Tuesday, July 13, 2010

Isteri maafkan Badrul Muhayat


BADRUL hadir di Mahkamah Majistret Ampang semalam atas tuduhan mencederakan isterinya, Julia.


AMPANG - Kompaun RM1,000 dan ucapan maaf daripada pelakon dan bekas model, Badrul Muhayat Ahmad Jailani berjaya melembutkan hati isterinya, Julia Daud yang membuka ruang kepada Mahkamah Majistret di sini semalam untuk membebaskan artis itu daripada tuduhan mencederakan wanita tersebut.

Majistret Wan Karimah Wan Abdul Ghani mengarahkan Badrul, 42, membayar RM1,000 sebagai kompaun kepada Julia setelah kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes itu mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah.

Atas arahan Wan Karimah serta dengan permintaan Julia sendiri, Badrul membayar kompaun tersebut di hadapan mahkamah.

"Saya setuju dan saya mahu suami membayar wang tersebut di hadapan mahkamah," katanya ketika ditanya oleh Wan Karimah pada prosiding tersebut.

Badrul didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Julia, 29, dengan menumbuk muka, menendang perut dan memukulnya menggunakan batang penyapu.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Lot 313E, Jalan 49B, Bukit E, Kampung Cheras Baru di sini pada pukul 7 pagi 24 Mac lalu.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Wan Karimah berkata, memandangkan kedua-dua pihak bersetuju kesalahan itu diselesaikan mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah, mahkamah dengan itu bersetuju membenarkan kompaun RM1,000 dibayar kepada pengadu (Julia).

"Mahkamah juga membebaskan orang kena saman (Badrul) daripada tuduhan tersebut," katanya.

Selepas itu, Wan Karimah turut bertanyakan kepada Badrul jika dia ingin meminta maaf kepada isterinya, sebaliknya pelakon berkenaan hanya berkata, "Peguam saya sudah meminta maaf tadi."

Namun setelah Wan Karimah bertanya sekali lagi, Badrul kemudian berkata, "Minta maaf" tanpa memandang ke arah isterinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Husnita Mohd. Radzi mengendalikan pendakwaan manakala Badrul diwakili peguam Abdul Rashid Tasin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: