![]() |
| |
BAK kata pepatah, rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Begitulah dengan AJL 24 baru-baru ini. Namun bagi Shah Inderawan, 26, yang lebih terkenal sebagai Tomok, dia mengharapkan episod kontroversi yang membabitkan dirinya dibiarkan sepi.
"Benda sudah lepas. Saya harap ia tidak diperbesar-besarkan. Untuk penjelasan, tanyalah pihak yang membuat keputusan. Saya tidak ada jawapan (untuk persoalan itu)," ulasnya.
Dikhabarkan bengang setelah gilirannya untuk membuat persembahan penutup pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 24 diubah dan dikatakan bagi memberi laluan kepada Faizal Tahir, Tomok mengakui dia berkecil hati.
Bukan kerana dia bergelar jutawan maka perasaannya perlu diambil kira, sebaliknya menurut Tomok, sebagai manusia biasa, dia jarang meraih peluang seperti itu.
![]() |
| MEMILIH sendiri Diana Danielle untuk menguatkan lagi persembahannya pada AJL 24, Tomok berpuas hati. |
Gelodak di jiwa, siapa yang tahu? Lebih-lebih lagi Tomok yang dikenali peminat digambarkan pijak semut tidak mati. Namun, persembahan yang lancar pada malam itu telah mengubat pedih di hati.
"Saya gembira dengan persembahan saya (menerusi lagu Rinduku Terhenti) pada malam itu. Segala perancangan saya untuk persembahan itu menjadi.
"Pemilihan Diana Danielle, 'drama' sedih pada paparan latar dan kemunculan roh Diana pada pertengahan persembahan, berjalan dengan baik. Saya berpuas hati," jelasnya.
Tidak memenangi sebarang kategori pada malam itu, juara One In A Million (OIAM) musim ketiga ini berfikiran positif dan ingin menjadikan pengalaman itu satu dorongan untuknya kembali ke AJL akan datang dengan lagu yang lebih baik.
Atau mungkinkah lagu Rinduku Terhenti tidak cukup hit untuk dirinya?
"Saya fikir lagu itu sudah cukup kuat. Ia memiliki tempatnya yang tersendiri dalam arena seni. Disebabkan lagu itu saya dapat menyertai AJL.
"Orang ramai yang sebelum ini tidak meminati saya juga sudah mula dapat menerima kehadiran saya melaluinya," katanya yang semakin banyak mendapat maklum balas yang positif daripada pendengar.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: