Wednesday, July 7, 2010

Buku makanan Pulau Pinang


HIDANGAN berempah sebegini amat sinonim di restoran nasi kandar.


PULAU PINANG cukup sinonim dengan pantai dan lokasi pelancongannya yang menarik termasuk pusat beli-belah terkemukanya. Faktor lain yang tidak boleh dipinggirkan ialah tarikan makanan tempatannya yang cukup menyelerakan.

Bagi mereka yang kerap datang atau bercuti ke negeri itu, lokasi-lokasi tempat makan popular termasuk gerai tepi jalan pasti terakam di minda mereka.

Namun, bagaimana pula bagi pengunjung yang kali pertama sampai ke Pulau Pinang, khususnya pelancong asing?

Kebuntuan memikirkan lokasi makanan terbaik dan hidangan popular di negeri ini terjawab menerusi penerbitan sebuah buku khas berjudul Great Dining in Penang oleh kolumnis makanan popular, Helen Ong.

Buku setebal 160 muka surat ini mampu menjadi petunjuk buat pengunjung domestik dan pelancong asing dalam mencari destinasi gastronomi terbaik sempena kunjungan mereka.

Pemilihan tempat-tempat makanan popular ini dibuat menerusi penelitian Helen sendiri. Antara lain, ia menyenaraikan beberapa dapur dari hotel-hotel ternama yang memang dikenali mempunyai menu menyelerakan.

Edisi kedua yang dikemas kini daripada buku judul serupa yang diterbitkan sebelum ini, ia mengambil masa dua tahun untuk disiapkan oleh beliau.

Buku itu membawa satu dimensi baru kepada penggemar makanan kerana bukan sahaja menampilkan gambar restoran dan makanan, malah turut menyelitkan beberapa resipi dari restoran terpilih termasuk yang didapatkan daripada chef-chef hotel terkemuka.

Menurut Helen, penerbitan buku itu adalah antara usahanya memperkenalkan kulinari dan sejarah makanan di negeri kelahiran keluarganya di samping berkongsi beberapa resipi peribadi miliknya iaitu rahsia dapur Nyonya Pulau Pinang.

"Walaupun buku edisi pertama sudah terbitkan dahulu, tetapi saya masih menerima bertalu-talu pertanyaan daripada rakan-rakan yang sukar mencari restoran makanan terbaik di negeri ini.

"Ini membuatkan saya mahu menerbitkan sendiri sebuah buku makanan. Penerbitannya bukan berteraskan keuntungan, tetapi semata-mata untuk menyumbang sesuatu kepada industri pelancongan negeri ini," katanya.


HELEN menerbitkan sendiri bukunya atas permintaan ramai.


Pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan Negeri, Danny Law Heng Kiang di Hotel Golden Sands Resort, di Batu Feringghi baru-baru ini.

Buat permulaan sebanyak 3,000 naskhah diterbitkan dan boleh diperoleh di kedai-kedai buku terpilih seperti di rangkaian kedai buku Popular, MPH serta hotel-hotel yang terpilih sekitar negeri ini pada harga RM28 senaskhah.

Masakan pelbagai etnik

Di dalamnya terdapat kira-kira 200 kedai makan, kafe, restoran termasuk yang bertaraf mewah serta tempat makan terbuka disenaraikan yang menyajikan makanan ala Hokkien, Nyonya, India utara, masakan Melayu, Barat dan menu antarabangsa lain.

Oleh kerana kendungannya lebih banyak dikhususkan buat pelancong asing, hampir 70 peratus daripadanya adalah premis makanan tidak halal khususnya restoran-restoran yang menyediakan masakan Cina dan Barat.

Namun, Helen tidak ketinggalan menyenaraikan lokasi-lokasi makanan tempatan halal seperti kopitiam, gerai dan sudah pastinya, sejumlah kedai makanan India dan nasi kandar popular di Pulau Pinang seperti Line Clear, Hamideyah, Karikuddi Restaurant dan Passage Thru India.

Sementara itu, Heng Kiang memberitahu, usaha Helen itu harus dipuji dan wajar dicontohi anak-anak tempatan yang ingin mendekatkan negeri ini di hati pelancong asing.

Menurut beliau, kesungguhan seperti ini termasuk yang dimainkan oleh kerajaan negeri, agensi kerajaan, pihak hotel dan pihak-pihak lain berjaya meletakkan Pulau Pinang sebagai destinasi percutian popular di negara ini.

Ia terbukti apabila Pulau Mutiara mencatat kenaikan kedatangan pelancong asing sebanyak 35 peratus bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Sepanjang Januari hingga Mac lalu, seramai 430,355 pelancong asing berkunjung ke sini berbanding 318,912 orang pada tempoh sama.

Menurut Heng Kiang lagi, pemulihan ekonomi global dan ancaman wabak influenza A (H1N1) yang semakin pulih antara penyumbang kepada kenaikan tersebut.

Selain itu katanya, usaha agresif turut dimainkan oleh beberapa syarikat pelancongan misalnya dari India dan China yang mempromosi Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan ideal.


KELAZATAN laksa yang disertai petis semestinya tidak boleh dilupakan selepas mencubanya.


"Status Georgetown sebagai Tapak Warisan UNESCO menjadi senjata promosi kita di luar negara. Kemudahan mendapatkan makanan dilihat menepati cita rasa global," katanya.

Tambah Danny, kemasukan pelancong dari negara Asia Barat juga dilihat semakin meningkat terutama pada bulan Jun hingga September.

Ditambah pula dengan keindahan pantai dan pelbagai pusat beli-belah yang dibangunkan berhampiran antara satu sama lain, para pelancong dari benua itu gemar memilih Pulau Pinang berbanding Kuala Lumpur.

"Untuk itu, kita mencadangkan kepada beberapa pusat beli-belah di negeri ini supaya mengadakan jualan murah pada waktu kedatangan pelancong Arab ini. malalui tarikan itu, kita mampu membuatkan mereka kerap berkunjung kembali," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: