
LOKIMALA, disusuli Myanthonpyan bangun dengan dua kaki sambil menganggukkan kepala apabila nama mereka dipanggil.
Kedua-duanya jelas menonjol berbanding rakan-rakan mereka yang lain memandangkan masing-masing bersaiz besar dan bertindak pantas apabila nama mereka dipanggil.
Lokimala dan Myanthonpyan adalah penghuni dari sebuah pusat yang berlainan kini menginap di Pusat Pemuliharaan Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lancang, Pahang.
Rupa kedua-dua gajah India itu yang berdiri sebaris bersama gajah tempatan mengagumkan pelawat, warga tempatan dan asing.
Di pusat itu, ramai pelawat yang pertama kalinya mendekati gajah teruja apabila mereka dibenarkan menyuapkan makanan, mendengar deruman gajah dari dekat dan menyaksikan haiwan itu mandi di sungai berhampiran.
Pusat itu memberikan satu gambaran mengagumkan bagaimana manusia dan haiwan mamalia terbesar di darat mengenepikan rasa takut dan keraguan untuk mengenali antara satu sama lain. Lokimala, dalam lingkungan usia 70-an dan Myanthonpyan, dalam lingkungan usia 30-an merupakan senior di pusat berkenaan yang juga bertindak sebagai rumah kebajikan bagi gajah yang cacat atau yang kehilangan habitat.
Norain Saudi, seorang pegawai di pusat tersebut yang memperkenalkan gajah-gajah itu berkata, Lokimala dari Assam, India, dan Myanthonpyan dari Myanmar dibawa ke situ bagi membantu program penempatan semula gajah. Lokimala yang tiba di negara ini pada awal tahun 1970-an masih berperanan dalam program penempatan semula.
Selain dua gajah asing itu, terdapat juga gajah-gajah tempatan yang menjadikan pusat pemuliharan itu sebagai kediaman mereka.
Survival gajah
Antaranya ialah gajah yang kurang bernasib baik seperti Selendang yang hilang sebahagian daripada kaki kiri depan kerana perangkap dawai, sementara Sanum kehilangan sebahagian daripada ekornya kerana serangan harimau.
Dengan kecacatan fizikal tersebut, peluang survival mereka di habitat semula jadi adalah tipis. Sehubungan itu mereka diberi perlindungan di pusat tersebut.
![]() |
| Pelancong teruja kerana berpeluang memandikan anak gajah di Pusat Pemuliharaan Gajah di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang. |
Sementara itu, Abot seekor gajah jantan berusia 15 tahun dan Mawar seekor gajah betina berusia sepuluh tahun kedua-duanya dari Johor, dipindahkan selepas mereka menceroboh ladang dan penempatan manusia. Seekor lagi gajah betina berusia lapan tahun, Chery, dari Perak juga dipindahkan ke pusat tersebut selepas ditemui merayau-rayau di kawasan penempatan manusia.
Nasib mereka menunjukkan konflik di antara gajah dan manusia. Bagaimanapun, Abot, Mawar dan Chery bernasib baik kerana dapat sampai ke pusat itu dan terlepas daripada menjadi mangsa ditembak atau diracun.
Di pusat pemuliharaan itu, 21 ekor gajah penghuni menghiburkan pelawat dengan pelbagai aktiviti selain membantu memindahkan gajah-gajah liar apabila perlu.
Pusat itu juga menerangkan nasib yang dialami oleh gajah-gajah tersebut dan mengajar masyarakat bahawa haiwan perlu dilayan dengan baik
jika kita mahu menyelamatkannya daripada pupus.
Pada masa yang sama, pusat itu juga membantu manusia menghargai alam semula jadi. Ini membantu meningkatkan kesedaran dan penghargaan bukan sahaja untuk gajah tetapi juga semua kehidupan.
Dalam mendekatkan jurang antara manusia dan gajah, Pandan yang berusia dua tahun dan Langsat yang berusia tiga tahun menjadi tumpuan.
Para pelawat ke pusat itu bebas untuk memberi makan kepada kedua-dua ekor anak gajah itu dengan tebu yang disediakan oleh penjaganya. Selain kedua-dua anak gajah berkenaan, gelagat Tapis berusia lapan bulan yang minum susu daripada sebuah botol susu besar juga menawan hati pengunjung.
Kanak-kanak dengan mudah mendampingi ketiga-tiga anak gajah itu, sekali gus membantu mewujudkan penghargaan pada gajah sejak awal lagi.
Gajah dan manusia telah wujud bersama-sama selama ini tetapi malangnya manusia hanya menghargai haiwan itu sejak kebelakangan ini.
Lokimala, Myanthonpyan, Selendang, Sanum, Abot, Mawar, Chery, Pandan, Langsat, Tapis dan gajah-gajah lain di pusat pemuliharaan itu membawa harapan baru kepada populasi gajah di negara ini yang semakin menyusut.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: