Thursday, January 28, 2010

Masih hidup selepas dua minggu tertimbus



PORT-AU-PRINCE - Anggota penyelamat di Haiti mengeluarkan seorang lelaki mangsa gempa bumi yang masih hidup selepas dua minggu terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Rico Dibrivell, 35, terperangkap di bawah runtuhan bangunan sejak gempa bumi melanda Haiti pada 12 Januari lalu.

Sekumpulan penduduk mengeluarkan Dibrivell dari runtuhan sebuah kedai yang sering menjadi sasaran pencuri.

Mereka kemudian meminta bantuan anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang merawatnya kerana patah kaki dan masalah kekurangan air dalam badan yang serius.

Dibrivell menyatakan dia meneruskan hidup di bawah runtuhan bangunan dengan hanya berbekalkan sedikit air.

Setakat ini, dia adalah satu-satunya mangsa gempa yang paling lama terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan berjaya dikeluarkan dalam keadaan masih hidup. Lebih 100 mangsa gempa berjaya dikeluarkan dari runtuhan bangunan oleh pasukan penyelamat dan penduduk tempatan sejak gempa itu berlaku.

Namun, kebanyakan mereka diselamatkan tidak lama selepas gempa tersebut melanda.

Pihak berkuasa menyatakan sukar bagi seseorang untuk hidup selama lebih 72 jam tanpa bekalan air.

Pada Sabtu lalu, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan seorang pembantu kedai runcit yang dipercayai tertimbus selepas gempa bumi melanda Haiti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: