TANGGAL 21 Julai 1922 menjadi detik permulaan bersejarah dalam gerakan koperasi negara apabila berdirinya koperasi pertama di Tanah Melayu yang dikenali sebagai Syarikat Bekerjasama-Sama Jimat Cermat dan Pinjaman Wang Pekerja-Pekerja Jabatan Pos dan Telekom Berhad.
Kejayaan syarikat itu kemudian menyebabkan gerakan koperasi di Tanah Melayu bagaikan satu fenomena semasa. Perkembangan koperasi semakin rancak sekitar era 1930-an menyaksikan kewujudan sebanyak 150 buah koperasi dan pada akhir 1938, sebanyak 39 lagi koperasi ditubuhkan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan keahlian seramai 17,812. Kutipan yuran ketika itu sebanyak RM4.3 juta.
Di Negeri-negeri Selat pula 37 koperasi ditubuhkan dengan bilangan ahli mencecah 12,814 dan yuran bulanan berbayar sebanyak RM2.04 juta.
Yang pasti selepas 88 tahun penubuhan koperasi pertama, gerakan tersebut bukan sahaja telah berkembang pesat, bahkan kejayaan idea syarikat kerjasama menyebabkan koperasi sulung negara masih gah berdiri sehingga hari ini.
Ia dikenali sebagai Koperasi Telekom Malaysia Berhad (Kota Mas) selepas kerajaan memansuhkan perkataan syarikat kerjasama kepada koperasi yang berasal daripada perkataan Inggeris cooperative berikutan pemansuhan Ordinan Koperasi 1948 dan penguatkuasaan Akta Koperasi 1993.
Menyorot kembali gerakan koperasi di Tanah Melayu, hakikatnya perjuangan membangunkan syarikat kerjasama sebenarnya dirintis sejak awal tahun 1900-an lagi.
Ketika itu, penindasan yang berlaku di kalangan masyarakat luar bandar dan masalah hutang di kalangan kakitangan kerajaan menyebabkan seorang pegawai Inggeris Sir Arthur Young pada 1907 mengasaskan idea tersebut.
|
|
Namun, ia mendapat sambutan dingin, bahkan ditentang kerana idea memberi pinjaman kepada ahli menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam berkenaan pengambilan faedah dan unsur riba.
Bagaimanapun idea tersebut muncul semula pada tahun 1918 oleh sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Gerakan Kerjasama untuk meminta kerajaan kolonial British menimbang semula kewujudan idea tersebut.
Ekoran minat yang ditunjukkan oleh Inggeris, seorang daripada pegawai tingginya, A. Cavendish dihantar untuk membuat kajian ke India dan Burma. Hasil laporan tersebut kemudian dibentang kepada Majlis Raja-Raja Melayu termasuk para alim ulama pada ketika itu.
Akhirnya, satu undang-undang yang dikenali sebagai Enakmen Syarikat Kerjasama 1922 telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan dikuatkuasakan secara rasmi pada 1 Julai 1922.
Sejak penubuhan Syarikat Bekerjasama-Sama Jimat Cermat dan Pinjaman Wang Pekerja-Pekerja Jabatan Pos dan Telekom Berhad, gerakan koperasi menular ke seluruh negara dengan kesedaran bahawa ia satu bentuk ekonomi baru masyarakat luar bandar.
Bagaimanapun kemunculan perang dunia kedua menyebabkan aktiviti koperasi lumpuh sama sekali, semasa pemerintahan Jepun, semua kegiatan koperasi dihentikan dan banyak koperasi berada dalam keadaan statik dan tidak aktif kecuali di Selangor, Kedah dan Perlis.
Namun, keadaan berubah selepas Jepun menyerah kalah dan aktiviti koperasi kembali seperti biasa. Pada akhir tahun 1946, jumlah koperasi yang berjaya dihidupkan kembali ialah 838 buah dengan 14 jenis aktiviti.
Bukan sekadar simpan dan pinjam
Menurut Naib Presiden Koperasi-Koperasi Universiti dan Kampus Asia Pasifik, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan, berlaku perubahan besar gerakan koperasi sekitar tahun 60-an apabila gerakan tersebut tidak lagi sekadar simpan dan pinjam, tetapi mereka mula menceburkan diri dalam pelbagai bidang dan sektor ekonomi.
"Pemimpin koperasi mula berfikiran terbuka dan berubah seiring dengan perkembangan zaman apabila mereka juga terlibat dalam sektor peruncitan, pengangkutan, perbankan, pelaburan, perindustrian malah koperasi sekolah juga semakin berkembang," katanya yang juga merupakan pensyarah dalam bidang Geologi di Universiti Malaya.
Tambah beliau lagi, perubahan turut berlaku kepada pengurusan koperasi yang pada mulanya merupakan kakitangan kerajaan yang sudah pencen dan hanya melakukannya secara sukarela.
"Ketika itu memang kita tidak mempunyai tenaga profesional tapi semuanya sudah berubah, gerakan koperasi memerlukan pemimpin yang benar-benar mampu melaksanakan apa jua aktiviti yang dilakukan," jelas beliau.
Gerakan koperasi pada era 70-an menyaksikan Kongres Koperasi Malaysia Pertama diadakan dengan matlamat untuk menubuhkan kesatuan koperasi peringkat kebangsaan, tujuannya untuk menyatukan semua koperasi-koperasi dalam satu gerakan yang lebih menyeluruh dan setahun selepas itu, Angkatan Kerjasama Kebangsaan Malaysia (Angkasa) ditubuhkan.
Bagaimanapun pada era 80-an menyaksikan berlaku titik hitam dalam sejarah koperasi negara apabila 24 buah koperasi gagal memulangkan wang pendeposit kerana mengalami masalah kecairan tetapi nasib mereka dilindungi melalui satu undang-undang khas yang diluluskan.
Pada 1988, dunia koperasi sekali lagi dikejutkan apabila Bank Pusat Kerjasama (CCB) yang disiasat oleh Bank Negara Malaysia kerana masalah pengurusan dan insolven. Hasil siasatan pada Oktober 1990, CCB diletakkan dibawah firma audit yang menjadi penanggung.
Dasar Koperasi Negara
Pemulihan semula gerakan tersebut bermula apabila Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) diletak di bawah Kementerian Tanah dan Pembangunan dan mempunyai misi untuk menjadi jentera pembangunan sosioekonomi negara yang berkesan ke arah pengagihan kekayaan secara saksama.
Abad ke-21 menjadi satu detik yang sangat penting kepada gerakan tersebut, antara langkah utama yang diambil kerajaan adalah menerusi Dasar Koperasi Negara (DKN) 2002-2010 yang menjadi kerangka penting dalam menentukan hala tuju baru kegiatan koperasi di negara ini.
Malah, bagi memastikan dasar tersebut berjalan dengan lancar, JPK mengalami transformasi menyeluruh apabila Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) ditubuhkan pada 1 Januari 2008.
Mohamad Ali berpendapat masih banyak usaha perlu dilakukan termasuk memastikan sektor koperasi mampu menjana sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.
"Ketika ini cuma sumbangannya hanya sekitar satu peratus dan saya difahamkan kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kepada lima peratus menjelang 2013 yang saya fikir ia memang boleh dicapai walaupun cuma tinggal tiga tahun saja lagi," ujarnya.
Beliau menekankan tentang perlunya gerakan koperasi untuk mempunyai pengurusan yang profesional, mempunyai jati diri, tadbir urus yang baik dan bervisi untuk merebut apa jua peluang yang disediakan oleh kerajaan.
"Ini merupakan kegiatan kegiatan ekonomi orang ramai bukan individu, pada pandangan saya jika ada persefahaman dan pelan tindakan bagus pasti koperasi di negara ini akan lebih maju kehadapan," jelas beliau.
Tambahnya lagi, Jepun merupakan antara model gerakan koperasi terbaik di dunia kerana mendapat komitmen yang menyeluruh daripada ahli.
"Di sini kita cuma mahu dividen sahaja, kalau di Jepun, kerajaannya sekat pasar raya untuk bukan ahli tetapi koperasi pasar raya kita pula bergantung kepada bukan ahli. Ini antara perubahan yang perlu dilakukan supaya koperasi perlu mendapat sokongan padu daripada ahli," katanya.
Ketika ini sektor koperasi kini berkembang maju dengan kewujudan sebanyak 7,215 buah koperasi dan bilangan ahli seramai 6.78 juta di seluruh negara.
Malah, jumlah modal yang dijana menerusi gerakan koperasi bernilai RM8.97 bilion yang membabitkan aset sebanyak RM65 juta dan pusingan perniagaan sebanyak RM8.92 juta.
Hari ini merupakan saat yang paling penting bagi seluruh warga koperasi kerana DKN 2002-2010 sudah melabuhkan tirainya dan sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2010 yang berlangsung hari ini hingga 18 Julai di Padang MPK2, Kuantan, bakal menjadi sejarah penting apabila Menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan melancarkan DKN 2011-2020.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: