
SELEPAS memunculkan dua teater tradisional dipercayai berpaksi dari Kampung Wang Tepus, Jitra, Kedah sejak 500 tahun lalu - Mek Mulung Cahaya Bulan pada 2002 dan Mek Mulung Malim Bongsu (2007), Dewan Filharmonik Petronas kini mengambil inisiatif menampilkan naskhah seterusnya, Mek Mulung Dewa Muda kepada audiens khususnya generasi baru.
Dipentaskan selama tiga hari berturut-turut bermula 30 hingga 31 Julai serta 1 Ogos ini pukul 8.30 malam, seramai 47 orang daripada 60 individu menaungi formasi Kumpulan Seni Persembahan Petronas bakal memerah kudrat menghidupkan keseluruhan Mek Mulung Dewa Muda dengan jalinan elemen lakonan, tarian dan muzik secukup rasa.
Berbicara lanjut tentang kelainan berbanding dua naskhah awal sebelum ini, menurut penerbit Mek Mulung Dewa Muda, Hartini Abdullah, ada beberapa perubahan dilaksanakan bagi mengindahkan perjalanan teater tradisional itu.
“Menyedari teater seperti ini sudah berusia 500 tahun, ia bagaimanapun menerima sentuhan kontemporari bersesuaian mengikut era moden. Begitupun, pihak kami masih mengekalkan unsur-unsur tradisional seperti pembukaan cerita, watak raja, Awang Pengasuh, Awang Selamat dan inang-inang.
“Persembahan Mek Mulung seperti biasa dimulakan dengan lagu bertabuh dengan semua instrumen muzik dimainkan serentak. Selepas itu, ia diteruskan dengan lagu bertabik sebagai pembuka panggung. Lagu jenis ini biasanya didendangkan oleh watak Tuan Puteri diiringi oleh korus. Setelah selesai, nyanyian dan tarian, hikayat penceritaan dimulakan.
“Paling menarik, intipati Mek Mulung Dewa Muda lebih ditekankan kepada inang-inang agar ia memberi impak dan ada humor tersendiri. Ia bagi memperlihatkan teater ini segar ditambah kami hendak panggil khalayak generasi muda agar datang menonton beramai-ramai,” katanya ketika ditemui pada sidang media teater berkenaan di Dewan Filharmonik Petronas minggu lalu.
Sambung Hartini, selain mewarnakan sedikit sebanyak jalan penceritaan Mek Mulung Dewa Muda, pembikinan teater tradisional itu merupakan 100 peratus hasil kerja Kumpulan Seni Persembahan Petronas.
“Berbanding Mek Mulung Cahaya Bulan dan Mek Mulung Malim Bongsu, kami mendapatkan khidmat nasihat salah seorang penduduk Kampung Wang Tepus. Dengan penglibatan para pelakon berbakat besar dan setiap kajian dilakukan sebelum ini, kami yakin ia mampu membuatkan Mek Mulung Dewa Muda dapat dipentaskan seperti diingini.
![]() |
| MOHD. RIZAL dan Haslinda merupakan tunggak utama pementasan ini. |
“Kali ini, kami menyelitkan dialog yang berkaitan isu semasa. Contohnya seperti mengenengahkan skrip tentang Program Latihan Khidmat negara (PLKN). Bahkan, enam daripada 10 orang inang membabitkan diri pada Mek Mulung Dewa Muda terdiri daripada golongan lelaki. Hanya selebihnya merupakan wanita,” jelasnya sambil memberitahu pementasan Mek Mulung boleh mengambil masa selama empat malam jika menuruti versi asal.
Sama sahaja seperti pementasan teater tradisional lain, Mek Mulung Dewa Muda banyak bezanya. Ia masih membawa haluan semangat perjuangan individu berdarah raja semata-mata mencari cinta sejati dalam hidup. Yang penting, mesej diketengah berupaya diangkat sebagai pengajaran dan panduan kepada orang lain.
Mek Mulung Dewa Muda berkisar perjalanan Dewa Muda lakonan Mohammad Rizal Mohammad Lazim mendapatkan cinta Puteri Ratna Emas (Haslinda Mohd. Ali) sebagai pasangan hidup. Dewa Muda terpana tatkala mendengar nama wanita itu. Kemudian, baginda bersama Awang Pengasuh dan Awang Selamat keluar memburu kijang jelmaan, Puteri Ratna Emas.
Malangnya, mereka tidak berjaya menjerat kijang tersebut. Ketika tiba di muara sungai, Dewa Muda telah berjumpa dengan bunga sakti tujuh kelopak yang hanyut melawan arus. Pada kelopak itu, tertulis pesanan daripada Puteri Ratna Emas meminta agar Baginda berjumpanya di Kayangan.
Dewa Muda kembali ke istana lalu mendapatkan keizinan bonda tercinta, Tuan Puteri Selindung Bulan meminjam baju layang untuk terbang ke Kayangan menemui Puteri Ratna Emas. Dengan baju itu, barulah Dewa Muda dapat berjumpa dengan wanita idamannya.
Mek Mulung Dewa Muda digarap oleh Roslee Mansor manakala A Sam Palal bertindak selaku koreografer kepada 25 pelakon dan Abdul Rohni Mat Noor mengepalai seksyen bunyi-bunyian indah bersama 12 pemuzik sepanjang dua jam teater tradisional berkenaan dipentaskan.
Tiket Mek Mulung Dewa Muda dijual dengan harga RM60, RM50, RM30 dan RM15. Ia boleh dibeli dengan menghubungi 03-20517007, menerusi faks di talian 03-20517077 atau membuat tempahan secara e-mel di dfp_boxoffice@petronas.com.my. Untuk mendapatkan keterangan lebih lanjut, jangan lupa melayari laman web www.dfp.com.my.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: