|
|
KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam menangguhkan perbicaraan pengesahan lafaz cerai Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra terhadap isteri baginda, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, 31, selepas plaintif membuat permohonan pindaan penyata tuntutan berhubung lafaz cerai tersebut.
Dalam perbicaraan tertutup itu, Hakim Syarie, Abdullah Man membuat keputusan berkenaan selepas plaintif, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60, mengemukakan permohonan untuk melakukan pindaan tersebut pada saat akhir.
Abdullah kemudian menetapkan 25 Julai depan untuk sebutan semula bagi pemfailan hujah berhubung permohonan berkenaan.
Peguam plaintif, Zainul Rijal Abu Bakar ketika ditemui di luar mahkamah bagaimanapun enggan memberikan sebarang ulasan mengenai permohonan pindaan tersebut dengan alasan bagi mengelakkan dikenakan tindakan menghina mahkamah.
Pada perbicaraan pengesahan lafaz cerai pada 13 Jun lalu, pihak plaintif telah mengemukakan enam orang saksi dan tiga daripada mereka termasuk Nik Rorhana telah memberikan keterangan.
Mengulas mengenai permohonan plaintif itu, peguam Elia Suhana, Fakhrul Azman pula berkata, mahkamah telah memberi arahan kepada plaintif supaya membayar kos kehadiran kerana permohonan penangguhan dibuat pada saat akhir dan tidak ada maklumat bertulis.
"Kita akan hadir semula pada 25 Julai bagi mengambil keputusan sama ada mahkamah akan membenarkan atau tidak permohonan untuk meminda penyata tuntutan dan pada masa sama kita akan masukkan notis taksiran kos itu," jelas beliau.
Pada 21 Mac lalu, Elia Suhana melalui Fakhrul memfailkan permohonan interlokutori (permohonan dalam permohonan) untuk membatalkan permohonan lafaz cerai Sultan Kelantan terhadapnya yang difailkan Nik Rorhana.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: