumbangan kepada negara apabila membekalkan monorel kepada pasaran dunia termasuk pembangunan vendor di Malaysia.

Pada masa ini, penyertaan syarikat itu bagi projek antarabangsa adalah 70 peratus manakala 30 peratus lagi untuk projek tempatan.

Presidennya, Syahrunizam Samsudin berkata, pemahaman Malaysia terutama pemain industri terhadap pengangkutan monorel masih rendah dan kesedaran terhadap kepentingannya harus dipergiatkan.

“Jika banyak projek tempatan, lebih banyak localisation boleh dilaksanakan kerana sekarang ini banyak komponen monorel daripada Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan Korea.

“Kerana itu kita mewujudkan pusat kecemerlangan di sini bagi mencipta komponen seumpama itu menggunakan kepakaran dan khidmat tempatan,” katanya.

Pusat kecemerlangan itu dikenali sebagai Pusat Inovasi, Teknologi dan Kejuruteraan Scomi yang mula beroperasi pada Ogos 2009 di Sungai Choh, Rawang.

Kemudahan lain yang disediakan adalah pembangunan monorel dan rel serta dilengkapi kilang pembuatan dan trek ujian sejauh 1 kilometer.

Kilang tersebut boleh menghasilkan 100 unit kenderaan dalam setahun malah berupaya menggandakan kapasitinya berdasarkan keperluan dan permintaan.

Menurut beliau, ia adalah objektif syarikat, namun sokongan untuk merealisasikannya amat diperlukan agar lebih kompetitif bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang.

“Syarikat antarabangsa seperti Bombardier dari Kanada dan Hitachi dari Jepun merupakan nama besar dalam industri monorel dunia.

“Namun, kita juga mempunyai standard antarabangsa dan terbukti dengan perolehan pra-kelayakan yang setaraf dua syarikat itu bagi rancangan di Brazil, India dan Timur Tengah,” ujarnya.

Ini menunjukkan kekuatan Scomi Engineering kerana sesuatu produk itu perlu melepasi pra-kelayakan sebelum boleh mengemukakan bidaan.

Syahrunizam berkata, negara sebenarnya mempunyai kemahiran dan kepakaran tinggi dalam pengurusan dan pelaksanaan projek tetapi tiada usaha untuk pengukuhan.

“Jika Malaysia mahu melalui evolusi penduduk berpendapatan tinggi maka kita perlu membina industri pembuatan dan rekaan milik tempatan,” ujarnya.

Kebanyakan rakyat Malaysia tidak peduli sama ada pengangkutan awam itu adalah transit aliran ringan atau monorel kerana bagi mereka semua itu adalah sama.

Bagaimana beliau berkata, mereka sudah pasti mahu menggunakan perkhidmatan terbaik, lebih cekap dan selesa pada harga berpatutan.

Katanya, syarikat perlu melakukan sesuatu supaya mereka menyedari kewujudan monorel dalam menambah baik kualiti pengangkutan awam.

Tambahnya lagi, antara pendekatan yang boleh dilakukan adalah aspek keselamatan dan penyelenggaraan pengangkutan itu yang menggunakan teknologi tempatan.

“Saya melihat pembangunan monorel dalam tempoh tiga tahun saja dari segi penerimaan seluruh negara sebagai pengangkutan transit secara meluas.

“Seperti Brazil dan India, negara berkenaan akan mengkhususkan monorel sebagai pengangkutan awam, Malaysia berkemungkinan akan mengikut langkah itu,” katanya.

Jangkaan warga dunia

Mengenai Greater Kuala Lumpur, cadangan Scomi Engineering membabitkan hubungan antara kawasan pinggir bandar dan beberapa pengangkutan utama di kawasan bandar.

Selain itu, Scomi Engineering juga mahu menjadikan pengangkutan monorel sebagai penghubung kepada 400 stesen pengangkutan awam lain di ibu kota.

Syahrunizam berkata, kesannya bukan sahaja kepada pengukuhan dan kecekapan sistem pengangkutan tetapi juga meningkatkan nilai hartanah di kawasan sekitar projek.

“Perhubungan turut meningkat kerana orang ramai tidak perlu bimbang untuk memandu dari satu destinasi ke destinasi yang sentiasa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Beliau menambah, masyarakat cenderung untuk menggunakan bas atau keretapi di luar negara, tetapi kurang menggunakan khidmat pengangkutan awam di negara sendiri.

“Ada pula yang merungut mengatakan pengangkutan awam ini leceh dan lambat atau bermacam-macam sebab lain digunakan sebagai alasan.

“Isunya bukan jenis pengangkutan yang mahu digunakan, tetapi kecekapan sistem perkhidmatan itu sendiri kepada masyarakat terutama di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Jelasnya, Scomi Engineering bukan mahu menjadi integrasi kepada semua sistem pengangkutan, tetapi menghasilkan monorel untuk pengangkutan awam lebih baik.

Namun Syahrunizam berpendapat bahawa aplikasi monorel amat sesuai digunakan bagi hubungan antara bandar dan dalam lingkungan bandar raya itu sendiri.

Katanya, kaedah itu merupakan satu pelaburan lebih baik apabila mewujudkan sistem monorel dan menghubungkannya dengan sistem pengangkutan monorel sedia ada.

“Apa yang ada di Eropah dan AS malah di Jepun, itu yang boleh dilihat warga dunia terhadap jangkaan mereka kepada Scomi Engineering sebagai penyedia penyelesaian monorel.

“Maka itu juga harapan kami dalam membantu usaha kerajaan untuk memantapkan sistem pengangkutan bersepadu dan terancang di negara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: