![]() |
| |
KUALA LUMPUR - Seorang bekas naib canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia semalam berjaya dalam usahanya bagi membatalkan keputusan Majlis Angkatan Tentera memendekkan tempoh peminjamannya di universiti itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aziah Ali semalam membenarkan permohonan Leftenan Jeneral Datuk Ir. Ismail Samion (gambar) bagi semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan majlis itu yang dijelaskan dalam sepucuk surat oleh Menteri Pengajian Tinggi bertarikh 4 Julai 2008.
Ismail menamakan majlis itu, Menteri Pertahanan, Menteri Pengajian Tinggi dan kerajaan sebagai responden.
Peguam bekas naib canselor itu, Stanley S. Sinnappen memberitahu pemberita bahawa Aziah mengarahkan responden-respondennya untuk membayar RM3,000 bagi kos guaman kepada pemohon dan menetapkan 23 Ogos untuk menilai ganti rugi.
Stanley berkata, akhirnya anak guamnya yang telah berkhidmat dengan angkatan tentera lebih daripada 20 tahun, mendapatkan keadilan.
Dalam permohonannya untuk semakan kehakiman, Ismail, 59, berkata, dia memulakan perkhidmatannya dengan Tentera Udara Diraja Malaysia pada 9 Jun 1970 dan mencapai umur persaraan wajib semasa berumur 56 tahun pada 22 November 2007.
Ismail berkata, tempoh perkhidmatannya telah disambung secara kontrak selama dua tahun dan 14 bulan bagi membolehkannya menamatkan tempoh peminjamannya sebagai naib canselor.
Dia dipinjamkan kepada universiti itu bagi tempoh tiga tahun mulai 17 Jan 2007 sehingga 16 Januari 2010.
Bagaimanapun, sebelum tempohnya tamat, majlis itu dalam satu mesyuarat telah memutuskan bahawa tempoh peminjamannya dipendekkan berkuasa dari 1 September 2008.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: