Tuesday, July 27, 2010

Bersolek depan kamera web


EIN memuat turun rakaman solekannya dalam Facebook dan YouTube.


REMAJA bernama Noor Ezzreen Abdu Razak, 21, ini sama seperti generasi muda zaman sekarang yang gemar mengenakan solekan apabila keluar rumah.

Bukan apa, cuma katanya dia bersolek untuk kepuasan diri. Namun, satu yang membezakan Ezzreen atau lebih mesra disapa Ein ialah dia bersolek bukan di depan cermin tetapi di depan kamera web yang terdapat pada komputer riba miliknya.

Jangan terkejut, kerana apa yang dilakukan Ein ada asasnya. Selepas menyempurnakan solekan, video yang dirakam kemudian akan diedit dan ditambah dengan beberapa kesan bunyi sebelum dimuat naik ke dalam rangkaian laman sosial Facebook atau YouTube.

Senang cerita, Ein mahu berkongsi hobinya yang suka bersolek dengan komuniti alam maya. Ditanya sejak bila dia mula menjalankan aktiviti bersolek di depan kamera web itu, anak sulung daripada tiga beradik itu memberitahu sudah lebih tiga tahun lalu .

"Apabila melanjutkan pelajaran di kolej, ibu membelikan sebuah komputer riba untuk kegunaan saya. Mengetahui ia turut dilengkapi dengan kamera web, saya terus teruja untuk menerokai fungsinya.

"Memandangkan saya memang suka bersolek, sudah pastilah ia menjadi agenda utama. Jika ada kelapangan, saya mula cuba bersolek di depan kamera web. Ternyata ia begitu menyeronokkan," jelas Ein yang mula meminati dunia solekan pada usia 16 tahun.

Belajar di Internet

Pelajar lepasan Diploma Penjagaan Kesihatan dari Kolej Masterskill itu memberitahu, sewaktu di tingkatan empat, dia selalu melihat rakan-rakannya mengenakan penggaris mata di sekolah.

Keadaan itu menyebabkan wajah mereka kelihatan lebih menyerlah. Bermula dari situlah, Ein terus menyimpan cita-cita untuk belajar bersolek.

Tanpa mahu membebankan ibu bapa untuk menghantarnya ke kelas solekan yang memerlukan bayaran, Ein sebaliknya menggunakan medium Internet sebagai perantaraan menuntut ilmu persolekan.

Selain video yang dimuat turun daripada YouTube, Ein juga sering menjadikan majalah yang memaparkan teknik-teknik bersolek sebagai panduan.


MINAT yang mendalam dalam dunia solekan menyebabkan Ein tidak kisah menjadi jurusolek untuk ibu dan rakan-rakannya.


Hasil daripada penelitian dan kesungguhannya mempelajari teknik-teknik solekan, akhirnya pada usia 19 tahun Ein mampu menghasilkan solekan lengkap pada wajah.

"Sejak itu, rakan-rakan di kolej sentiasa menjadi model saya, untuk disolek. Biasanya jika ada majlis keraian anjuran pihak kolej, saya akan menyolek tiga atau empat orang rakan menggunakan alat solek sendiri," ujar Ein yang meminati jurusolek terkenal antarabangsa, Michelle Phang.

Biarpun ada antara rakan-rakan yang mahu menghulurkan wang tanda terima kasih atas solekan yang diterima, Ein langsung tidak mahu mengambil upah di atas pekerjaannya.

Ungkap Ein, dia sendiri yang beria-ia mahu menyolek mereka, maka mengapa pula dia perlu menerima bayaran. Keikhlasan itu secara tidak langsung membuktikan kesungguhan Ein untuk menunjukkan bakatnya dalam bidang solekan.

Selain rakan sekolej, Ein juga pernah merias wajah ibunya, Foziah Abd. Hamid yang merupakan seorang guru sewaktu menghadiri satu majlis makan malam.

Cinta Ein terhadap dunia solekan memang mendalam. Apa tidaknya, walaupun sekadar pergi ke kedai yang terletak di bawah rumahnya, dia tetap akan bersolek terlebih dahulu.

"Tak tahulah mengapa, tapi jika sehari tidak bersolek, saya rasa amat janggal. Sebab itulah kalau keluar ke kedai pun saya sanggup bersolek, walaupun sekadar solekan ringkas.

"Tetapi, salah satu faktor lain mungkin juga kerana saya begitu mementingkan penampilan untuk meningkatkan keyakinan diri apabila berdepan dengan orang ramai," tutur Ein yang menyukai warna merah jambu.

Jika mahu melihat hasil tangan Ein dalam solekan, anda boleh layari laman YouTube dan taip perkataan Bungayumichi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: