RENTETAN kerana terlalu mengharap sejak saat pertama melangkah kaki ke gelanggang seni ini, berkali-kali hatinya terusik bagai diperkotak-katikkan.
Harapnya bukan sekali, malah ada kalanya melangkaui harapan yang terbentang di depan mata. Namun itulah hakikat yang pernah menyelubungi dirinya sejak bergelar penyanyi tiga tahun lalu. Kini yang pasti, anak kelahiran Johor Bahru ini berjanji pada dirinya untuk henti berharap.
Tampak jelita dengan imej ranggi yang mencerminkan personaliti sebenar, Sheila berkata, rasa penat dan kecewa tidak perlu lagi datang menyembahnya kerana kini dia cekal untuk berdiri sendiri tanpa memegang janji kosong orang atau terus mengharap pada sesuatu yang tidak pasti.
"Mulanya saya berharap untuk mencipta nama sebagai penyanyi dan alhamdulillah ia berhasil. Kemudian saya mengharap untuk popular, namun hasrat itu masih kabur hingga hari ini tanpa jawapan yang boleh saya angkat sebagai alasan. Entah apa silapnya, nama saya gagal berganjak meskipun tiga tahun merangkak memahat nama.
"Harap saya untuk mempromosi karya nyanyian bagi menguatkan lagi nama dan kewujudan tidak juga kesampaian kerana terlalu mengharap pada janji orang.
"Terus saya meletak harap supaya mereka yang ikhlas datang menghulurkan tangan tatkala payung yang menguruskan kerjaya seni saya iaitu EMI gulung tikar, sekali lagi lenyap tanpa berita. Lama juga saya hilang arah tanpa syarikat rakaman.
"Jujurnya, saya yang masih di situ tidak bergerak walau seinci kerana setia menanti dengan sejuta harapan, sedangkan kehidupan yang ada perlu diteruskan.
"Justeru, hari ini saya bebas terbang dengan sayap sendiri dan buang jauh wajah kasihan yang selalu muncul meraih simpati sebelum ini.
"Sheila kini sendiri, menguruskan kerjaya seni dan episod peribadi," katanya yang pernah diuruskan syarikat SRD Villa Record milik komposer Adnan Abu Hassan.
Lagu Mungkinkah yang mendapat sentuhan komposer Farish Zalani terbukti berjaya melekatkan namanya pada dinding carta lagu popular, sayangnya wajah Sheila pula kurang dikenali. Silapnya rangka promosi jelas menarik sekali nama dan wajahnya jauh tenggelam, dan hingga kini Sheila masih di takuk lama, tidak popular dan tiada pesona melonjakkan kehadirannya.
Insiden penutupan EMI, gagal menembusi syarikat rakaman lain, tidak dipandang segelintir komposer serta sering tidak diendahkan pihak stesen radio menjadi halangan kedua pula yang semakin melambatkan langkahnya yang berkobar-kobar ingin ke depan.
Bukan saja rasa penat, malah gadis berusia 22 tahun ini punya ceritanya sendiri hingga ia benar-benar mengetuk kesabarannya dan bangkit tanpa toleh ke belakang lagi.
Percaya atau tidak, harapnya bagi memiliki sebuah lagu yang mampu meninggalkan impak seperti mana buah tangan sulungnya, Mungkinkah ditolak mentah-mentah.
Datang penuh bahasa dan nawaitu jujur untuk membeli lagu, sebaliknya Sheila yang menjuarai pertandingan nyanyian Suara Bintang Adnan Abu Hassan hingga memboloskan kelibatnya ke pentas seni suara, diasak penuh sindiran.
Kononnya personalitinya tidak menyerlah, gayanya kosong tanpa haluan dan vokalnya bosan tanpa dinamik. Ada saja alasan beberapa komposer yang didekati, seolah-olah menidakkan bakatnya.
Namun bagi anak bongsu tiga beradik ini, memandang persepsi negatif yang dilempar itu satu gigitan tanpa bisa yang hanya menyakitkan hatinya namun gagal mematahkan semangatnya.
"Memang saya sedih dengan sesetengah komposer yang terkenal dengan sikap pilih bulu, lekas menjatuhkan hukum dan bongkak hanya kerana karyanya menjulang anugerah.
"Insiden diperlakukan begitu menjadi kayu ukur tahap sabar saya. Saya dikritik tanpa henti dan ada saja yang tidak kena, sedangkan niat saya datang untuk membeli lagu dan bukan merintih percuma.
"Mungkin mereka mudah berbangga kerana beranggapan peranan mereka mencoret melodi itulah yang berjaya membentuk kejayaan penyanyi namun hakikat pada mata saya, kegemilangan seseorang penyanyi adalah kerana corak alunan yang dilontarkan pada melodi buatnya.
"Itu semua bergantung pada kesungguhan mereka dan bukan kerana kekuatan lagu itu semata-mata," katanya yang pernah dilayan hina beberapa komposer popular, termasuk seorang yang masih baru dan tercari-cari identiti genre muziknya sendiri.
Atas rasa serik dan geram yang melampau, Sheila mula mengorak idea membina kod melodi sendiri dan meluahkan rasa hati menerusi sebuah lagu. Kini lahirnya Pengkhianat Cinta yang menjadi sandaran buatnya.
"Pengkhianat Cinta adalah satu terjemahan gelagat yang diilhamkan daripada kisah hidup sendiri dan teman sekeliling. Liriknya bermakna dan menyimpan seribu rahsia saya. Inilah formula baru buat saya mengatur serangan kedua selepas Mungkinkah.
"Lagu ini adalah buah tangan saya sepenuhnya, baik daripada penciptaan melodi dan liriknya mahupun proses susunan muziknya yang dilakukan di Bandung, Indonesia. Saya lakukan sendiri sebagai simbolik rasa kesal pada setiap benda yang bertaburan menghalang laluan seni selama ini.
"Saya berpuas hati dan bersedia ingin berkongsi keistimewaan muziknya bersama peminat," katanya yang kini ligat menjalankan rangka promosi singlenya bersama syarikat pengurusannya, Purple Dot Agency.
Rahsia kekuatan gadis yang kini masih menuntut di Universiti Pengurusan dan Sains dalam jurusan Diploma Pengurusan Acara rupa-rupanya bayangan sebuah rasa cinta buatnya.
Ketika berendam air mata dan bertemankan kecewa, Sheila tidak keseorangan. Sebaliknya dalam samar, Sheila ditemani seorang lelaki yang bermakna dalam hidupnya.
Episod cinta mula singgah dalam jiwa gadis ringan mulut ini. Sejak setahun lalu hatinya terpaut dan diulit rasa bahagia di samping jejaka yang enam tahun lebih dewasa daripadanya dan bergiat aktif sebagai pengaturcara majlis.
"Memang saya akui hubungan kami rapat dan dia satu-satunya teman istimewa dalam hidup saya buat masa ini. Keistimewaannya bukan saja kerana dia teman yang menemani saat duka dan tawa, malah lelaki yang saya sapa sebagai M itu adalah insan yang sentiasa berdiri di sebelah walaupun ketika saya hampir lemas tatkala semua meninggalkan saya atau saat ini di mana semangat saya memuncak membina empayar perniagaan sendiri.
"Pendek kata, penghijrahan saya seorang diri ke Kuala Lumpur tanpa keluarga adalah titik pertemuan dengannya yang saya sifatkan ikhlas.
"Namun untuk berbicara soal kahwin, masih terlalu awal. Bukan kerana tidak yakin namun saya lihat perjalanan karier saya masih jauh dan terlalu banyak yang perlu diperbaiki supaya tampak lebih lancar dan sempurna.
"Insya-Allah jika diberi keizinan dan rezeki lebih, kami berdua merancang menjalankan perniagaan bersama dan setakat ini dialah tulang belakang yang banyak menguruskan Purple Dot Agency bersama saya.
"Mungkin kerana dia mengenali saya sejak ketika menjuarai pertandingan nyanyian di Johor Bahru tiga tahun lalu, justeru dia saja yang nampak kesungguhan dan keyakinan saya untuk mengecapi impian yang belum terlaksana," katanya yang mengakui mengenali keluarga masing-masing sejak semakin serius sekitar lebih setahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: