Friday, July 2, 2010

Rumah sepatutnya melindungi anak




TANGGUNGJAWAB sebagai ibu atau bapa sememangnya amat besar dan bermakna. Pasangan yang dikurniakan zuriat itu perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melayan dan menjaga keperluan anak kesayangan mereka.

Tanpa persediaan diri yang sempurna mungkin agak sukar untuk melaksanakan tuntutan itu.

Selain menyediakan segala kemudahan asas untuk perkembangan fizikal, emosi dan minda anak-anak, ibu bapa juga memainkan peranan sebagai penjaga keselamatan mereka.

Kecuaian dan sikap leka segelintir ibu bapa terhadap perihal anak kecil mereka selalunya membawa musibah. Ini terbukti dengan insiden-insiden yang banyak dilaporkan di media seperti kemalangan di rumah yang kecederaan serius. Itu belum lagi mengulas lebih lanjut tentang kes yang lebih memilukan seperti penculikan, penderaan mahupun kematian.

Sebelum bercakap tentang ancaman keselamatan di luar rumah, adalah penting bagi ibu bapa menilai dahulu kemungkinan buruk di dalam kawasan kediaman mereka.

Sebenarnya, peratusan kanak-kanak yang mendapat kecederaan atau menemui ajal di dalam rumah semakin meningkat.

Mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia, 25 peratus kemalangan di rumah membabitkan kemalangan kecil seperti luka, terseliuh dan bengkak; manakala 10 peratus mengalami kemalangan perlu dirawat seperti patah, luka besar yang perlu jahitan, disengat serangga berbisa dan melecur.

Sejumlah lima peratus mengalami kemalangan teruk yang memerlukan mereka dimasukkan ke hospital seperti terbakar, jatuh yang mencederakan kepala. Satu peratus lagi melibatkan kemalangan yang menyebabkan kecacatan seumur hidup.

Perkara bahaya

Ternyata, masih ramai yang tidak prihatin soal keselamatan di rumah terutamanya bagi anak kecil yang berusia dua hingga empat tahun.


SETIAP pergerakan dan aktiviti anak-anak kecil perlu dibimbing orang dewasa.


Kelompok usia itu lebih mudah mendapat kemalangan di rumah kerana mereka mula bergerak cergas dan tidak dapat membezakan antara perkara yang berbahaya dengan yang selamat.

Baik di ruang tamu, ruang legar, bilik tidur, dapur, bilik mandi ataupun di halaman rumah, ibu bapa perlu peka terhadap sebarang jenis kemungkinan kemalangan bagi anak-anak kecil.

Mengukuhkan lagi kajian itu, satu analisis yang dilakukan oleh Persatuan Diraja Pencegahan Kemalangan United Kingdom (UK) menyatakan bahawa ada faktor lain yang menyebabkan kemalangan di rumah selain jatuh dari tangga ataupun terpijak barangan permainan yang berselerakan di ruang tamu.

Rekaan dan keadaan rumah juga mengundang kemalangan kepada kanak-kanak. Misalnya rekaan yang selamat perlu diberi tumpuan di bahagian tingkap, tangga dan pintu.

Antara lain, analisis tersebut mengesyorkan agar ibu bapa memasang peralatan keselamatan di bahagian tangga, balkoni dan tingkap untuk mengelakkan kemalangan di rumah.

Pihak pemaju rumah pula perlu mengambil inisiatif dengan membina kediaman dengan melaras tinggi aspek keselamatan demi keselamatan para penghuninya.

Dalam pada itu, Lorraine Poon, 37, cukup menitikberatkan aspek keselamatan anak-anak di rumahnya.

"Meskipun kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja, tetapi rumah yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan kanak-kanak tidak harus jadi penyebab perkara itu berlaku. Selalunya kemalangan bagi kanak-kanak banyak terjadi membabitkan insiden terjatuh," ujarnya yang ditemui Kosmo! di kediamannya di Bukit Damansara.

Akibat terjatuh

Contoh insiden itu, menurutnya, termasuklah kes jatuh dari perabot, tangga, beranda ataupun alat duduk kanak-kanak. Di kawasan luar rumah seperti di padang permainan, kanak-kanak cenderung untuk tersilap langkah ketika menggunakan alat-alat permainan.

"Jangan bersikap leka dengan insiden jatuh ini. Kanak-kanak boleh mengalami pelbagai jenis kecederaan seperti calar, terseliuh, luka dan bengkak.


SUNGGUHPUN mengakui kediamannya tidak mempunyai ciri keselamatan sepenuhnya, Wardina percaya bahawa pemantauan ibu bapa adalah kunci kepada keselamatan anak-anak.


"Kalau kemalangan itu serius, kanak-kanak boleh mengalami cacat anggota, pendarahan di telinga, hidung dan mulut, sawan ataupun tidak sedarkan diri."

Lorraine menambah, selain kesan sampingan seperti muntah atau sawan, kanak-kanak yang tidak diketahui kecederaan sebenarnya boleh mengalami kecederaan otak ataupun menyebabkan tulang mereka patah sehingga membantutkan pertumbuhan.

"Kecederaan serius boleh menyebabkan kerosakan organ kekal mahupun kematian," kata ibu kepada dua orang anak lelaki itu.

Dia sempat menunjukkan aspek-aspek keselamatan yang ada di kediamannya. Bahagian aras terpisah pada tangga di rumah tersebut dipasang dengan palang. Dengan ini, kedua-dua anak lelaki yang berusia lima dan empat tahun itu tidak sewenang-wenangnya turun atau naik sendiri tanpa dipimpin orang dewasa.

Bucu perabot yang keras dan tajam di ruang tamu juga kelihatan selamat kerana dipasang dengan penghadang getah bagi mengelakkan kecederaan akibat terhantuk padanya.

Wanita itu turut mengatur semua perabot dengan rapi bukan berhampiran tingkap atau beranda yang boleh dipanjat. Barangan permainan juga tidak dibiarkan bertaburan di atas tangga sebaliknya disimpan dalam sebuah peti untuk mengelakkan kecederaan.

"Di bilik mandi, pastikan semua tempat simpanan air ditutup selepas digunakan dan elakkan menyimpan sedikit air dalam baldi walaupun ia hanya sedalam 15 hingga 30 sentimeter. Di dapur pula, semua alat-alat elektrik disimpan di tempat yang lebih tinggi daripada capaian anak-anak saya," jelas Lorraine.

Sementara bahan pencuci pula disimpan di dalam almari bertutup dan berkunci dan elakkan mengguna botol minuman untuk menyimpan cecair beracun seperti minyak tanah, turpentine dan racun serangga.

Timba ilmu

Sementara itu, pengacara Wardina Safiyyah, 31, pula menyatakan golongan ibu bapa perlu sentiasa menimba ilmu tentang aspek-aspek keselamatan kanak-kanak melalui pembacaan buku ataupun majalah yang sesuai.


PINTU penghadang tangga perlu dikunci agar tidak mudah dibuka oleh anak-anak kecil.


Melalui pembacaan, ibu bapa dapat mendidik anak-anak tentang keselamatan diri dengan cara yang kreatif. Itu sekali gus merangsang perkembangan minda dan tumbesaran mereka.

"Jikalau ibu bapa terlalu obses akan keselamatan mereka sehingga membantutkan pergerakan cergas kanak-kanak, sediakan ruang rumah yang lebih selesa untuk bergerak," kata Wardina.

Jelasnya, adalah lebih baik para ibu bapa menghadiri kursus membantu kanak-kanak dalam kecemasan di hospital yang berdekatan.

"Kursus seumpama ini banyak membantu mereka memberi pertolongan kecemasan sebelum mangsa dikejarkan ke hospital. Kadang kala apabila anak tercedera, ibu bapa panik sehingga gagal memberi pertolongan kecemasan," terangnya .

Tambahnya, kanak-kanak yang lebih kecil patut diawasi ketika mereka berada di kawasan luar rumah, baik di halaman sendiri ataupun di tempat awam. Penjagaan rapi diperlukan agar mereka tidak berlari ke arah jalan raya tanpa menyedari kenderaan yang lalu lalang.

"Ibu bapa yang mengundurkan kereta perlu memastikan anak-anak mereka tidak berada di laluan undur kenderaan. Kita banyak mendengar kemalangan serius yang membabitkan ibu bapa yang secara tidak sengaja melanggar anak mereka," keluh Wardina yang menyifatkan situasi itu seharusnya boleh dielakkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: