Sunday, July 11, 2010

Bukan ghairah tapi jujur




DIA pelayar yang baru hendak berlabuh ke daerah sinema bernama Malaysia. Sebuah daerah kecil yang sarangnya bukan persinggahan banyak pelawat luar - sebuah daerah yang gah penuh rukun dengan adat, tatasusila Melayu yang mahal jangan disentuh.

Dagangannya sebuah filem yang pernah dicanang dengan berani. Ia dikilangkan oleh penerbit popular penuh kontroversi bernama Raja Azmi.

Judul filemnya sendiri, Anu Dalam Botol yang kemudiannya ditukar menjadi ... Dalam Botol sudah cukup mengundang skeptikal. Lantas, hebahan cerita dalam kain yang dibuka si pelayar baru itu memarakkan kembali api lama.

Dialah Arja Lee, si pemegang watak Ruby, lelaki yang mengubah jantinanya menjadi wanita menerusi filem berkenaan. Selepas Rusdi Ramli dalam Jari Hantu, dia menjadi aktor lelaki Melayu seterusnya yang mengubah jantina menjadi kaum transeksual dalam filem.

Hal itu sudah satu keberanian, ditambah pula dengan pengakuan gempar, telah berbogel demi satu babak di bilik air menjadikan itu satu rantaian isu yang sempurna untuk memanaskan atmosfera hiburan tanah air ketika ini.

Umpama umpan yang mengena jerung, Arja tergigit dan produksi filem berkenaan dihambat penjelasan. Suara kerajaan sudah bergema dan bermacam persoalan dibangkitkan.

Dosa

Dia diselar melangkahi norma keMelayuan dan melakukan dosa di sisi agama, boleh didenda atau dipenjarakan sebagai hukuman.


ARJA LEE mencetuskan kontroversi berikutan pengakuan beraninya bahawa dia berbogel dalam satu adegan dalam filem ...Dalam Botol.


Tidak menegakkan benang yang basah jauh sekali menafikan kesilapan yang telah dilakukan, Arja Lee 'masuk mengadap' demi membentangkan setiap langkah yang mengheret dirinya ke kancah kontroversi.

Mengakui ada getaran berkocak dalam dada, dia tahu membisu atau bersembunyi bukan cara terbaik menyelesaikan masalah.

"Saya orang baru, sudah tentu saya tergugat. Ketika isu ini menjadi heboh, saya berada di Bali. Banyak panggilan tidak dijawab, peti simpanan suara telefon bimbit saya juga penuh dan tiba-tiba laman sosial Facebook saya dimasuki banyak jemputan teman baru.

"Sungguh, saya tidak pernah merancang sengaja mengundang kontroversi atau hendak menjaja publisiti murah untuk filem pertama saya itu," optimis vokal Arja mematahkan dakwaan kononnya sengaja mencari nahas dengan cerita berbogel seperti yang didedahkan sebelum ini.

Secara peribadinya, dakwa Arja dia sekadar bersikap jujur dan mahu pengalaman di lokasi penggambaran dikongsi bersama media dan khalayak filem.

"Saya cuma memberi kenyataan kepada dua akhbar, pertama bersama akhbar bahasa Inggeris dan tidak lama kemudian diikuti akhbar bahasa Melayu mingguan. Isu ini jadi besar selepas artikel berkenaan disiarkan akhbar Melayu.

"Ya, saya telah melakukan kesilapan dan terlupa tentang sensitiviti ketika memberi kenyataan. Saya memohon maaf kepada semua pihak. Dalam soal ini, saya yang bersalah.

"Tetapi benar, memang ada saya berbogel dalam satu babak penggambaran filem berkenaan tidak lama dahulu semasa Ruby mandi di bilik air, bagaimanapun babak bogel itu tidak digunakan untuk filem berkenaan sebab saya ada juga melakonkan watak berkenaan dengan memakai seluar ketat," jelasnya Arja.




Objek seks

Terlajak perahu boleh diundur terlajak kenyataan, tanggunglah akibatnya, bagaimanapun aktor yang berstatus mahasiswa di Universiti Sains Malaysia (USM) itu tidak hilang punca.

"Esok saya akan dipanggil mengadap pihak pentadbiran universiti untuk menjelaskan perkara ini.

"Saya sedia menanggung apa sahaja hukuman pihak universiti," katanya yang tidak berdepan masalah dengan pengarah serta penerbit filem berkenaan, Khir Rahman dan Raja Azmi.

Perjalanan Arja sebagai anak seni tidak bermula dengan mudah. Hala tuju asalnya tertumpu kepada nyanyian dan tarian serta pernah menyertai dua program realiti, Audition dan Gangstarz di kaca televisyen. Beberapa tahun dalam nyanyian, namanya sepi daripada publisiti.

Penglibatan dalam Puteri Gunung Ledang The Musical 1 dan 2 serta diberi kepercayaan oleh Fauziah Nawi sebagai Wan Darus menerusi teater Mahsuri memberi laluan kepada Arja untuk bergelar pelakon.

Menebak jejaka kelahiran Kuala Lumpur yang menjunjung nama sebenar Azharudin Ramli, 26, itu dengan satu persoalan, adakah pengakuan berbogel dilancarkan atas agenda mengait populariti di jalan pintas? Begini jawabnya:

"Memang ini filem pertama lakonan saya, sebelum ini saya cuba berlakon dalam dua buah telemovie.

"Nak kata saya terlalu ghairah atau keterujaan yang meruap-ruap tidak juga, tapi kalau langsung tidak merasa teruja pun tidak bagus bukan," kata penuntut tahun dua jurusan seni lakon dan pengarahan itu secara bijak.

Selain pengakuan berani 'mati' yang keluar daripada bibirnya, Arja tidak tersisih daripada pandangan kiri segelintir pihak.

Kesanggupan beraksi sebagai mak nyah dalam filem serta pergaulan dengan teman-teman dalam industri yang condong ke arah itu menangkap nama Arja untuk disenaraikan sebagai gay di mata sesetengah pihak.

"Saya sudah lali dengan pandangan sebegitu, itu normal tetapi sehingga ke hari ini, saya masih seorang yang 'lurus'. Kepada pihak yang tidak mengenali saya secara dekat, tolong jangan buat andaian.


SEDIA menerima hukuman, janji Arja dia tidak akan mengulangi kesilapan yang sama untuk kali kedua.


"Saya masih di landasan yang betul, saya dicop gay mungkin kerana selama ini ada yang mendakwa melihat kelibat saya di sana sini dan bergaul dengan golongan jenis 'itu', saya masih ada maruah, ada keluarga yang harus dijaga nama baiknya" ujarnya tanpa ragu.

Melihat Arja yang serius mahu bakatnya dinilai sebaik mungkin, sengaja saya mengusiknya, buruk baiknya isu bogel yang diperkatakan ramai ini, setidak-tidaknya ia promosi untuk filem yang bakal ditayangkan menjelang November nanti.

Dia terpaksa mengiakan hujah itu namun ada prinsip yang mahu diketengahkan. Tegasnya, biarlah filem sulung lakonan itu disaksikan oleh semua kerana pengisiannya dan dinilai sebagai sebuah karya seni.

"Sesebuah karya atau barang jualan harus ada faktor jualan yang kuat, itulah yang menentukan tarikan sesebuah karya tapi saya tidak mahu filem itu ditonton ramai semata-mata kerana adegan di bilik mandi berkenaan.

"Jangan jadikan saya sebagai objek seks kerana adegan itu hanya satu daripada cara Ruby menjalani hidupnya," tutup Arja dalam nada penuh makna.

Membuka diri dan kerja seninya untuk dikritik, pintanya, berilah peluang untuknya mengembangkan bakat yang ada dan permohonan maaf ini sebagai janjinya untuk tidak melakukan kesilapan kali kedua.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: