Tuesday, July 27, 2010

Dihukum penjara 30 tahun kerana bunuh 15,000 rakyat Kemboja


SEORANG pelancong merakamkan gambar tengkorak yang menjadi mangsa kekejaman rejim Khemer Rouge di Memorial Choeung Ek, Phnom Penh semalam.


PHNOM PENH - Dalam satu keputusan bersejarah, sebuah mahkamah yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjatuhi hukuman penjara 30 tahun ke atas seorang ketua penjara rejim Khmer Rouge kerana jenayah kemanusiaan berhubung pembunuhan beramai-ramai di Kemboja pada 1975-1979.

Pesalah, Kaing Guek Eav yang lebih dikenali sebagai Duch merupakan anggota Khmer Rouge pertama dihadap ke muka pengadilan di hadapan sebuah tribunal antarabangsa berhubung kematian sehingga dua juta orang menerusi kebuluran, buruh paksa dan pembunuhan oleh rejim berkenaan.

Bagaimanapun, sejumlah mangsa terselamat dan saudara- mara mangsa yang terbunuh semasa era pemerintahan Khmer Rouge kecewa kerana mahkamah berkenaan menetapkan hukuman penjara ke atas Duch bermula sejak dia ditahan pada 1999.

Ini bermakna lelaki berusia 67 tahun itu mungkin akan dibebaskan pada tahun 2029 atau lebih awal.

"Berjuta-juta orang telah dibunuh, berjuta-juta dolar turut dibelanjakan (untuk perbicaraan ini) tetapi pembunuh tersebut mungkin akan bebas," kata seorang mangsa Khmer Rouge, Chum Mey, 79 yang terselamat setelah dipenjara dan diseksa.

Duch memohon maaf semasa perbicaraannya di sini kerana menyelia pembunuhan beramai-ramai melibatkan 15,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak di penjara Tuol Sleng yang digeruni dengan nama S-21.

Lelaki itu mengejutkan hakim mahkamah berkenaan pada November tahun lalu apabila meminta dia dibebaskan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: