Friday, July 23, 2010

Komunikasi mentua-menantu


SEHARUSNYA teguran ibu mentua terhadap menantu dilakukan secara lebih berhemah, manakala menantu pula tidak wajar mudah berkecil hati dengan nasihat orang lebih tua.


MENTUA, acap kali dikategorikan sebagai orang ketiga dalam perkahwinan, bahkan selalu wujud persepsi bahawa hubungan antara menantu perempuan dengan ibu mentua biasanya dingin dan tegang.

Walaupun pada zaman ini keterbukaan minda dan kemodenan wanita menyebabkan persepsi seperti itu bukanlah satu isu besar, bagaimanapun sukar untuk menolak sekiranya hubungan itu tidak dipupuk dengan betul kerukunan hubungan menantu-mentua boleh tergugat.

Persoalannya, bagaimanakah untuk menjadi seorang menantu yang disayangi ibu mentua? Atau apakah usaha yang perlu dilakukan oleh seorang ibu mentua untuk mengelakkan hubungan dengan menantu menjadi renggang.

Perlu diingat, rasa suka berkemungkinan tidak kekal selamanya, begitu juga rasa tidak suka boleh berubah menjadi suka jika kena caranya.

Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali memberitahu, bagi menjadikan diri sebagai menantu kesayangan dan mentua yang dibanggakan, perlulah ada pengorbanan. Apa yang penting adalah masing-masing perlu bersikap terbuka dan lebih rasional dalam apa jua keadaan dan situasi.

"Seorang menantu perlu lebih bijak memainkan peranan menambat hati mentua. Ibu mentua adalah seperti ibu sendiri yang perlu dihormati dan disanjungi.

"Walaupun sekiranya anda bukanlah menantu pilihan, anda yang perlu lebih mendedahkan diri kepadanya, memikat hati dan memujuk kasihnya walau segala macam dugaan diterima," kata Suzana.

Tambahnya, ia memang mengambil masa dan perlu menjeruk rasa tetapi percayalah, berkat segala kegigihan dan pengorbanan, mentua akan menerima anda dan tidak mustahil pada suatu ketika nanti, anda adalah menantu kesayangannya.

Ada juga jenis mentua yang tidak percayakan menantu untuk menguruskan keperluan anaknya. Malah terdapat kes, seorang isteri memohon cerai daripada suaminya kerana walaupun selepas lebih setahun berkahwin, ibu mentuanya masih mahu menemani tidur anaknya (suami) sedangkan isteri pula terpaksa tidur bersendirian.

"Dalam kes-kes melibatkan gelagat dan kerenah mentua yang keterlaluan seperti ini, si anak iaitu suami perlu lebih tegas. Memang tanggungjawab anak untuk patuh kepada kata-kata ibu tetapi bukan sampai merungkaikan sebuah ikatan perkahwinan. Seorang lelaki sejati perlu bijak menangani kerenah isteri dan gelagat ibu sendiri.

Mentua pula, perlu lebih bersikap terbuka. Sebagai orang yang lebih tua, jangan terlalu mengikut perasaan. Terimalah takdir dan ketentuan Ilahi bahawa itulah menantu anda walau dia bukan pilihan hati. Anda perlu tahu dan ingat, menantu berperanan membahagiakan kehidupan anak anda. Apabila anda campur tangan dalam urusan yang tidak sepatutnya, tentulah ia memporak-perandakan kehidupan anak anda.

Teguran berhemah

Namun begitu, bukan bererti anda hanya boleh sekadar memerhati. Sekiranya ada kelakuan dan sikap menantu yang tidak kena dengan tatasusila dan kehendak agama, dekati anak anda dan minta anak anda lebih tegas terhadap isterinya demi kerukunan rumah tangga mereka.

Hakikatnya, hubungan seorang menantu dan mentua sepatutnya menjadi seperti hubungan seorang anak dengan kedua-dua ibu bapanya. Apabila prinsip ini dipegang oleh menantu dan mentua, tidak akan timbul masalah dalam hubungan antara menantu dan mentua, tidak kiralah tinggal serumah dengan mentua ataupun tidak.

"Ada pula menantu merasakan kehadiran mereka di dalam rumah dengan mentua seolah-olah menjadi pesaing kepada ibu mentua sendiri dan juga sebaliknya. Ini timbul kerana menantu dan mentua mengalami konflik dalam memahami tugas dan tanggungjawab mereka yang sebenarnya.

"Sewajarnya isu persaingan antara menantu dan mentua tidak akan timbul sekiranya mentua memahami peranan dan tanggungjawabnya sebagai mentua dan ibu. Menantu pula memahami tugas dan tanggungjawabnya sebagai seorang menantu dan isteri," ujarnya.

Tambahnya, jika menantu anda adalah isteri, jadikanlah dia sebagai isteri yang menyenangkan hati anak anda. Jika terdapat kekurangan pada diri menantu anda, jangan dihina sebaliknya, asuh dan didiklah menantu menjadi seorang isteri yang baik dan mampu membahagiakan anak anda.

"Bagi seorang menantu pula, anggaplah segala tunjuk ajar daripada mentua anda sebagai satu pelajaran untuk anda lebih mengenali pasangan hidup anda. Mereka insan yang paling rapat dengan pasangan anda sebelum anda hadir ke dalam hidupnya. Tidak wajar kehadiran anda membuatkan hubungan yang sedia terjalin menjadi renggang dan tidak mesra.

"Sewajarnya anda sebagai isteri, berusaha menambahkan rasa kasih dan sayang suami anda kepada ibu bapanya walaupun setelah mempunyai keluarga sendiri," jelasnya.

Satu perkara yang perlu diingat, jika seorang anak mampu menjaga hati dan perasaan ibu bapanya dengan sebaik-baiknya, maka lelaki atau wanita tersebut berpotensi menjadi pasangan hidup anda yang penyayang, pengasih dan ideal sepanjang hayat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: