Friday, July 16, 2010

Dari estet ke Universiti Bristol




MENJADI seorang wanita pada abad baru ini sememangnya satu cabaran besar. Lebih-lebih lagi, wanita yang perlu berdikari tanpa bergantung kepada lelaki bergelar ayah atau suami. Persaingan dan kongkongan pegangan budaya serta agama kadangkala menjadi batu penghalang kepada wanita mengorak langkah lebih jauh. Namun tidak dinafikan, ada juga wanita yang berjaya mencipta nama dan mengharungi segala cabaran itu. G. Vimala Nair, 57, merupakan salah seorang ikon wanita itu yang patut dicontohi generasi wanita hari ini.

Apabila membelek diari perjalanan hidup wanita ini pasti timbul persoalan apa kesulitan yang dia tidak pernah dilaluinya sebagai seorang wanita. Segala kesukaran itu bagaikan sudah tertulis jelas dan ditakdirkan untuk dialaminya. Bermula daripada cabaran menjadi anak sulung dalam keluarga besar, ibu tunggal, guru sehingga bergelar aktivis sosial dan ahli politik.

Ketabahan mengharungi satu demi satu fasa perjalanan hidup yang penuh suka dan duka itu akhirnya melayakkan Vimala dinobatkan untuk menerima Anugerah Wanita Tahunan Tun Dr. Siti Hasmah pada tahun 2008.

Sungguhpun pengiktirafan berprestij tinggi itu bukanlah impian yang pernah terlintas di fikirannya tetapi kebaikan yang dibuat melalui aktiviti kebajikan dibalas dengan cukup sempurna. Beliau yang ditemui Kosmo! pada satu pertemuan istimewa tampil dalam persalinan sari fabrik kapas rona merah kelihatan anggun sungguhpun usianya sudah menjangkau separuh abad.


AKTIF dalam aktiviti sosial dan kebajikan, sumbangan Vimala turut mendapat penghargaan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.


Kata Vimala, kearifan seseorang wanita dalam menjaga penampilan diri turut perlu diimbangi dengan mengetahui hal-hal hak dan kebebasan wanita. Wanita pada zaman moden ini, cukup bertuah sebab berpelajaran tinggi dan memiliki kebebasan untuk menyuarakan pendapat serta pandangan mereka secara terbuka.

Wanita hari ini juga diberi peluang secara saksama dalam pelbagai bidang untuk memimpin dan menjawat jawatan tinggi di mana jua. Berbanding senario nasib wanita tiga dekad yang lalu, sukar mendapat peluang untuk menimba ilmu mahupun meluahkan hasrat atau keinginan hidup berdikari. Semuanya dihalang begitu sahaja kerana terkongkong dengan pegangan-pegangan lama yang karut.

Mengambil contoh dirinya sendiri, wanita yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan itu memberitahu sebagai anak sulung daripada lapan orang adik-beradik dia terpaksa memikul tanggungjawab menjaga keluarga pada masa yang sama berusaha untuk memajukan diri sendiri.

Tidak mahu jadi penoreh

Setelah berpisah dengan ayahnya, ibu Vimala berkahwin lagi dan bapa tirinya pula telah menghantarnya ke sekolah aliran Inggeris. Bagi seorang gadis dari estet, mendapat pendidikan awalan di sekolah Inggeris memang luar biasa. Suasana kehidupan yang serba kekurangan itu mengajar beliau untuk belajar bersungguh-sungguh kerana mengingati pesanan bapa tirinya yang beliau akan diberhentikan sekolah jikalau pencapaian tidak cemerlang.

"Oleh sebab, tidak ingin menjadi penoreh getah seperti wanita estet yang lain maka saya berusaha keras untuk mendapat pencapaian tinggi di sekolah.

"Datuk yang menjadi sumber inspirasi dan hero kepada saya. Layanan penuh kasih sayang dan kepercayaannya terhadap kredibiliti saya sentiasa mendorong untuk melakukan sesuatu yang luar biasa. Dia juga sentiasa mengingatkan saya supaya membantu orang lain yang berada dalam kesusahan. Maka sebab itu saya pun menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah semasa di bangku sekolah," ujar ibu kepada seorang anak lelaki itu.


VIMALA jelita pada usia remajanya.


Walaubagaimanapun, setelah tamat sekolah atas desakan bapa tirinya Vimala telah dikahwinkan dengan seorang lelaki kenalan keluarganya. Perkahwinan yang berlangsung tanpa kerelaan itulah menjadi titik noktah kepada cita-citanya untuk menjadi seorang doktor dan membantu orang ramai. Perkahwinan yang tidak diingini juga telah berakhir dengan begitu cepat akibat penderaan suaminya dari segi mental dan fizikal.

Pelindung keluarga

Mengenang nasib malangnya, ibu Vimala juga telah jatuh sakit dan meninggal dunia manakala bapa tirinya pula pulang ke India. Setelah mengharungi kesusahan melalui perkahwinan selama lima tahun, dia terpaksa menempuh cabaran menjaga tujuh orang adik-beradik yang masih remaja.

Bagi memberi kehidupan yang lebih selesa kepada adik-beradik tanpa bantuan sesiapa pada tahun 1984 dia berhijrah ke Kuala Lumpur. Untuk menyara keluarga, ketika itu dia yang bekerja sebagai guru terpaksa mengajar tuisyen, menjual muruku dan menjahit baju untuk mendapat duit saku membeli makanan untuk kaum keluarga.

Sebagai ibu tunggal, sambil menjaga kebajikan anak lelaki dan adik-beradik dia bertekad untuk meneruskan pelajaran ke peringkat ijazah dalam bidang pendidikan. Jelasnya, satu-satunya aset yang beliau miliki untuk meneruskan kehidupan ketika masa yang susah itu adalah pendidikan.

Kerja kebajikan

Apabila wanita berpelajaran tinggi, dia tidak perlu takut untuk mengecapi kejayaan.

"Semasa melanjutkan pelajaran di universiti kadangkala memang tidak cukup wang untuk membeli makanan. Mungkin tersimpan RM5 untuk perbelanjaan bulanan. Tetapi tidak pernahpun saya meminta duit daripada sesiapa kerana kekurangan itu yang mendorong untuk membuat yang terbaik.


VIMALA aktif dalam menggerakkan wanita India agar setanding dengan wanita kaum lain di negara ini.


"Pada waktu itu juga saya aktif dalam pelbagai persatuan dan membuat aktiviti-aktiviti kebajikan untuk membantu orang lain. Saya sentiasa mempercayai melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan memberi rahmat," jelasnya yang turut aktif menyertai parti politik kaum India iaitu The Malaysian Indian Congress (MIC).

Penyertaan dalam bidang politik secara tidak langsung memberi peluang kepada beliau menghulurkan bantuan kepada ibu-ibu tunggal tempatan yang menerima nasib malang sepertinya. Beliau juga giat memberi ceramah motivasi kepada golongan wanita untuk tampil kehadapan dan melakukan sesuatu kepada masyarakat.

Katanya jikalau seseorang ditakdirkan untuk menjadi ibu tunggal usah risau mengenang nasib malang itu. Sebaliknya berusahalah mendapat pekerjaan yang sesuai dan membeli rumah sendiri supaya dapat memberi kehidupan yang selesa kepada anak-anak yang tidak berdosa.

Wanita yang turut memiliki sarjana dari Universiti Bristol, United Kingdom (UK) itu berkata, walaupun wanita bekerja keras untuk membina keluarga tetapi usah abaikan keinginan dan kepentingan diri sendiri. Saban bulan, belai diri dengan mengunjungi spa kecantikan, membeli produk kecantikan ataupun membeli pakaian kegemaran supaya sentiasa kelihatan anggun dan tabah di mata suami serta anak-anak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: