Wednesday, July 28, 2010

Ketajaman deria pendengaran




FIZIKALNYA tidak dapat disentuh. Sebaliknya, ia hanya bergantung kepada ketajaman pancaindera pendengaran jika berlaku sebarang masalah.

Senario itu mungkin agak ganjil tetapi ia sudah menjadi sebahagian daripada rencah kehidupan mereka yang bergelar jurutera bunyi. Dianggap sebagai genius belakang tabir, mereka banyak menggunakan deria pendengaran untuk menjelmakan sesuatu bunyi yang dapat memberi kepuasan kepada pendengar.

Kerjaya jurutera bunyi tidak hanya terbatas dalam industri muzik sahaja tetapi merangkumi pelbagai lapangan termasuklah filem, penerbitan program televisyen, penyiaran, pengiklanan, teater dan banyak lagi yang memerlukan kepakaran mereka.

Sentuhan magis dan daya kreativiti dimiliki mereka menjadi aset untuk memastikan setiap produk akhir kelihatan bernyawa sekali gus memberi impak kepada umum.

Selain deria pendengaran, jurutera bunyi merupakan seorang yang berkemahiran tinggi dan cekap dalam mengendalikan pelbagai peralatan canggih.

Mereka sentiasa didedahkan dengan pelbagai medium multimedia. Bahkan kemahiran teknikal mereka perlu terkini dan sejajar dengan peredaran zaman.

Bagaimanapun, antara cabaran yang perlu dilalui oleh jurutera bunyi adalah mengendalikan program secara langsung.

Sama ada ia diadakan di dalam studio mahupun di kawasan terbuka, jurutera bunyi merupakan antara individu yang bertanggungjawab memastikan perjalanan setiap program berjalan dengan lancar dan sempurna.


DARI kiri: David Yong, Mohd. Fadhil dan Saravan Kumar (duduk) tulang belakang yang menjayakan sesebuah program siaran langsung terutama dalam aspek bunyi-bunyian.


Bagi tiga jurutera bunyi All Asia Networks Plc. (Astro) yang berpengalaman lebih sedekad dalam bidang penyiaran, mereka sependapat bahawa program secara langsung menuntut kesabaran, ketelitian, kemahiran, kepekaan, komunikasi dan kerjasama yang cukup tinggi.

"Ciri-ciri tersebut perlu ditekankan dalam proses program secara langsung kerana ia berbeza berbanding program rakaman. Program rakaman boleh dilakukan semula apabila berlaku sebarang kesilapan.

"Tidak seperti program secara langsung, kita perlu memastikan semuanya berjalan lancar untuk memberi kepuasan kepada audiens yang menyaksikan program berkenaan," jelas Mohd. Fadhil Sam, 47.

Hampir 90 peratus daripada program yang dikendalikan oleh mereka di Astro adalah secara langsung. Tiada istilah kesilapan apabila mengendalikan program secara langsung itu.

Kepuasan audiens turut memainkan peranan penting dalam sesebuah program secara langsung kerana ia merupakan penanda aras kepada kejayaan seseorang jurutera bunyi.

Berjalan lancar

Katanya yang mempunyai pengalaman selama 14 tahun dalam bidang penyiaran, program secara langsung merupakan seni penggabungan dan memproses sejumlah isyarat audio untuk mewujudkan satu campuran audio yang jitu kepada penonton, pengarah muzik atau penghibur.

"Dalam menjayakan sesuatu program secara langsung khususnya konsert, tiga elemen penting yang perlu diambil perhatian ialah monitor mix, public address (PA) atau Front of House (FOH) dan televisyen mix," ujarnya.

Bagaimanapun tegasnya, daripada tiga elemen berkenaan monitor mix merupakan nadi kepada sesebuah konsert ataupun program secara langsung.

"Monitor mix ini penting kerana ia akan membolehkan penyanyi atau pemuzik di atas pentas mendengar muzik dan suara penyanyi.

"Dalam pada itu, monitor mix yang baik dapat meminimumkan tempoh kelewatan bunyi pada konsert-konsert besar sekali gus dapat menyelaraskan persembahan di atas pentas," ujarnya.


MEMASTIKAN program berjalan lancar antara cabaran seorang jurutera bunyi.


Mohd. Fadhil menambah, monitor mix juga membantu mengatasi tahap bunyi di bahagian penonton dan pentas agar tidak menimbulkan kekeliruan apabila persembahan dilakukan.

Mereka yang memainkan peranan di bahagian ini amat kritikal kerana perlu memastikan semua isyarat bunyi berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah.

"Public address (PA) atau Front of House (FOH) pula bertanggungjawab menjaga bunyi-bunyian di bahagian audiens agar mereka dapat menikmati bunyi yang mengagumkan tanpa gema dan sebagainya.

"Tugas televisyen mix pula, perlu mengenal pasti frekuensi yang sesuai untuk memancarkan audio di kaca televisyen penonton di rumah kerana isyarat di studio ataupun stadium tidak sama dengan di kaca televisyen," katanya.

Antara program dan konsert secara langsung yang pernah mereka dikendalikan termasuklah konsert akhir Akademi Fantasia (AF), Anugerah Era, program bual bicara dan banyak lagi.

Telinga bingit

Sementara itu seorang lagi rakannya, Saravanan Kumar, 33, berkata, kerjasama sebagai satu pasukan juga amat penting apabila mengendalikan program secara langsung.

"Kita memerlukan persefahaman bersama pengarah muzik kerana kerjasama ini akan menentukan sama ada bunyi-bunyian yang bakal kedengaran baik ataupun sebaliknya.

"Melalui kerjasama ini kita akan mengetahui sistem mikrofon yang sesuai digunakan di dalam sesebuah program ataupun konsert," katanya.

Menyentuh mengenai cabaran, Saravanan berkata, telinga yang sentiasa menjadi bingit antara situasi yang perlu mereka depani.

"Kita membaiki benda yang tidak dapat dilihat dan disentuh tetapi hanya menggunakan deria pendengaran untuk mendapatkan bunyi-bunyian yang terbaik.

"Selain itu, kita juga terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah artis apabila mengendalikan program secara langsung tetapi ramai yang dapat memberi kerjasama," ujarnya.


KONSERT akhir Akademi Fantasia antara program yang pernah dikendalikan oleh ketiga-tiga jurutera bunyi Astro.


Bahkan, kadangkala mereka juga akan mendengar 12 lagu yang sama berulang kali sehingga bosan.

Namun, atas dasar minat dan ingin memuaskan hati audiens ia diteruskan jua. Kerjaya sebagai jurutera bunyi sentiasa berdepan dengan tekanan dan waktu kerja yang tidak menentu.

Lazimnya, mereka akan mengambil masa sehingga seminggu bergantung kepada program ataupun konsert yang dikendalikan untuk mendapatkan bunyi-bunyian terbaik.

"Ia termasuklah pemeriksaan bunyi, raptai, pemeriksaan isyarat, kesesuaian sistem mikrofon dan sebagainya," kata Saravan.

Pelbagai kandungan program Melayu, India dan Cina yang diterbitkan Astro juga mencabar mereka.

Mengapa? Mereka perlu menentukan kesesuaian peralatan dan bunyi-bunyian supaya program berkenaan kelihatan menarik. Mereka juga tidak terkecuali berdepan dengan peralatan audio yang tidak mencukupi.

"Sebagai contoh, kalau kita minta lima mikrofon tetapi hanya dapat tiga sahaja jenama yang diingini, kita perlu tahu memaksimumkan peralatan tersebut.

"Perkara sebegini sudah menjadi asam garam jurutera bunyi dan perlu menggunakan kreativiti masing-masing untuk menghasilkan bunyi-bunyian terbaik," kata David Yong KG.

David berkata, antara peralatan-peralatan yang diperlukan untuk mengendalikan program ialah konsul mixer, mikrofon berkualiti tinggi, monitor, pembesar suara, amplifier, penjana kuasa dan sebagainya.

Mereka juga sependapat untuk menjadi jurutera bunyi yang baik seseorang perlu minat mendalam, mempunyai asas muzik, sedia berkorban waktu dan sentiasa bersedia mempelajari sesuatu yang baharu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: