SEDEKAD lalu, individu bernama Karim Sulaiman dihampiri Habsah Hassan. Penulis lirik lebih mesra disapa sebagai Kak Chah pada waktu itu meminta pertolongan Karim untuk memindahkan lagu-lagu hasil tulisannya ke dalam bentuk cakera padat (CD) lalu dijadikan koleksi peribadi.
Tanpa mengambil tempoh panjang, lelaki berusia 49 tahun itu mula terfikirkan sebuah idea. Di laut fikirnya, alangkah bagus jika karya Kak Chah selepas tiga dekad melibatkan diri di laman seni mampu dihimpunkan. Dengan kudrat sendiri sambil dibantu si isteri, Siti Hawa Mohd. Ariff, maka terbentuk Ilham Habsah Hassan 1976-2010 - sebuah koleksi yang mengumpul kembali lirik-lirik lagu pernah dihasilkan Kak Chah.
Siapa sangka, dalam situasi melawan penyakit Scleromyxedem atau masalah sendi sejak dua tahun lalu, Karim sempat menjilid 843 lagu Kak Chah mengikut kategori - penyanyi, pencipta, rekod label dan tahun penerbitan. Malah, 700 lagu disimpan dalam CD dan alat storan mudah alih.
"Setahu saya, Kak Chah sudah menghasilkan lebih 1,000 buah lirik lagu. Sepanjang tempoh 10 tahun memulakan inisiatif ini, saya akhirnya berjaya mengumpul lebih 800 lagu. Insya-Allah, selepas ini, jika kesihatan diizin Tuhan, saya akan cari karya lain dari semasa ke semasa agar dapat simpan keseluruhan.
"Koleksi saya bermula dengan Tidak Guna Dikesalkan. Ia merupakan lagu saduran direkod semula oleh Salamiah Hassan pada 1976. Saya juga ingin beritahu Kak Chah, lagu pertama garapannya adalah Tidak Guna Dikesalkan dan bukan Terkenang dinyanyikan Zulkiflee Ahmad (naib juara Bintang RTM 1976) gubahan Ooi Eoi Jin.
"Jika diikutkan, banyak lagu Kak Chah dihasilkan untuk iklan. Tetapi semua ini tidak termasuk dalam koleksi saya. Ilham Habsah Hassan 1976-2010 sebaliknya terisi dengan lagu-lagu dirakam saja," kata Karim ketika ditemui pada majlis penyerahan lirik-lirik Kak Chah di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Kuala Lumpur minggu lalu.
Menyambung bicara, Karim yang ditemani isterinya, Siti Hawa pada majlis tersebut mengaku merealisasikan Ilham Habsah Hassan 1976-2010 kerana cukup menyanjungi karya penulis lirik yang sentiasa menyelit beragam cerita, peristiwa dan pengajaran selain punya penggabungan kata-kata indah.
"Umum mengetahui, karyanya dinyanyikan kebanyakan artis terkenal tempatan. Tidak ketinggalan, penyanyi Indonesia termasuk Muchlas Adi Putra, Broery Marantika, Hetty Koes Endang dan Tommy J. Pisa serta dari Filipina, Gigi Villa turut mendapat khidmat Kak Chah.
"Paling membanggakan, saban tahun lagu Kak Chah tersenarai pada Anugerah Juara Lagu (AJL). Terus-terang, dia seorang penulis konsisten sejak dulu hingga ke saat ini. Kita selalu lihat senario sebilangan penulis lirik 'ghaib' macam itu saja selepas beberapa tahun.
"Tetapi, ini tidak berlaku kepada Kak Chah. Lirik yang ditulis tetap relevan walaupun kemunculan ramai artis baru dan tahun bersilih ganti. Sampai sekarang ada penyanyi berprofil tinggi meluah perasaan hendak bekerjasama dengannya," singkap Karim yang mula bersahabat dengan Kak Chah sejak tahun 1985.
Menyimpan banyak karya Kak Chah, sudah pasti ada antara lagu sukar terhapus dari kotak fikiran Karim yang pernah berkhidmat sebagai wartawan kira-kira 25 tahun lalu. Tanpa berselindung, dia menyukai semua lagu ditambah lirik diluahkan dari segenap emosi Kak Chah berunsur ketuhanan yang mungkin terlihat sebagai naskhah cinta.
"Banyak lagu Kak Chah yang saya suka sebenarnya. Sekadar menyebut beberapa lagu, saya amat meminati Kemaafan Dendam Yang Terindah nyanyian Aishah, Hati Seorang Kekasih (Noor Kumalasari) dan Cintamu Duri Di Hati (Francisca Peter).
"Ada lagu tertentu Kak Chah sendiri kurang ingat menjadi hasil tulisannya. Justeru, menjadi kerugian terbesar kalau pelbagai karya ini tidak disimpan," jawab Karim yang bakal menyerahkan Ilham Habsah Hassan 1976-2010 kepada Arkib Negara agar menjadi bahan rujukan khusus buat generasi baru.
Dalam waktu sama, Kak Chah yang tidak menyangka sama sekali ketelitian hasil kerja Karim menyudahkan Ilham Habsah Hassan 1976-2010 sempat mengulas sedikit kekeliruan lirik sulung dihasilkan olehnya.
"Saya secara peribadi tidak iktiraf Tidak Guna Dikesalkan kerana ia lagu saduran Inggeris. Bahkan, saya tidak ingat tajuk asal lagu ini. Namun, Karim beria-ria mengatakan Terkenang bukan lagu pertama hasil tulisan saya. Tidak mengapa, asalkan ia diketahui umum, saya anggap ini sudah memadai.
"Cuma, saya terkejut saat kali pertama tengok usaha Karim mengumpul lirik-lirik lagu mengikut turutan abjad. Malah, saya sendiri tidak ada koleksi selengkap ini kerana ada yang hilang selepas sering berpindah rumah dan pejabat," jelasnya yang bertugas di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dari 1973 hingga 1984 sebagai penulis skrip, cerpen dan sajak.
Melihatkan kesungguhan Karim menyediakan Ilham Habsah Hassan 1976-2010, Habsah yang nampak terharu dihargai selaut luasnya sempat mengadakan majlis minum petang bersama beberapa sahabat terdekat dan pihak media sambil berkongsi kisah koleksi tersebut.
Antara rakan yang melapangkan waktu hadir ialah Ruhani Abdul Rahman, Ziela Jalil, Helen Yap, Aidit Alfian, Erra Fazira, Alyah, Farhan dan Abby Fana. Pada majlis sama, kejutan hari kelahiran kawan baiknya, Rubiah Suparman yang ke-63 jatuh pada 2 Julai lalu turut diadakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: