BERILAH watak apa sahaja kepada primadona filem Melayu, Erra Fazira tidak kira untuk filem mahupun drama, dia mampu melakonkannya dengan penuh penghayatan.
Namun, kali ini Erra diberi tanggungjawab yang agak berat untuk membintangi teater muzikal Tun Mahathir yang bakal dipentaskan pada September dan Oktober ini.
Membawakan watak isteri kepada Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, teater muzikal itu merupakan teater kedua lakonannya selepas pertama kali berlakon menerusi teater arahan Ahmad Idham, Selendang Umi 10 tahun lalu.
Walaupun mempunyai pelbagai pengalaman berlakon, ternyata ia bukan mudah untuk Erra meniru dan melakonkan perwatakan dan lenggok badan seorang tokoh negara kerana jika tersilap, dia mungkin akan berdepan dengan kritikan yang besar oleh para penonton yang menyaksikannya.
Disebabkan risiko itu, Erra sudah mula tidak senang duduk sejak menerima tawaran daripada CTRA Production Sdn. Bhd. biarpun sesi latihan belum dimulakan.
Beritahu Erra, dia risau dengan harapan umum dalam pembawakannya sebagai Dr. Siti Hasmah yang penuh dengan ciri-ciri lemah lembut dan keibuan.
“Sepanjang karier lakonan, watak ini adalah antara yang paling berat yang saya terima. Saya perlu memastikan lakonan saya tidak terlebih atau kurang daripada watak sebenar Dr. Siti Hasmah. Saya rasa, sesiapa yang menerima watak ini pasti akan mengalami perasaan ini.
“Lebih mencabar lagi bila watak tokoh yang disanjung ramai itu masih hidup dan beliau sendiri akan hadir menyaksikan sendiri teater ini. Risau juga, tetapi setelah diberi garis panduan, saya harap saya dapat melaksanakan tugas yang diberi dan menganggap ia salah satu cabaran sebagai seorang pelakon.
“Setakat ini, saya ada membuat sedikit persediaan dengan mengenali Dr. Siti Hasmah lebih dekat dengan berjumpa dengannya dan cuba mengorek cerita peribadinya. Malah, apa yang membuatkan saya selesa dengannya, dia memberikan kerjasama yang cukup baik dan berkata saya boleh tanya apa yang ingin saya tanya kepadanya,” tutur Erra selepas sidang media teater muzikal tersebut di Istana Budaya baru-baru ini.
Tambah aktres jelita itu, dia gembira kerana teater itu sekali gus membuatkan dirinya lebih mengenali sisi lain Dr. Siti Hasmah dan terkejut apabila mendapat tahu, beliau seorang wanita lasak dan tomboi ketika di zaman remaja.
“Saya cuba mendalami emosinya. Apa yang membuatkan saya teruja berada di sampingnya ialah beliau langsung tidak kelihatan seperti seorang wanita berusia 80-an bila ditemu bual kerana gaya dan ekspresinya ketika bercakap begitu agresif.
“Kalau nak tahu, sepanjang hidupnya, beliau hanya memakai baju kebaya dan kurung, walaupun berada di majlis dengan dikelilingi wanita-wanita berpakaian gaun. Beliau juga sangat menyukai aktiviti sukan dan mula berhenti bersukan selepas mengenali Dr. Mahathir. Walaupun lasak, Dr. Siti Hasmah tetap kekal sebagai wanita timur,” ujar Erra.
Esma berhati-hati
Menariknya tentang teater muzikal ini, watak Dr. Mahathir diberikan kepada tiga pelakon mengikut tiga fasa kehidupan pemimpin yang disegani itu.
Finalis program Idola Kecil 2008, Mohd. Shafeiq Shazwan bakal melakonkan watak Dr. Mahathir pada zaman kanak-kanak, Zizan Nin (ketika remaja) manakala Esma Daniel pula dipertanggungjawabkan melakonkan watak Dr. Mahathir ketika berumah tangga dan mula bergiat aktif dalam bidang politik.
Menurut Esma, teater yang akan menyentuh sedikit sebanyak mengenai politik negara serta bangsa Melayu itu membuatkan Esma perlu berhati-hati dalam melakonkan watak pemimpin negara itu.
“Risau juga jika lakonan saya mencetuskan kontroversi. Ini kerana saya melakonkan watak Tun Dr. Mahathir ketika di zaman kegemilangannya yang mana banyak perkara yang berlaku pada dirinya serta negara.
“Nak ikutkan, saya tak yakin untuk membawakan watak ini dan perlu bekerja keras agar dapat memberikan lakonan yang terbaik.
“Soal layak atau tidak, saya tak pasti, Cuma tawaran ini adalah satu penghargaan buat saya. Secara keseluruhannya, saya percaya teater ini akan menjadi satu kenangan menarik buat para pelakon, produksi serta para penonton yang akan menyaksikannya nanti,” katanya yang pernah berlakon teater 10 tahun lalu di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur (DBP) berjudul, Julia.
|
|
Antara pelakon lain yang bakal mengisi pentas teater Tun Mahathir termasuklah Datuk Jalaluddin Hassan (bapa kepada Tun Mahathir, Mohamad Iskandar), Erma Fatima (ibu kepada Tun Mahathir iaitu Wan Tempawan), Ako Mustapha (Zahir), Zaibo ( Pak Mat) dan Misha Omar (Datuk Rosnah Majid) di samping 200 lagi pelakon lain yang telah diuji bakat pada Mac lalu.
Sementara itu, penerbitnya, Siti Rohaya Attan atau Kak Roy berkata, pemilihan pelakon tidak berdasarkan populariti tetapi lebih pada kualiti lakonan, karisma, bakat dan rupa paras yang menyerupai Dr. Mahathir.
Teater muzikal yang akan menggunakan khidmat pengarah Rosminah Mohd. Tahir, Pak Ngah (komposer muzik) dan Ismail Kassan ini bakal dipersembahkan di Panggung Sari, Istana Budaya, pada 25 September hingga 3 Oktober ini.
Bagi yang ingin menyaksikan teater muzikal Tun Mahathir, tiket dijual dengan harga RM30, RM50, RM80, RM100 dan RM150 melalui melalui tempahan melalui laman web www.ticket2u.biz atau menghubungi talian 03-41498600.
Tempahan juga boleh dibuat di talian Box Office, Istana Budaya, 03-40265558 dan untuk maklumat lanjut, layari laman web www.istanabudaya.gov.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: