Thursday, July 1, 2010

Bakti Perkim Kuis di Pulau Indah


Aktiviti permainan boling kelapa bagi kategori dewasa wanita.


ALLAH menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka. (an-Nur: 55)

Seramai 40 ahli Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) menimba pengalaman baru mengenali kehidupan masyarakat pedalaman ketika menyertai program Kembara Asli Siri 3 di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor pada 18 hingga 20 Jun lalu.

Program selama tiga hari itu, biarpun singkat tetapi cukup bermakna apabila peserta berpeluang merasai pengalaman hidup di kawasan tersebut.

Ia anjuran Bahagian Pembangunan Insan (BPI), Pejabat Agama Islam Daerah Klang, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan kerjasama Perkim Kebangsaan, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Selangor dan Kelab Perkim Kuis.

Menurut Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad, mereka dapat melihat secara dekat kehidupan masyarakat Orang Asli serta menyelami sendiri kegiatan penduduk kampung terbabit.

Katanya, program tersebut setidak-tidaknya mampu menerapkan semula penduduk kampung dengan dakwah yang berkesan bersama mahasiswa.

Menurut beliau, pendekatan Kelab Perkim Kuis menziarah ke perkampungan Orang Asli harus dijadikan agenda utama supaya keimanan dan keyakinan mereka terhadap Islam dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa walaupun hanya sebilangan sahaja penduduk memeluk Islam.

“Kini masyarakat Orang Asli sudah jauh berbeza. Mereka juga tidak terlepas dalam usaha pembangunan negara sama ada dari segi perkembangan infrastruktur dan pendidikan.

“Malah usaha dakwah antara badan-badan Islam secara berterusan dan pemantauan yang teratur daripada penggerak masyarakat, sedikit sebanyak membawa perubahan pemikiran dan hala tuju masyarakat Islam Orang Asli,” kata Suariza.

Kesempatan itu juga membolehkan mereka memupuk persaudaraan dengan penduduk kampung terbabit selain beramah mesra dengan kanak kanak dan warga tua melalui aktiviti yang dirancang.

Di samping itu, bagi mengeratkan lagi kemesraan, mahasiswa dan penganjur di bawa berkunjung ke seluruh perkampungan masyarakat orang asli Pulau Indah.

Di sini mereka bertanya khabar dan memberi sumbangan hamper berbentuk makanan asasi yang turut disampaikan oleh mahasiswa Kelab Perkim Kuis.

Selain itu, diadakan aktiviti sukaneka kanak-kanak melibatkan acara seperti mencari gula dalam tepung, karom, belon air, selain boling kelapa dan perlawanan sepak takraw untuk dewasa.

Juga diadakan aktiviti motivasi agama, mewarna, penjagaan kesihatan gigi, kraftangan daun kelapa dan gotong-royong.

Penat mencurah bakti dan menimba pengalaman waktu siang, malamnya pula berlangsung tayangan multimedia ‘Muhammad the Messengger’ dan acara kebudayaan tarian Orang Asli.

Sementara itu, Tok Batin Pulau Indah, Intan Pindik, 50, berkata, masyarakat Orang Asli di situ adalah daripada suku kaum Mah Meri yang membawa maksud orang hutan.

Mereka juga dikenali sebagai orang laut kerana mereka tinggal berhampiran dengan laut dan bekerja sebagai nelayan.

Menurut Intan, selama ini Suku Mah Meri menjalani kehidupan mereka sepenuhnya di atas sampan yang beratapkan daun nipah dengan mencari hasil laut dan sungai sebagai sumber rezeki.

Antara makanan kegemaran mereka adalah ikan siakap, petanda, gelama, senangin, bawal, siput sedut, siput bawang, siput peluru dan siput batu.

Mereka juga akan ke darat untuk tujuan bersewang dan mengambil hasil tanaman ubi kayu, keladi dan keledek.

“Dengan adanya program muhibbah dan kerjasama positif dipamerkan oleh mahasiswa tersebut, adik-adik angkat menanam hasrat ingin mencapai cita-citanya ke menara gading seperti mereka,” kata Intan.

Majlis diserikan dengan perasmian penutup dan hadiah pemenang sukaneka disampaikan oleh Penolong Pegawai Bahagian Pembangunan Insan (BPI), Pejabat Agama Islam Daerah Klang, Ahmad Fauzi Siva Abdullah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: